, ,

Ramai Orang Salah Faham Tentang Hudud Termasuklah Orang Islam Sendiri

Kesalahan jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qisas dan takzir. Pada kali ini, jom kita lihat tentang hudud.

Hudud berasal daripada perkataan had yang bermaksud larangan. Dari segi istilah pula bermaksud jenayah-jenayah yang telah ditetapkan oleh nas al-Quran dan hadis.

Jadi, dalam kesalahan hudud mesti dijalankan sebagaimana yang ditetapkan Allah dan Rasul. Jika tidak mengikut apa yang telah ditetapkan, ia dikira sebagai zalim.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ

“…dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah Al-Baqarah 2:229)

Jenayah hudud terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu:

(a) Jenayah zina

– Melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah di sisi syarak.

– Bagi yang belum berkahwin, hukumannya adalah 100 sebatan. Rujuk surah an-Nur (24:2). Bagi yang telah berkahwin, hukumannya adalah rejam.

(b) Jenayah qazaf

– Membuat tuduhan zina atau liwat ke atas lelaki mahupun perempuan sedang orang itu baik malah tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

– Bagi yang membuat tuduhan qazaf tanpa empat orang saksi, maka dia dihukum dengan 80 sebatan. Rujuk surah an-Nur (24:4).

(c) Jenayah sariqah

– Mencuri iaitu mengambil secara sembunyi harta seseorang tanpa persetujuan.

– Bagi yang mencuri, hendaklah dipotong tangan pada kali pertama mencuri. Rujuk surah al-Maidah (5:38). Jika masih mencuri juga, potong kaki kirinya. Jika masih mencuri juga, dikenakan hukuman takzir dan dipenjarakan.

– Namun, bagi yang mencuri kerana terpaksa disebabkan terlalu lapar atau dahaga sehingga boleh menyebabkan kematian, maka tidak dikenakan hudud kerana situasi itu termasuk dalam darurat.

(d) Jenayah hirabah

– Merompak iaitu jenayah seseorang atau kumpulan orang yang mengambil harta, membunuh atau mengganggu ketenteraman awam.

– Bagi yang membunuh, hukumannya adalah dibunuh. Bagi yang mengambil harta tanpa membunuh, maka hukumannya dipotong tangan dan kaki. Bagi yang mengganggu ketenteraman awam tanpa bunuh atau ambil harta, maka hukumannya dibuang negeri. Rujuk surah al-Maidah (5:33).

(e) Jenayah minum arak

– Hukum minum arak adalah haram sama ada sedikit atau banyak.

– Ulama berselisih pendapat mengenai hukuman bagi pesalah minum arak. Ada yang berpandangan hukumannya 40 sebatan, ada yang 80 sebatan.

(f) Jenayah murtad

– Muslim mukalaf yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan kepercayaan, perkataan atau perbuatan, melalui kehendaknya sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

– Hukuman murtad ialah dibunuh, namun tidak semudah itu kerana mereka perlu dipanggil dan diminta bertaubat, diperjelas kepadanya tentang sebarang kekeliruan yang menyebabkannya murtad.

Wallahu’alam.