, ,

Saya Tak Pandai Didik Anak, Allah Yang Bantu

“Kalau kita bantu orang, Allah janji akan bantu kita, saya tak pandai didik anak, Allah yang bantu”.

Itulah kata-kata nasihat yang disampaikan oleh seorang pak cik kepadaku apabila aku bertanyakan rahsia di sebalik kejayaannya mendidik anak-anaknya sehingga ke menara gading.

Terinspirasi dengan pesanannya, aku nukilkan bingkisan pertemuan kami diruangan FB ku sebagai tanda penghargaanku buat dirinya.

Alhamdulillah, kini 2 tahun sudah berlalu, namun kata-katanya masih segar diingatanku saatku melihat kembali gambarnya terpapar sebagai memori di laman FB ku.

Entah kenapa aku tergerak hati untuk berkongsi kembali kata-katanya buat diriku dan juga buat tatapan bersama rakan-rakan pembaca dengan harapan manfaatnya kita perolehi bersama.

Jodoh pertemuan di tangan Allah, begitu juga pertemuanku dengannya di perkarangan masjid UTHM seusaiku beredar pulang dari menunaikan tugas sebagai pengerusi tetap di Mesyuarat Agong Kelab ‘Iqra UTHM pada hari tersebut.

Pada waktu itu, seingatku turut berlangsung karnival ‘Jom Masuk U’ di padang kawad UTHM bersebelahan dengan masjid. Dudukku hanya sesaat sebelum senyuman terukir buat diriku daripada seorang pakcik saat aku terpandang wajahnya.

Mungkin di situlah permulaan kepada perbualan aku dengan dirinya. Bermula dengan bertanya asal dari mana dan kenapa datang ke sini, akhirnya perbualan kami semakin rancak berlanjutan sehingga perkongsian cerita dan rahsia di sebalik perjalanan kehidupannya sebagai ketua keluarga.

“Alhamdulillah, Anak pertama pak cik sekarang di USIM, anak kedua di USM dan anak ketiga melanjut pelajaran di Jepun,”

ujar pakcik dengan tenang menjawab persoalanku berkaitan anak-anaknya.

Dia turut memaklumkan kepadaku bahawa dua daripada anaknya mendapat biasiswa penuh dari kerajaan Malaysia berkat keizinan Allah jua.

Teruja aku saat itu.

Bukan sekadar kerana aku mendengar cerita akan kejayaan anak-anaknya, namun susun katanya sekilas membawaku untuk muhasabah sendiri bahawa setiap kejayaan semuanya berkat daripada keizinan dan kasih Illahi buat hambaNya yang sentiasa bersyukur dan memohon pertolongan daripada-Nya.

Terdetik dalam hati kecilku betapa beruntung anak-anaknya kerana di sebalik kejayaan yang diraikan, mereka mempunyai orang tua yang mendoakan dan cukup hampir hubungannya dengan Sang Pencipta.

Sedangkan diri ini yang hanya seketika direzekikan berdamping dan duduk bersama dengannya seakan cukup terasa dengan santunan dan kerendahan hatinya di dalam memberi kata-kata nasihat dan perkongsian tentang kehidupan.

Aku pasti ada rahsia di sebalik didikan daripadanya yang mungkin boleh aku turut ambil buat pelajaran sekiranya aku bergelar ayah nanti.

Lalu aku ajukan pertanyaan berkaitan didikannya di rumah, sambil sedikit senyuman terukir. pertanyaanku dilayannya juga, katanya, 

“Kalau di rumah, saya tutup tv dari jam 7:00 malam sampai jam 9.00 malam, masa tu anak-anak saya kena duduk sama-sama saya buat kerja rumah, kami makan sama-sama dan solat sama-sama. Selepas jam 9 malam, baru saya benarkan mereka tengok dan buat apa sahaja aktiviti lain.”

Allahurabbi, kata-katanya seakan cukup buatku menggambarkan kepada aku betapa telitinya dia dalam mengasuh anak-anak dengan campur tangan Illahi.

Aku seakan melihat hubungan kekeluargaannya dijaga rapi dengan diperuntukannya masa bersama untuk anak-anak dan belajar menghargai dan menyayangi di antara satu sama yang lain.

Kemudian hubungan dengan llahi tidak diasingkan namun dijadikan asas dan pengukuh kepada keyakinan jati diri keluarga demi membentuk keluarga dan mencari kejayaan sesempurna perintah Illahi.

Sedikit persoalan yang aku ajukan, namun infiniti hikmah tersembunyi di setiap kata-kata perkongsian dan pesan daripada pakcik buat aku masih teringat sampai sekarang.

Terima kasih pak cik atas nasihatmu yang buat hati ini menangis, merindui untuk dihadirkan cinta dalam kata-kata yang disandarkan semuanya untuk mengagungkan Illahi.

Mungkin pak cik sudah terlupa akan nasihat yang pernah diberi, namun biarlah diri ini menjadi saksi akan peringatan yang pernah pak cik berikan seakan dibicarakan ini anaknya yang diharapkan bantuan hanya pada Illahi.

******

Terima kasih Ya Allah, Engkau pertemukan kami walaupun pada kadar yang singkat.

Ya Allah, Engkau rahmatilah kehidupan pak cik ini dan keluarganya di dunia dan akhirat.

Di dalam setiap baris kata nasihatnya kepadaku,

beliau sentiasa membawaku untuk memuji namaMu Ya Allah dan mensyukuri nikmatMu di atas segala nikmat kejayaan yang Engkau rezekikan kepada anak-anaknya.

Sifatnya cukup merendah diri dalam membicarakan nikmat-nikmat yang dia perolehi dariMu, Ya Allah.

Dia juga yakin akan janjiMu bahawa Engkau akan membantu hambaNya yang suka membantu hamba-hambaMu yang lain, maka itu yang dia kongsikan sebagai nasihat kepadaku dengan penuh yakin tanpa sedikit ragu pun dengan harapan agar aku juga begitu.

Maka Ya Allah, Engkau tambahlah nikmatMu ke atas pak cik ini di atas keyakinannya terhadap kekuasaanMu seperti Yang Engkau janjikan kepada hamba-hambaMu yang sentiasa mensyukuri nikmatMu.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohamad Zikri Bin Haizan. Merupakan seorang penjawat awam. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.