Kita solat bukan kerana kita baik, namun kerana kita hamba Allah. Kita dicipta di dunia ini adalah untuk menyembah dan taat kepada Allah.
Solat adalah salah satu daripada rukun Islam dan menjadi kewajipan untuk kita menunaikannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbanyakkan sujud kepada Allah, sesungguhnya apabila sujud sekali, Allah akan mengangkatmu satu darjat dan menghapus satu dosamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Merujuk kitab Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafi’i, Ustazah Zizi Azlinda ada berkongsikan antara perbezaan solat di antara lelaki dan perempuan:
MERAPATKAN ANGGOTA KETIKA SUJUD
Lelaki disunatkan merenggangkan kedua-dua belah siku daripada rusuknya dan menjarakkan perut daripada dua pahanya.
Manakala perempuan pula perlu merapatkan dua siku ke rusuk dan melekapkan perut ke pahanya.
Suatu hari, Rasulullah SAW melihat dua orang perempuan sedang menunaikan solat. Lalu Baginda menghampiri dan mengajari mereka cara menunaikan solat. Baginda bersabda: “Apabila sujud, rapatkanlah sebahagian badan kamu ke lantai kerana orang perempuan tidak sama sujudnya sebagaimana orang lelaki. (Hadis riwayat al-Baihaqi)
SUARA
Orang lelaki disunatkan menyaringkan suara pada solat-solat yang nyaring bacaannya.
Namun bagi perempuan pula, jika bersolat di tempat yang ada lelaki perlu diperlahan suara walaupun ketika bersolat yang bacaannya nyaring, dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah.
MENEGUR (KESILAPAN) DALAM SOLAT
Bagi orang lelaki, perlu bertasbih dengan suara yang kuat.
Bagi orang perempuan pula, bertepuk tangan adalah dengan cara menepuk tangan kanan ke atas belakang tangan kirinya.
AURAT
Bagi lelaki, aurat adalah bahagian antara pusat dengan lutut.
Bagi perempuan pula, seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
AZAN
Bagi perempuan azan tidak disunatkan, baginya iqamat sahaja. Walau bagaimanapun, tidak makruh jika suara perlahan (dianggap zikir yang berpahala), namun hukumnya makruh dan dikhuatiri haram (membawa kepada fitnah) pula jika suara kuat.
“Berbeza dalam dunia fiqah adalah normal. Bercakaran dalam fiqah, adalah tidak normal. Selamat beramal.”
Daripada ‘Ubadah bin al-Shamit RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada lima solat yang Allah telah wajibkan atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang melaksanakannya, dan tidak mengabaikannya sedikit pun dengan meremehkan hak-hak daripada solat tersebut, nescaya dia akan mendapatkan janji Allah iaitu memasukkannya ke dalam syurga.
Dan sesiapa yang tidak melaksanakannya, maka ia tidak mendapatkan janji apa pun daripada Allah. Jika Allah mengkehendaki Dia akan menyeksanya, dan jika Allah mengkehendaki, Dia akan memasukkan ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Malik dalam al-Muwatta’)
Sekian antara perkongsian, moga bermanfaat.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.