Berdasarkan garis panduan Al-Mawardi iaitu seorang ulama terkenal, beliau mengatakan ada 8 syarat asas untuk menjadi hakim. Jom kita lihat satu persatu.
1. Islam
Ia berdasarkan pandangan jumhur ulama. Namun, ada juga pandangan ulama dalam mazhab Hanafi mengatakan harus untuk melantik orang bukan Islam khususnya jika kes itu melibatkan orang bukan Islam.
2. Cukup umur (baligh)
Kanak-kanak tidak layak untuk menjadi seorang hakim, jadi mestilah cukup umur atau baligh terlebih dahulu.
3. Berakal dan mampu membezakan antara hak atau batil
Hakim perlu memiliki kebijaksanaan yang baik dan menggunakannya untuk menjelaskan perkara yang menjadi kekeliruan dalam menyelesaikan sesuatu kes.
4. Lelaki
Ia berdasarkan pandangan jumhur ulama, namun seiring peredaran zaman, imam Abu Hanifah berpandangan bahawa perempuan juga boleh dilantik sebagai hakim.
5. Seorang yang merdeka (bukan hamba)
Walau bagaimanapun, syarat ini sudah tidak terpakai pada masa kini kerana sudah tidak ada perhambaan seperti zaman awal Islam.
6. Adil dan amanah
Hakim perlulah berkata benar dalam menyelesaikan kes, tidak berat sebelah, malah tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil.
7. Tidak pekak, tidak bisu dan tidak buta
Hal ini adalah kerana orang yang pekak sukar untuk mendengar hujah dalam sesuatu kes. Malah, hakim sepatutnya seseorang yang boleh bercakap dan boleh melihat.
Kekurangan yang ada bukan bertujuan untuk merendahkan orang kelainan upaya, tetapi ia lebih kepada keutamaan untuk menjadi hakim adalah kepada orang yang lengkap pancaindera supaya mudah untuk menyelesaikan kes.
8. Ahli dan pakar dalam bidang hukum
Hakim perlulah seseorang yang memahami al-Quran dan hadis. Malah, perlulah alim dan terbaik dalam kalangan yang ada walaupun sukar untuk mencari mujtahid pada masa kini.
Wallahu’alam.