Kuasa Mahkamah Syariah tertakluk di bawah negeri masing-masing bukannya persekutuan. Jadi, kita dapat melihat perbezaan dari segi hukuman yang diberi.
Berikut adalah antara hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di bawah Mahkamah Syariah.
(a) Zina (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988)
“Mana-mana orang yang berzina adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,
dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
(b) Qazaf (Undang-undang Mahkamah Syariah Sarawak 1985)
“Seseorang yang menuduh mana-mana orang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi mengikut hukum syarak adalah melakukan satu kesalahan qazaf dan boleh apabila sabit kesalahannya,
dikenakan hukuman denda RM5000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
(c) Pondan (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985)
“Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,
dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
(d) Mengajar kepercayaan agama lain daripada Islam (Undang-undang Negeri Pahang 1982)
“Sesiapa yang mendakyah atau mengajar ajaran atau kepercayaan agama lain daripada agama Islam dalam kalangan orang adalah melakukan satu kesalahan dan apabila sabit,
bolehlah dihukum dengan didenda tidak lebih daripada RM500 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.”