, ,

Mendidik Dan Bersabar Dengan Anak-anak (bahagian 1)

Orang yang kita sayang adalah amanah dan anugerah buat kita. Kadangkala kita juga diuji melalui mereka. Begitu juga anak-anak yang hadir dalam sesebuah keluarga.

Namun dalam zaman yang serba mencabar ini, bagaimana mahu mendidik anak-anak dengan rasa sabar?

Di sini saya kongsikan sedikit tips daripada pembacaan saya terhadap tulisan Nur Khairunnisa Iskandar (Ummi Nisa) dan Dato’ Dr. Hj.  Mohd. Fadzilah Kamsah.

Mulakan dengan ibu bapa sendiri

Mulakan dengan akhlak. Kita bukan saja mendidik malah perlu juga memberi contoh yang baik.

Sebagai ibu bapa kita perlu ada ilmu dan sentiasa belajar atau ambil tahu (agar mudah menjawab pertanyaan anak, beri penerangan yang tepat) serta kita perlu bijak bertindak.

  • Kenalkan anak-anak dengan tauhid. Percaya kewujudan dan kekuasaan Allah.
  • Kenalkan anak dengan al-Quran dan solat sejak kecil, selalu bacakan kisah-kisah dari al-Quran.
  • Ajarkan sunnah Nabi.
  • Lemah-lembut apabila menegur.
  • Anak-anak perlu dihiburkan, namun jangan terlalu sehingga tersasar (sehingga buat yang dilarang).
  • Mengajar anak adab makan dan banyak adab lain.
  • Ajar anak untuk bukan saja menghormati kita, malah menghormati orang lain juga.

Bagaimana cara nak buat anak-anak mendengar kata?

Menurut penulisan Ummi Nisa menerusi Majalah Solusi yang saya baca, kita perlu mengenal pasti mengapa seseorang anak itu kadangkala tidak menerima arahan kita, mungkin sebabnya sama ada salah faham, lalai, tidak tahu atau tidak fokus.

Kita perlu beritahu mereka apa yang kita mahu. Jika kita ada kemahiran komunikasi yang baik, ia mampu mendorong anak-anak.

Selain itu, kita perlu muhasabah, perbaiki diri dan yakinlah semua bermula dengan kita, kita dengar dulu apa yang Allah kata (ikut suruhan Allah). Insya-Allah anak-anak akan mendengar kata kita.

Namun bagaimanakah yang dikatakan cara berkomunikasi yang baik? Di sini saya kongsikan perkongsian daripada Dato’ Dr. Hj.  Mohd. Fadzilah Kamsah.

Cara berkomunikasi:

  • Dengar pandangan anak-anak.
  • Ada sentuhan (dakapan, pegang tangan – itu juga komunikasi).
  • Dengar dengan penuh minat. Dan bersahabatlah. Biar anak-anak rasa percaya dan selesa dengan ibu bapa.
  • Gembirakanlah anak-anak, beri ganjaran yang sesuai, wujudkan persaingan sihat namun tidak pentingkan diri di kalangan anak-anak,  memotivasikan selalu (galakan dan kepercayaan), berikan pujian dan saling bergurau senda.
  • Jangan ‘takut’ untuk menegur anak untuk kebaikan (berilah hukuman yang betul jika perlu), kita ajarlah mengikut tahap kebijaksanaan dan umur mereka, supaya mereka tidak rasa terlalu dimanjakan. Kelak mereka bukan sahaja bijak berdikari malah dapat membezakan perkara baik dan buruk.

Adab memarahi anak:

  • Jangan marah depan orang
  • Jangan guna perkataan kasar atau tidak elok, itu mampu jadi doa. Hati-hati.
  • Beri hukuman yang wajar dan bermanfaat
  • Boleh pukul apabila anak tidak solat ketika umurnya sudah 10 tahun, namun bukan di muka, telinga dan bukan di tempat tidak sepatutnya. Jangan keterlaluan. Alasan pukul biarlah munasabah. Banyakkan bersabar. Jika keterlaluan, mampu memberi kesan kepada psikologi dan kesihatan anak kelak.

Adab menasihati:

  • Secara lembut dan penuh kasih sayang. Kekerasan akan membuatkan mereka bertambah degil.
  • Jelaskan kenapa nasihat. Beritahu dia, ibu bapa buat kerana sayang.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menegur selain kita juga perlu tunjuk contoh yang baik

Adab beri arahan:

  • Beri arahan dengan jelas dalam nada lembut supaya dapat difahami
  • Kemudian beri ganjaran setelah anak dengar cakap (elakkan wang, namun cuba beri ciuman, dakapan atau ucapan penghargaan).
  • Jika mahu melarang, biar berhikmah, beri alternatif lain dan diri sendiri kena patuh arahan juga.

 

> bersambung Mendidik Dan Bersabar Dengan Anak-anak (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 50.000000%