,

Bagaimana Untuk Menjahit Luka Di Hati Dan Mencari Diri Sendiri

Hilang

Aku menapak langkah perlahan. Ditemani earphone yang perlahan memainkan muzik lo-fi. Aku melangut ke atas, memandang langit yang kelam. Tiada bintang. Sunyi. Sesunyi hati sendiri.

Apakah yang aku hilang?

“Bukankah hidup adalah tentang perjuangan? Perjuangan untuk memenangkan diri sendiri daripada membebaskan segala yang melelahkan? Segala yang menikam setiap penjuru kebangkitan?” Aku teringat pada kata-kata Ann petang tadi usai solat berjemaah dengannya di bilik.

“Mungkin ya. Mungkin juga tidak.’’ Aku mengeluh. Begitu sukar untuk memahami perasaan sendiri. Apatah lagi insan lain.

“Tidak?” Ann keliru. Aku tunduk memandang sejadah. Lama sehingga terasa bahuku ditepuk.
Aku mengangkat muka. Jari telunjuk Ann dihala ke dadaku kemudian ke dadanya.

“Dalam ni. Kita yang rasa. Dan Tuhan tahu.” Ann senyum.

Hidup ini mudah. Bangun daripada tidur, makan, dan tidur kembali. Adakah cukup hanya hidup sebegitu? Tanpa mimpi, tanpa cita-cita? Tiada destinasi untuk dituju? Tiada kompas untuk mengarah tujuan? Dan ada sesuatu yang aku hilang, lebih daripada semua itu.

Aku berhenti meneruskan jalan bila ternampak destinasiku. Singgah di tepi sungai universiti tempat aku menadah ilmu sambil memandang langit yang kelam. Cahaya lampu samar-samar kelihatan di sekelilingku.

Bonus bila ada kopi panas untuk dihirup, ataupun cuma rintik air yang kelihatan selepas hujan. Ah, kegemaranku! Masa yang aku ambil untuk berfikir. Tentang diri sendiri, mudahnya. Ataupun tentang kehidupan, sukarnya.

Aku memejam mata. Memeluk diri sendiri yang mula terasa dengan kedinginan malam. Menarik nafas dan menghembus perlahan.

Tiba-tiba dada terasa sebu. Ada titik air panas yang jatuh, lalu aku seka dengan jari. Aku memegang dada yang terasa penuh. Sakit. Apakah yang aku hilang?

23 tahun bernafas di muka bumi. Fikiran aku menerewang Jauh memikirkan setiap detik masa yang diisi. Teringat kembali pertanyaan aku kepada Ann.

“Kau rasa, sebab apa kadang-kadang kita rasa semacam tiada perasaan, atau hilang sesuatu? Tapi entah rasa yang bagaimana.”

“Err.. kosong?” Ann tanya kembali.

“Mungkin.”

Ann menarik nafas. Seperti memikirkan sesuatu.

“Sebab kita isi diri dan hidup kita dengan benda yang tak sepatutnya kita utamakan?”

“Cliché.” Aku tergelak kecil. Ann tersenyum.

Tak ada manusia yang sempurna, Ann.

“Hmm.. hilang sesuatu? Mungkin diri kita sendiri. The real us. The person we should be.”

The real us.
The person we should be.

Aku memejam mata. Angin sepoi-sepoi bahasa mula menyelubungi badan. Dingin.

Jawapannya ada pada kita.

Entah banyak mana aku lupa menutur syukur apabila Tuhan memberi peluang untuk terus terjaga di pagi hari. Entah banyak mana nikmat Tuhan yang aku lupa, kerana sibuk memikirkan sedikit ujian yang diberi.

Hidup bukan sekadar untuk hidup, tetapi dalam memaknakan hidup. Live the life. To the fullest.

Dengan impian, dengan cita-cita, dengan harapan. Jatuh? Bangkit semula. Putus asa, kecewa dengan masa lalu?

Kita yang semalam, masih kita pada hari ini, dan mungkin esok hari. Yang berbeza adalah pilihan kita, bagaimana untuk menjahit luka di hati, dan mencari diri sendiri.

Aku memegang dadaku. Mengusapnya perlahan lalu membuka mata.

Tuhan, jadikan aku kuat!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wahida Amalin (Hayati Sakinah).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.