, ,

Sutrah – Lalu Di Hadapan Ketika Solat Boleh Diperangi?

“Adik, jangan lari-lari. Aunty tu tengah solat,” kata seorang ibu kepada anaknya. Waktu itu Zohor mendekat Asar. Aku duduk di satu sudut masjid sambil membelek-belek buku Mutiara Ihya’ Ulumuddin.

“Kenapa aunty tu letak beg dia depan dia ibu? Tak ke ganggu orang lain nak solat juga?” Tanya anaknya yang berumur lebih kurang enam tahun berdasarkan kepetahannya.

“Oh, tu la sutrah. Pemisah antara orang yang solat dengan orang lain.”

“Ohh. Sutrah tu apa ibu?”

Sutrah. Teringat lagi topik yang dibincangkan semasa aku mengikuti ceramah Perfecting My Solah oleh Ustaz Hussein Yee di Yayasan Al-Khadeem bersama sahabatku tempoh hari. Salah satu tajuk yang dibincangkan adalah mengenai sutrah.

Sutrah adalah sejenis penghadang yang menghalang antara orang yang solat dan orang yang lalu lalang. Apa-apa sahaja boleh dijadikan sutrah selagi menepati syarat.

Syarat sutrah haruslah mengikut tinggi dan bukan lebar objek yang digunakan. Sebagai contoh kerusi, paperbag, dinding, tiang, atau apa sahaja yang tinggi. Objek-objek rendah seperti buku nipis atau beg kecil tidak sesuai dijadikan sutrah.

Sabda Nabi SAW, “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Jarak antara tempat sutrah dan tempat sujud seharusnya mempunyai jarak yang sesuai seumpama boleh memuatkan seekor anak kambing. Hal ini disebutkan dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi r.a, dia berkata:

“Jarak antara tempat sujud Rasulullah SAW dengan dinding kira-kira cukup untuk dilewati seekor anak kambing.” (Bukhari dan Muslim)

Setiap kali kita hendak mendirikan solat kita seharusnya meletakkan sutrah, supaya orang lain tahu yang kita sedang solat dan tidak sewenang-wenangnya melalui hadapan kita. Kawasan di luar jarak kita dan sutrah dibolehkan untuk dilalui.

Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya.” (Sahih. Abu Dawud)

Tetapi kalau ada orang yang melalui hadapan kita ketika kita sedang solat walaupun sudah diletakkan sutrah (dalam kawasan antara kita dan sutrah), orang itu perlu dihalang.

Caranya? Angkat tangan ke hadapan untuk mengisyaratkan bahawa kawasan itu no entry dan teruskan solat seperti biasa.

Solat kita tidak terbatal. Namun, jika mereka masih juga ingin melalui hadapan kita dan sutrah tadi, orang itu boleh diperangi.

“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dariPADA manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya. Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maksud bunuh dalam hadis ini bukanlah bermaksud kita membunuh orang yang melalui kawasan yang telah diletakkan sutrah tadi.

Tetapi maksudnya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang mereka bagi menggambarkan betapa besarnya hukum sutrah ini.

Abu Sa’id Al-Khudri RA. pernah menahan seorang budak yang ingin lalu di hadapannya ketika dia sedang solat (beberapa kali) sehinggalah budak itu mengadu kepada Marwan bahawa Abu Sa’id telah menyakitinya.

Abu Sa’id menjawab, sedangkan kambing yang tidak berakal pun Nabi tidak benarkan untuk lalu di hadapan baginda, apatah lagi budak ini. Sahabat Nabi lalu bertanya kepada Abu Sa’id “Mengapakah kamu melakukan hal itu?” Maka lantas Abu Sa’id membacakan hadis di atas.

Menurut Imam Al-Syaukani rhm., jika kita berusaha menahan berulang kali dengan keras sehingga akhirnya orang itu tiba-tiba meninggal dunia, orang yang menahan itu tidak dikenakan hukum had (hudud) atau qisas ke atasnya, kerana dia berbuat sesuatu yang syar’i iaitu menghalang orang lalu di hadapannya ketika dia sedang solat.

“Kenapa orang yang mengganggu solat itu boleh diperangi?”

“Kerana dia menghalang interaksi kita dengan Allah.”

Wallahualam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih melanjutkan pelajaran dan sedang menjalani latihan industri.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.