Telefon bimbit segera dicapai. Last seen WhatsApp Awatif dilihatnya.
“Wah.. ada peluang untuk aku chat dengan Awatif. Last seen pun baru saja dua minit lepas.”
“Assalamualaikum, Awatif. Sibukkah?” Usu memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam. Aku free sekarang. Kenapa Usu? Ada apa-apa ke?” Balas Awatif Mahirah dua minit kemudian.
“Entahlah. Kadang-kadang aku rasa macam Abang Long tidak memahami aku. Dia selalu marahkan aku dan tidak tegur aku dengan cara yang aku boleh terima. Sampaikan aku fikir Abang Long tidak sayang aku.”
“Usu tidak boleh cakap macam itu. Setiap orang ada perangainya masing-masing, ada cara tersendiri. Karakter dan personaliti setiap orang tidak sama.”
“Tetapi kenapa Abang Long tegur dengan kata-kata kasar? Serius. Memang aku rasa jauh sangat dengan Abang Long. Abang Long macam tidak sayang aku. Dia tidak pernah dengar terlebih dahulu apa yang aku mahu cakap. Secara jujurnya Awatif, aku rasa sunyi sangat seolah-olah aku tidak punya abang langsung. Adakala aku rasa aku benci abang Long!”
“Usu… Sabar ya. Kau sedang beremosi. Jangan pernah ada rasa benci terhadap Abang Long. Istighfar banyak-banyak. Abang Long buat macam itu mungkin ada sebabnya yang tersendiri. Kita tidak boleh memahami hati seorang manusia sebab hati ini tersembunyi, tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Memang Usu cakap Usu benci Abang Long sebab Usu sedang beremosi dan perasaan itu merupakan proses untuk menuju kematangan. Mungkin Abang Long ingin kau jadi seorang yang kuat jiwanya sebab apabila dewasa nanti, kita akan berhadapan dengan banyak karenah manusia yang kita tidak pernah jumpa. Cuba belajar untuk bertenang ya,” nasihat itu mengakhiri perbualan mereka di WhatsApp kerana Awatif perlu segera bergegas untuk keluar bersama keluarganya.
Usu cuba untuk bertenang. ‘Ya, aku mengaku. Aku pun ego!’ Monolog Usu lalu melepaskan keluhannya.
Faktor kurang kasih sayang menyebabkan Usu berperilaku sedemikian. Usu tidak habis fikir mengapa Abang Long melayannya sebegitu.
Kata- kata Awatif bahawasanya mungkin Abang Long inginnya menjadi kuat akan di iyakan sekiranya fikiran Usu sedang rasional tanpa emosi.
“Di mana lagi tempat untuk aku menumpang kasih jikalau bukan pada Abang Long? Cuma Abang Long satu-satunya abang aku. Andai ibu dengan abah masih ada…” tanpa disedari, air mata Usu keluar perlahan-lahan setelah bermonolog sendirian bagi melepaskan perasaan lalu diusap supaya dapat ‘cover’ raut wajahnya daripada Abang Long.
Walaubagaimanapun, Usu tidak sedar Abang Long sedang memerhatinya dari celah pintu bilik Usu yang tidak ditutup rapat.
Walaupun Usu sekadar bermonolog, firasat Abang Long begitu kuat bahawa Usu terguris hati dengan kata-kata sebegitu.
Langkah kaki diangkat perlahan. Abang Long beredar jauh dari bilik Usu dan terus duduk bersendirian di sofa merahnya di ruang tamu.
“Maafkan Abang Long, Usu. Abang Long cuma ingin Usu kuat. Abang Long tidak mahu Usu lemah sebab Usu cuma punya Abang Long. Abang Long tidak boleh bayangkan macam mana kalau Abang Long sudah tidak ada nanti. Siapa yang akan jaga Usu?”
Foto ibu dan abah yang dilengkapi bingkai gambar berwarna ungu dipegang Abang Long. Setiap kali merenung foto kedua ibu bapanya itu, tragedi itu masih segar dalam ingatannya.
Trauma dan sukar untuk dimaafkan rasanya meskipun sudah tiga belas tahun berlalu. Bagaikan bara api dalam hati bila-bila masa sahaja akan meletus setiap kali mengenangkan peristiwa pahit yang sukar ditelan.
Peristiwa ini jika berlaku kepada sesiapa pun sudah pasti sukar untuk dilupakan walaupun cuba untuk memaafkan.
Bagaimana rasanya jika melihat ibu bapa dibunuh di hadapan mata sendiri? Sudah pasti trauma, bukan?
Rumah yang penuh dengan kenangan indah sebelumnya dibasahi dengan limpahan darah orang tersayang akibat daripada pencerobohan tangan kotor!
Abang Long masih ingat bagaimana takutnya dia ketika melihat ibu bapanya ditikam sewaktu rumah mereka dirompak.
Ketika kejadian itu berlaku, usianya baru sahaja tiga belas tahun. Usia di mana dia baru memasuki fasa remaja dan merupakan tahun pertama melangkah ke alam sekolah menengah.
Pada usia itu jugalah masuk tahun ketiga dia bergelar abang sebab usia Usu sewaktu itu mencecah tiga tahun di mana Usu tidak memahami apa pun yang berlaku di sekitarnya.
Ibu bapanya meninggal di dalam ambulans sewaktu dalam perjalanan menuju ke hospital.
Disebabkan terlampau diganggu oleh perasaan trauma, Abang Long dirawat oleh pihak psikiatri selama beberapa bulan sementara itu Usu dijaga oleh datuk sebelah ibunya di kampung.
Tidak lama selepas itu, datuk mereka pula meninggal akibat sakit tua dan di situ Usu dibesarkan oleh ibu bapa Awatif merangkap ibu dan bapa saudara mereka.
Walaupun begitu, setelah Abang Long menjalani proses psikoterapi, Abang Long turut juga dibesarkan oleh ibu bapa saudaranya itu kerana anaknya bernama Awatif itu merupakan anak tunggal.
Selalunya anak tunggal turut terkenal dengan karakter manja. Tetapi, disebabkan ibu dan bapa Awatif menjaga dan membesarkan Abang Long dan Usu ibarat anak sendiri yang ditatang bagai minyak yang penuh, Awatif terhindar dari sifat manja kerana sepupu mereka itu ibarat adik-beradik sendiri dan disebabkan itu jugalah akrabnya Awatif dengan Usu sehingga sekarang.
Bermula dari usia lapan belas tahun, Abang Long belajar berdikari dan bekerja sambil menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyara Usu yang ketika itu berusia lapan tahun.
Hal inilah yang membuatkan Abang Long kelihatan tegas, jarang bergurau senda serta garang di depan mata satu-satunya adik bongsu kesayangan hatinya itu.
“Abang Long tidak mahu Usu lemah sekiranya Abang Long dipanggil Allah nanti. Abang Long ingin Usu kuat, sayang. Bukan bermakna Abang Long tidak meluah dan marah-marah, Abang Long tidak sayang Usu. Bukan begitu Usu! Usu satu-satunya adik kesayangan Abang Long dan biarlah Usu sangka Abang Long bencikan Usu sekalipun. Hakikat sayangnya Abang Long terhadap Usu, hanya Allah sahaja yang tahu,” secara tiba-tiba Abang Long menulis kata-kata itu di dalam kertas warna bersaiz kecil dan diselitkan di sebalik bingkai gambar ibu dan abah.
Kini, Usu berusia tujuh belas tahun dan giliran Usu pula bakal menempuh peperiksaan SPM. Abang Long sudah pastinya tegas dalam hal-hal yang berkaitan pendidikan Usu kerana dia tidak mahu masa depan Usu terumbang-ambing begitu saja ditelan masa.
Tiga bulan kemudian, Usu selesai menduduki peperiksaan percubaan SPM. Jantungnya wajib akan berdegup kencang kerana setiap keputusan peperiksaan perlu diberitahu kepada Abang Long.
“Aku rasa mesti Abang Long akan kata keputusan aku macam budak-budak malas belajar!” Usu menduga dengan sinis.
Bau minyak wangi Abang Long mula memasuki ruang tamu. Usu yang menonton televisyen sambil menunggu untuk diberitahu keputusannya kepada Abang Long sudah mula rasa resah.
“Ok… terima sahajalah apa yang Abang Long mahu katakan pada kau, Usu. Abang Long memang mulut berus! Kata-katanya terhadap aku memang selalunya kesat!” Monolog Usu sambil matanya memandang tepat ke arah televisyen.
> bersambung Aku Benci Abang Long! (bahagian 3-akhir) <
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Najya Marzuki.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.