Islam hadir untuk mewujudkan rasa kasih sayang sesama manusia dengan menggalakkan kita berbuat kebaikan kepada orang sekeliling.
Hasilnya, akan wujud suasana yang aman, adil malah memberi ketenangan kepada setiap jiwa manusia.
Namun, semua ini tidak akan tercapai selagi mana kita masih belum mempunyai hasrat bahawa orang lain juga boleh menikmati kebahagiaan seperti mana apa yang kita dapat.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Iman merupakan pengakuan hati terhadap ketauhidan Allah serta beriktikad dengan rukun-rukun Iman.
Jadi, hadis di atas menunjukkan bahawa iman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan setelah dia menjadi seorang yang baik, jauh daripada sifat pentingkan diri, suka orang lain peroleh kebaikan seperti apa yang dia dapat.
Ada beberapa perkara yang menjadi kesempurnaan dalam diri seorang Muslim, iaitu:
(a) Dia suka orang lain melakukan ketaatan seperti mana yang dia suka untuk dirinya sendiri. Dia tidak suka orang lain melakukan kejahatan seperti mana yang dia tidak suka untuk dirinya sendiri.
(b) Dia bersungguh-sungguh dalam melakukan dakwah dan islah kepada saudara seislam yang lalai terhadap kewajipan agama.
(c) Dia tidak menangguh bahkan bersegera dalam menunaikan hak kepada saudara seagama, sebagaimana dia suka apabila haknya ditunaikan oleh orang lain.
Jika seseorang itu ingin dijauhkan daripada api neraka dan masuk ke dalam syurga, maka hendaklah dia mati dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhirat, dalam keadaan dia telah menyempurnakan hak sesama manusia.
Wallahu’alam.