,

Keperibadian Utuh Jati Diri Kukuh

Frasa keperibadian membawa maksud perihal peribadi yang khusus terdapat pada seseorang.

Frasa ‘utuh’ bermaksud tidak rosak. Jati diri pula bermaksud ciri yang unik dan istimewa yang menjadi teras keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa. Perkataan kukuh pula bermaksud teguh pendirian.

Secara totalnya, ‘Keperibadian Utuh Jati Diri Kukuh’ menjunjung erti ciri yang unik dan istimewa yang menjadi lambang keperibadian seseorang individu yang berpendirian teguh.

Agama Mantap Pemangkin Jati Diri Kukuh

Firman Allah dalam surah As Saba’ ayat 28 mafhumnya;

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pemberi peringatan…”

Maka, saksikanlah betapa teguhnya jati diri Sayyidina Umar Al-Khattab apabila agama menjadi paksi dalam kehidupan sehingga beliau digelar singa Allah di medan perjuangan.

Terbuktilah, agama memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia.

Tanpa agama, kehidupan seseorang itu boleh diibaratkan seperti kapal berlayar tanpa nakhoda yang tidak mempunyai hala tuju yang benar dan jelas dalam menikmati kehidupan di dunia dan di akhirat.

Akhlak Mulia Tonggak Keperibadian Utuh

Insan yang memiliki keperibadian utuh akan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan. Firman Allah dalam surah Al – Ahzab ayat 21 yang bermaksud,

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu…”

Sejarah telah membuktikan kejatuhan empayar Romawi adalah akibat kepincangan moral dan akhlak. Jatuhnya keutuhan peribadi generasi hari ini adalah disebabkan oleh keruntuhan moral.

Buktinya, di Malaysia setiap lima hari seorang bayi yang tidak berdosa dibuang seolah-olah kita masih berada di zaman jahiliah.

Persoalannya, adakah kita ingin menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan ataupun masyarakat Jahiliyah sebagai ikutan? Tepuk dada, tanya iman.

Keimanan Pemangkin Jati Diri Kukuh

Ayuh! Kita singkap sejarah keimanan Bilal bin Rabah yang mempertahankan agamanya di tengah padang pasir yang panas dan mulutnya tetap menyebut Ahaddd… Ahaddd… walaupun diseksa dengan kejam oleh tuannya Umayyah bin Khalaf.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al Anfal ayat 2;

“Sesungguhnya orang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka…”

Masih ingatkah anda tentang kisah gadis pintar Matematik yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun?

Bagaimana kisah hidupnya yang dulu diangkat dan dijadikan contoh oleh masyarakat hanya tinggal sejarah.

Saat iman di dadanya luntur, agama bukan lagi menjadi pegangan hidupnya dan keperibadiannya pincang sehinggakan jasadnya boleh dijual beli.

Maka, terbuktilah tanpa iman di dada runtuhnya peribadi diri.

Kepentingan Ilmu Membentuk Keperibadian Utuh

Insan yang berusaha untuk membentuk keperibadian utuh akan sentiasa mempelajari dan menguasai segala bidang ilmu dan bersedia meninggalkan ilmu negatif yang boleh membinasakan diri sendiri.

Gemilangnya ummah Abbasiyah kerana kecintaan masyarakatnya terhadap ilmu sehingga lahirnya tokoh-tokoh dalam bidang perubatan, Matematik dan Astronomi seperti Ibnu Sina, Al Farabi dan Al Khawarizmi. Firman Allah dalam surah Al Mujadalah ayat 11;

“Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat…”

Ayuhlah kita muhasabah diri, sedalam manakah ajaran agama yang kita ikuti, sejauh manakah akhlak Rasulullah yang kita contohi serta seteguh manakah iman yang kita miliki dan sekuat manakah ilmu yang kita cari dalam usaha membina jati diri yang kukuh dan keperibadian yang utuh.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.