, ,

Sejauh Mana Kefahaman Kita Tentang Rukun Iman

Iman? Kita selalu dengar tentang iman, tetapi sejauh mana kita menghayatinya?

Iman bermaksud membenarkan dengan hati, mengiktiraf dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota badan.

Rukun iman terdiri daripada enam, iaitu:

(a) Percaya kepada Allah

Yakin dengan sepenuh hati tentang kewujudan Allah, bukannya ada perasaan syak atau sangkaan.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

قَالَتۡ رُسُلُهُمۡ أَفِي ٱللَّهِ شَكّٞ فَاطِرِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ

“Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi?” (Surah Ibrahim 14:10)

(b) Percaya kepada malaikat

Malaikat termasuk dalam alam ghaib yang tidak mampu dicapai melalui pancaindera manusia, namun kita wajib mempercayai kewujudannya. Malaikat dijadikan daripada nur iaitu cahaya.

Mereka bukan lelaki, bukan perempuan, bersih daripada syahwat haiwaniyyah, tidak makan minum, tidak bernikah dan tidak bersifat seperti manusia.

Namun, dengan izin Allah, mereka boleh menjelma dalam pelbagai bentuk, termasuklah bentuk manusia.

Contohnya, ketika malaikat Jibrail menjelma dalam bentuk manusia ketika datang ke tempat Maryam, seperti yang dinyatakan dalam surah Maryam ayat ke-17.

(c) Percaya kepada kitab

Bermaksud yakin bahawa Allah telah menurunkan kitab-Nya yang mengandungi perintah dan diberi melalui para rasul, iaitu kitab Taurat (Nabi Musa), Zabur (Nabi Daud), Injil (Nabi Isa) dan Al-Quran (Nabi Muhammad).

Namun, setelah diturunkan al-Quran, maka kewajipan adalah untuk mengikut syariat yang ada di dalam al-Quran.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Isra’ 17:9)

(d) Percaya kepada nabi dan rasul

Bermaksud yakin bahawa Allah telah melantik para nabi dan rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhai-Nya.

Diriwayatkan bahawa ada 313 orang rasul dan 124000 orang nabi. Namun, di dalam al-Quran yang wajib kita tahu ialah 25 orang rasul termasuk lima daripadanya mendapat gelaran Ulul Azmi.

(e) Percaya kepada hari kiamat

Dari segi bahawa, kiamat bermaksud kebangkitan. Dari segi istilah, kiamat bermaksud hari kehancuran bagi seluruh alam dan diganti dengan alam akhirat yang kekal.

Setelah berlaku kiamat, maka manusia akan dihidupkan semula untuk dihitung segala amal perbuatan yang pernah dilakukan.

(f) Percaya kepada qada’ dan qadar

Beriman bahawa segala yang berlaku telah ditetapkan Allah sejak azali. Qada’ dan qadar perlu diiringi dengan usaha dan doa.

Namun, jika telah berusaha tetapi tidak beroleh seperti apa yang diinginkan, maksudnya itulah ketentuan yang telah ditetapkan Allah.

Percayalah bahawa Allah akan berikan yang terbaik mengikut kehendak-Nya kerana Allah yang menciptakan kita, sudah pasti Allah tahu apa yang terbaik.

Wallahu’alam.