, ,

OKU Seperti Aku Juga Berhak Bahagia

Setiap kejadian Sang Pencipta tiada pernah sia-sia. Meski sebesar kuman. Meski selumat zarah. Tersedia manfaat buat hamba-hambaNya, sejak zaman berzaman lagi.

Sesungguhnya, Sang Pencipta mengurniakan kekurangan bukan untuk ditangisi. Bukan untuk diratapi. Tetapi untuk ditelaah dan direnungi. Kerana setiap insan dikurniakan akal fikiran demi manfaat sejagat tidak disia-siakan.

Seawal saya dilahirkan, saya tidak pernah kenal dan memahami siapakah gerangan orang kelainan upaya (OKU)?

Bagaimanakah rupa keadaan mereka?

Bagaimanakah jua kesihatan mereka?

Kerana saya dilahirkan cukup sifat. Tahu rasanya berjalan, rasanya menapak kaki menjejak tanah. Tidak pernah sesaat berasa seakan tidak punyai kaki.

Benar-benar sihat lincah berlari, berbasikal, kurus tubuh tegap berdiri, tidak terlalu berisi. Melihat panorama alam tiada hijab, kembara merata ceruk tanah air bersama keluarga tercinta.

Namun, bulat senantiasa bergolek tiada pernah jemu dan lesu. Cerahnya langit kehidupan, tiba saat mendung tiada siapa pun bisa menghalang. Membadai jiwa mengalun gelora. Melemaskan jiwa melenyapkan kegirangan menjulang.

Sudah ketentuan Sang Pemilik Alam Penentu Qadar. HakNya tiada siapa bisa melawan, membentak-bentak mempersoal, bikin rungut mencemar derhaka.

******

Dikala umur saya mencecah 6 tahun, saya sudah memulakan pengajian pra-sekolah ala Islami naungan sebuah badan bukan kerajaan bertaraf haraki.

Selanjutnya saya memasuki sebuah sekolah kebangsaan, SRK Air Baruk, Jasin. Saya tidak pernah sepi dibuli segelintir rakan-rakan sekolah.

Mungkin kerana di saat itu fisiologi saya sudah mempamerkan tanda-tanda bakal bergelar orang kelainan upaya (OKU). Menjadikan saya antara mangsa pembuli-pembuli cilik itu semua.

Masih terpahat di ingatan, kadangkala ada seorang pembuli akan buat kutipan wang seakan wang perlindungan.

Setiap hari wang saku dibekalkan ayah kepada saya berjumlah seringgit, disebat olehnya hingga kosonglah saku seluar saya. Cukup besar nilaian seringgit di zaman itu. Hasrat membeli makanan di kantin lebur begitu sahaja.

Mujurlah setiap hari persekolahan, saya dibekalkan makanan dari air tangan emak semerbak kasih dan sayang.

Meskipun emak wanita berkerjaya dalam bidang perguruan, setiap awal subuh pasti ligat menyediakan sarapan buat kami sekeluarga dan sebagai bekal saya ke sekolah. Berupa nasi goreng, mee hoon goreng dan berbagai macam lagi.

Kadangkala, makanan unik dibikin emak adalah kuih jemput-jemput atau pun cucur kodok. Sehinggakan saya bersama seorang sepupu karib saya, Zaid Harithah, pernah bikin sebuah parodi lagu dengan intipatinya adalah cucur kodok.

Aku anak Cikgu Abdullah
Pagi petang makan cucur kodok saja
Aku anak Cikgu Abdullah

Begitulah telatah anak kecil bikin rungutan. Perihal menu makanan pun boleh dijadikan isu. Sedangkan, bukanlah cucur cekodok menjadi makanan asasi dan rutin harian. Kerana emak cukup rajin menjadi chef di rumah dengan berbekalkan ‘ilmu masakan daripada master chef kami (ayah).

Saya pula cukup rajin merujuk pelbagai buku resepi meminta-minta berbagai menu makanan. Manakala di penghujung minggu, pasti ada sahaja menu istimewa bikinan emak buat kami sekeluarga menikmatinya.

Sesungguhnya antara manifestasi cinta seorang emak adalah dengan masakan yang enak-enak belaka buat insan-insan disayanginya.

******

Penindasan dan pembulian yang sering saya alami ketika di alam persekolahan dahulu,

tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan penderitaan yang menekan para Rasul terdahulu.

Ada yang ditindas, diherdik, dihina dengan pelbagai kecaman dan ugutan. Malahan lebih parah, ada juga yang dibunuh kejam oleh umatnya sendiri sepertimana para Rasul yang diutuskan buat kaum bani Israel.

Sebuah kalam Allah SWT ditujukan buat Kekasih Junjungan SAW ada menyatakan,

“Sekiranya demikian akibat orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).” (Surah al-Ahqaf: 35)

Dikala itu, turut terlakar karenah lucu seorang pembuli yang merupakan pelajar kelas lebih atas dari saya. Sedang keasyikannya membuli saya di kantin sekolah dengan gertakan olok-olok hendak memotong kaki saya.

Tiba-tiba Kak Uda saya yang turut merupakan pelajar kelas lebih atas dari saya, muncul dengan tangkas bagaikan Ratu Mesir bernama Syajaratud Dur yang handal menentang tentera salib suatu ketika dahulu.

Pembuli itu menggelupur dan bingung untuk berdolak dalih dengan kenakalannya itu. Kemudian, beliau terus cabut lari dan berlalu pergi.

Namun kini, saya sudah memaafkan pembuli-pembuli cilik itu semua. Tiada gunanya menyimpan dendam yang tiada berpenghujung dan sia-sia.

Apatah lagi, di kala itu kami masih anak-anak hingusan yang masih belum matang dan cukup akal.

Saya amat berharap, mereka semua sudah menjadi insan berguna dengan memanfaatkan kemampuan yang ada demi kebaikan di dunia dan akhirat.

Emak sering berpesan kepada saya,

“Tidak mengapa. Biarlah orang lain yang bikin onar pada kita. Asal bukan kita yang bikin onar pada orang lain.”

Meskipun begitu, saya masih punyai ramai rakan-rakan sekolah yang luhur dan tulus budinya. Tiada dipinggiran seakan makhluk asing berkepala besar bertubuh hijau.

Mereka sudi menerima saya apa adanya. Sahabat bernama Aswan adalah antara paling kamceng dan banyak menghulur bantuan buat saya. Susah senang kami hadapi bersama.

Benar-benar jujur dalam persahabatan dan cukup eratnya ikatan.

******

Ketika di alam persekolahan, saya hanyalah seorang murid yang sederhana. Tidaklah terlalu bijak dan tidak juga terlalu dungu.

Saya adalah seorang murid yang berprofil rendah dan tidak pernah langsung berpeluang dilantik sebagai ketua kelas.

Namun, ada seorang guru dari kalangan kaum India yang baik hati, Cikgu Subramaniam. Beliau sering menguji keupayaan dan tahap kepimpinan saya.

Setiap kali tiba giliran beliau mengajar di kelas kami, saya diberikan kepercayaan menjadi ketua dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI).

Suatu ketika pula, saya dimarahi seorang guru Bahasa Melayu (BM), Cikgu Faridah. Kerana saya hanya berpeluk tubuh, kaku dan buntu ketika disuruh menulis dan membina sebuah karangan.

Beliau seakan teramat kecewa dengan kelemahan saya dalam matapelajaran BM.

Saya turut pernah dirotan di telapak tangan oleh seorang guru Matematik, Cikgu Jamilah. Kerana tangan saya cuai dan gagal membawa pulang kerja rumah untuk disiapkan.

Saya cukup terkesima dan sedih dengan amarah yang dilemparkan Cikgu Faridah dan Cikgu Jamilah terhadap saya.

Bikin saya kesal dengan diri saya sendiri yang lemah berusaha dalam pelajaran.

Namun, semakin saya meningkat dewasa, sebuah kalam Allah SWT sering terngiang-ngiang di minda saya,

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (at-Tin: 4)

Ianya suatu mesej jelas bahawa, setiap insan yang berakal fikiran waras, dikurniakan potensi untuk maju dan menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik.

Lantaran itu, bikin saya tersedar akan hikmah dan ketegasan para guru dalam mendidik anak-anak muridnya.

Tiada insan yang lebih tulus setelah ibu-ayah melainkan para guru. Tiada guru yang mahukan anak-anak muridnya gagal dan menjadi sampah masyarakat.

Tetapi mereka mahukan yang terbaik dan tumpang gembira dikala anak-anak muridnya menjadi insan cemerlang dan terbilang.

Gurulah antara insan budiman yang berasa bangga ketika kita berada di puncak jaya.

Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas ketegasan para guru saya ketika di sekolah dahulu yang telah berjaya melentur saya menjadi seorang penulis yang mampu menulis pelbagai bentuk penulisan sastera, seperti sajak, rencana dan cerpen buat masa ini.

Saya berharap, para guru saya turut berasa bangga dengan diri saya. Sekiranya mengetahui saya sudah pun bergelar penulis.

Namun dengan izinNya, saya tidak akan pernah lupa jasa dan didikan guru utama saya setelah Rasulullah SAW, iaitu ayah saya sendiri. Emak sering menyatakan pada saya,

“Adik mewarisi bakat ayah dan telah memanjangkan cita-cita ayah dalam dunia sastera.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah (Penulis OKU). Berasal dari Krubong, Melaka. Ikuti perkembangan beliau di FB AdliAbdullah, IG AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.