Assalamualaikum w.b.t kepada semua pembaca yang dikasihi,
Moga semuanya berada dalam kesihatan yang terbaik dalam melakukan ibadah di atas muka bumi ini!
Beberapa bulan lepas, Emi (bukan nama sebenar) diberikan kesempatan melihat pelbagai ragam manusia yang ditimpa kesakitan di sebuah hospital.
Peluang tersebut dirasai kerana bapanya juga kurang sihat seperti mereka yang berada di hospital terbabit.
Siapa pernah duduk atau bermalam di hospital sepanjang hari?
Rasa-rasanya apa yang dirasai oleh kalian-kalian?
Insaf.
Sedih.
Syukur.
Mungkin ada juga yang tersungkur.
Ya, tersungkur!
Tubuh dan mata si Emi turut menyaksikan keadaan terbabit bahkan sangatlah menyedihkan kerana ramainya manusia yang sedang sakit lupa tanggungjawab mereka pada Allah S.W.T.
Lagi menyedihkan wad yang mereka duduki merupakan mesra ibadah.
Kesian pihak hospital dan kakitangan atas usaha murni mereka selama ini. Namun, pesakit-pesakit di dalam wad “endah tak endah sahaja”
Bahkan, Emi turut mengalami situasi dimana sedang berbual berkenaan tempat solat perempuan dengan ayahnya.
Tiba-tiba, seorang pak cik menyampuk perbualan mereka dan menunjukkan arah tempat solat kepadanya.
“Alhamdullilah, terima kasih atas jasa baiknya.” Bisik hati si Emi tadi.
Tetapi, sepanjang dia berada di sana tidak pernah sekalipun melihat pak cik dan pesakit lain menunaikan solat.
Cuma hanya beberapa orang waris yang sihat tetap menunaikan solat tetapi yang sakit mereka biarkan.
“Uzur sangat atau tidak tahu barangkali,” nada bisikan hatinya
Hairan, adakah mereka tidak tahu ataupun buat-buat tidak tahu?” Timbul lagi persoalan kurang enak dalam hati si Emi.
Cuba untuk berbaik sangka, mungkin kritikal penyakit mereka.
Begitulah realiti kehidupan umat sekarang.
Adakah anda tahu bahawa selagi seorang pesakit itu mampu membuka mata sekalipun wajib menunaikan solat.
Islam sudah mengajar rukhsah (keringanan) dalam solat buat pesakit mengikut keadaan yang dialami mereka.
Rasullulah s.a.w pernah bersabda:
“Bersolatlah berdiri. Jika engkau tidak mampu maka bersolatlah duduk, Jika engkau tidak mampu bersolatlah di atas lambung (mengiring).”
(Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Terbukti sudah tanggungjawab buat semua muslim di dunia tetap perlu menyempurnakan ibadah kepadanya walaupun ditimpa kesusahan, kesakitan, kecelakaan dan musibah yang lain.
Amatlah menyedihkan apabila ditimpa kesakitan dan musibah umat akhir zaman memilih menjadi mayat hidup di hospital-hospital.
Tiadakah rasanya sedikit cebisan keinsafan bahawa kalian dan kami juga bakal menjadi mayat kekal di alam barzakh nanti?
Tidak cukupkah lagi mayat yang sudah tidak bernyawa di hospital-hospital menjadi saksi bahawa segala amal dan ibadah mereka telah terputus?
Usah ditambah dosa yang tidak disedari.
Dalam riwayat at-Tirmizi no 2621, ertinya :
Sesungguhnya perjanjian yang membezakan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat. Sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja (kerana ingkar kewajipannya), sesungguhnya dia telah menjadi kafir.
Astaghfirullahaladzim…
Berubahlah sementara masih hidup!
Buat keluarga dan teman rapat si pesakit, teruskan bakti kepada yang ditimpa kecelakaan.
Tugas kalian bakal dibalas dengan syurga dan juga bakal dibalas dengan azab yang amat pedih jika ibadah mereka tidak dijaga.
Andai ketandusan ilmu, bertanyalah kepada yang tahu.
Tidak cukup itu, belilah buku yang merujuk berkenaan solat bagi pesakit.
Banyaknya di kedai-kedai buku hanya menunggu si pencinta ilmu membelinya sahaja.
Kuncinya ilmu.
Titik buat segala permasalahan.
Pesanan penuh kasih sayang saya buat semua, usah biarkan ahli keluarga dan diri kalian sendiri menjadi mayat hidup di hospital-hospital.
Tepuk dada dan berubahlah!
**********
Tips persediaan bagi memudahkan urusan ibadah pesakit:
1) Memastikan tubuh pesakit bersih daripada najis sebelum menunaikan solat.
2) Menyediakan barangan seperti spray wudhuk atau debu tayammum dan telekung (bagi perempuan).
3) Membantu pesakit yang tidak mampu berwudhuk sendiri.
4) Mengenalpasti ruang solat yang bersesuaian atau arah kiblat mengikut keadaan pesakit
5) Mengajar dan membimbing cara solat yang betul mengikut keadaan yang dialami oleh pesakit.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Sis Aainaa Zaki. Mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan Diploma Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, UniSZA. Sebarang info boleh rujuk FB (Aainaa Zaki) dan Instagram (Aainaa Zaki).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.