, ,

Aku Benci Abang Long! (bahagian 3-akhir)

Diam. Tanpa sebarang suara, Abang Long mengambil slip peperiksaan Usu yang diletakkan di atas meja ruang tamu.

“Nanti usaha lagi ya. Keputusan pun dah elok ni,” ujar Abang Long secara lembut lalu Abang Long terus ke kamarnya sejurus selepas itu.

“Aneh! Kenapa Abang Long tiba-tiba lembut sebegitu ya?” Fikir Usu.

“Alahai… Nak pujuk aku kah?” Sinis Usu lagi.

“Haishhh… Aku ini pun satu hal. Dah kalau Abang Long tidak marah-marah, syukur sahaja lah! Kalau Abang Long marah, aku juga yang mengamuk. Melenting sana sini. Aku juga yang sakit hati. Tetapi, kenapa Abang Long aneh semacam ya?” Fikir Usu lagi.

“Arghh!!! Lantaklah! Buat apa mahu fikir banyak tentang Abang Long? Buat sakit hati aku sahaja. Tengok cerita ini lagi best.”

Keesokannya, setelah solat Subuh berjemaah bersama-sama Abang Long.

“Nanti balik sekolah, Abang Long ambil Usu ya. Tidak payah pulang dengan baslah hari ini,” ujar Abang Long lalu menghulurkan tangannya supaya Usu bersalaman dengannya.

Usu bagaikan orang kebingungan kerana aneh dengan tingkahlaku abangnya itu yang tidak seperti hari-hari kebiasaan kerana dia tidak pernah bersalaman dengan Abang Long sepanjang umurnya melainkan pada hari raya kerana ketakutannya terhadap kegarangan Abang Long menyebabkan dia teramat renggang dan tidak mudah mesra dengan Abang Long.

Namun, jika tangan dihulurkan sebegitu , Usu sambut sahajalah salam abang sulungnya itu bahkan malas mahu bercakap banyak untuk mempersoalkan.

Matahari di waktu tengah hari kian memancar. Bara kepanasannya jelas terasa seolah-olah tegas berdiri tegak di atas kepala. Jam tangan Usu sudah menunjukkan 2.30 petang.

Akan tetapi, bayang kereta Perodua Myvi merah kepunyaan Abang Long masih belum kelihatan. “Di mana Abang Long ini? Pagi tadi cakap mahu ambil aku. Hmm… Kalau setengah jam kemudian tidak datang lagi, aku balik dengan bas sajalah,” keluh Usu sambil merenung botol air mineral yang sudah kehabisan airnya.

“Pitttt!!!” Suara hon kereta Abang Long berbunyi.

“Haaa… datang pun. Ingatkan aku kena balik dengan bas dah tadi,” bebel Usu secara perlahan.

Abang Long memohon maaf kepada Usu akibat kelewatannya itu disebabkan kesesakan laluan trafik yang amat teruk ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah. Apakan daya, Usu mengiyakan saja.

“Usu, hari ini mahu ke kalau Abang Long bawa Usu pergi beli cupcake? Alaaa… kedai kegemaran cupcake Usu tu. Mahu ke tidak?” Pertanyaan Abang Long memecah kesunyian di antara mereka.

Usu pula sekadar mengangguk sebagai tanda respon. Lima belas minit kemudian, Abang Long menghentikan keretanya di tempat parkir di seberang jalan daripada kedai cupcake tersebut.

“Jom turun,” ajak Abang Long. Usu pula diam tanpa mengeluarkan kata-kata.

“Usu tidak mahu turun ke? Tidak mengapalah kalau begitu. Abang Long turun dahulu ya. Mahu pilih cupcake untuk adik manja kesayangan Abang Long yang seorang ini,” ujar Abang dengan nada paling manis.

Setelah sepuluh minit kemudian, kelihatan Abang Long keluar dari kedai cupcake tersebut bersama beberapa kotak cupcake berwarna merah jambu di tangan.

Wajah Abang Long yang tidak lepas dari senyuman itu jelas memperlihatkan bahawa tidak sabar sekali Abang Long mahu memberikan cupcake itu kepada Usu.

Tetapi, ketika ralit melintas jalan, “PITTTTT!!!!”

Bunyi hon sebuah kereta begitu jelas kuatnya lalu diberhentikan secara mengejut. Beberapa beg berisi cupcake melambung terlepas dari pegangan Abang Long.

Cuma tinggal satu kotak sahaja yang masih kekal di tangan.

“Abang Long!!!!” Jerit Usu sewaktu menyaksikan kejadian itu lalu dia segera bergegas keluar dari kereta untuk mendapatkan Abang Long.

Abang Long terlentang di atas tar jalan dengan keadaan keseluruhan badan berlumuran darah.

Malah Abang Long kelihatan hilang keseluruhan upaya untuk bergerak dan mukanya sudah pucat lesu bahkan mulut sudah pun kaku tidak berdaya mahu mengeluarkan sebarang kata.

“Usu, maafkan Abang Long,” ujar Abang Long dengan nada berbisik.

“Abang Long janganlah cakap macam ini. Sabar ya. Sekejap lagi ambulans sampai,” balas Usu yang tidak berhenti menangis.

Sewaktu itu, suasana jalan menjadi lengang kerana semuanya terdiam menyaksikan kemalangan tragis tersebut.

Ada juga dalam kalangan orang awam yang turut menyapu air mata akibat tidak boleh menahan sebak melihat seorang adik yang yang dalam keadaan berbaju sekolah mengusap wajah abangnya yang dipenuhi darah.

Saat itu jugalah Abang Long melaksanakan hajat terakhirnya dengan menyuapkan cupcake yang masih kekal di tangannya ke mulut adik dengan keadaan air mata tidak berhenti mengalir.

“La Ilaha Illallah !” Lafaz syahadah mengakhiri nafas hayat seorang hamba yang dipanggil menghadap Sang Penciptanya. Tangan yang sempat menyuap cupcake itu terlepas dari mulut Usu.

“Abang Long!!!” Jeritan dan tangisan terakhir Usu yang penuh syahdu. Timbul perasaan sedar dalam hatinya bahawa sebenarnya ada rasa sayang itu.

Namun, mungkin selama ini dikaburi dengan emosi marah beserta pentingkan diri, mata dan hati turut menjadi buta.

Itulah Abang Long yang selama ini aku ucap benci dalam hati. Dek kerana caranya yang kasar, kasih sayangnya disalah erti. Abang Long, secara jujur dan ikhlas, dari lubuk hati Usu yang paling dalam, Usu sayang Abang Long sepenuh jiwa raga.

Bukan sekadar sayang, bahkan lebih dari itu iaitu cinta. Akan Usu selalu ingat kata-kata terakhir Abang Long bahawa Usu adalah adik kesayangan Abang Long. Tidak akan pernah Usu lupakan suapan terakhir tanda sayangnya Abang Long sebelum malaikat datang menjemput pulang kepada Tuhan yang sedang menunggu.

Semoga Allah letakkan abang kesayangan Usu ini di tempat yang paling istimewa di sana. Tempat di mana tertulisnya segala jasa besar Abang Long supaya Abang Long akan sentiasa ingat Usu walaupun jarak sudah memisahkan kita, walau alam yang berbeza menyebabkan terhalangnya kita berdua daripada bertemu tidak seperti kebiasaan hari sebelum ini.

Usu akan merindui Abang Long dalam doa. Nanti kita jumpa lagi di syurga ya. Dan kalau diberi peluang ketika kita berjumpa nanti, Usu ingin minta kepada Allah supaya Allah beri izin Abang Long untuk suapkan makanan syurga kepada Usu sebab Usu percaya pemergian Abang Long pun atas izin Allah. Satu lagi, jangan lupa kirim salam Usu dekat ibu dengan abah ya.”

Sebuah warkah ditulis tangan Usu sambil diiringi air mata yang menitik di atas kertas.

Warkah tersebut menggerakkan tangannya untuk membalas selepas dia terjumpa tulisan tangan di dalam sebuah kertas warna bersaiz kecil yang terselit di sebalik bingkai gambar ibu dan abah, sudah pasti Usu terdetik untuk tidak terlepas daripada membalasnya kerana tertera nama Abang Long.

Perginya Abang Long membawa perubahan drastik kepada status kehidupan Usu. Kini, ibu dan bapa saudaranya iaitu ibu bapa kepada sepupunya yang paling akrab, Awatif mengambil keputusan muktamad untuk berada di bawah jagaannya dan dijadikan seperti anak kesayangan sendiri.

Maka, di situ bermulalah kehidupan baru Usu ataupun nama sebenarnya Nurul Jannah binti Firdaus bersama keluarga baharunya.

Kali ini dia bertekad untuk tidak mensia-siakan orang-orang yang masih ada di sekelilingnya bahkan hasratnya ingin membalas jasa-jasa baik yang pernah dicurahkan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Najya Marzuki.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%