*cerita ini adalah berdasarkan pengalaman penulis.
Aku jumpa dia di tandas wanita di sebuah R&R. Entah kenapa aku rasa begitu tertarik untuk terus memerhatikan dia. Sepertinya aku ini sedang melihat seorang selebriti terkenal! Tetapi tidak!
Dia hanyalah seorang wanita tua yang sudah beruban penuh di kepala, yang duduk di atas kerusi roda.
Aku yang baru selesai membasuh tangan, mematikan air dari pili di sinki. Bersandar di dinding tandas, dan terus ralit memerhati. Dan, bukan hanya aku seorang.
Tetapi kebanyakan orang dalam tandas yang sedang beratur menunggu giliran juga, turut memerhatikan dia.
Raut wajahnya walaupun sudah kerepot di sini sana, tetapi sangat… tenang dan menenangkan. Uban yang keluar sehelai dua dari celah tudungnya ditolak ke dalam dengan jari yang sedikit menggeletar.
Siapa dia?
Aku mengagak, usianya mungkin sekitar 80-an atau mungkin juga sudah mencecah 90-an. Mesti di usia remajanya dia seorang yang sangat cantik. Dia sedang menunggu anaknya (tekaan aku) yang sedang membersihkan tandas yang dia tinggalkan.
“Tak apa, tak apa… biar saya bersihkan,” wanita India yang memegang mop di tangan itu berkata bila dilihatnya anak wanita tua itu masih lagi mencuci.
“Tak apa. Sikit sahaja. Perkara biasa. Terima kasih,” balas anak wanita tua itu.
Di dalam hati aku sudah punya sendu. Tersentuh dengan budi bahasa wanita India dan juga budi bahasa anak wanita tua itu.
Kalau orang yang jenis tidak ambil pusing, sudah pasti dibiarkan sahaja. Lebih-lebih lagi bila wujud tawaran untuk mencuci kotoran najis di tandas awam oleh pekerja cucian. Pasti ada yang mengambil kesempatan dan lepas tangan.
Rasa malu seolah hilang bila najis sendiri dicuci orang!
Tetapi tidak bagi kedua mereka. Masing-masing sedar tanggungjawab. Dan, masing-masing berebut untuk melaksanakan.
Ya Allah, indahnya pemandangan yang kau sajikan walaupun ia berlaku di satu tempat yang bernama – tandas!
Aku masih lagi melihat ke arah wanita tua berambut putih di atas kerusi roda. Dia setia di situ. Hanya duduk diam memandang ke arah pintu.
Aku sudah selesai urusanku dan aku ingin berlalu. Aku bergerak, melepasi kerusi rodanya sebelum mata tertangkap yang kain baju kurungnya tersingkap.
Ya, dia wanita tua yang auratnya dimaafkan jika tidak sengaja tersingkap. Tetapi aku sudah nampak. Aku hampiri dia. Saat itu anaknya sudah mula menolak kerusi roda untuk keluar dari tandas.
“Sekejap,” kataku. Lalu kain yang tersingkap dan terlipat di bawah pehanya kutarik perlahan.
Wanita tua itu memandang padaku, sambil tersenyum. “Terima kasih.” Manis senyumannya. Anaknya hanya mengangguk sebelum mereka berlalu.
Sebelum keluar, wanita India itu melempar senyum pada aku. Seolah-olah mengucap terima kasih, mungkin kerana budi sekelumit habuk yang kuberi pada wanita tua itu.
Aku membalas dengan senyuman. Dalam hati berkata, “Dia orang baik walau kami berlainan bangsa. Jika dia Islam, tentu sudah mendapat pahala dari setiap perbuatan baik yang dia lakukan. Moga Allah kurniakan dia rezeki dan kesihatan tubuh badan.”
Keluar dari tandas, dari jauh aku melihat satu lagi keajaiban. Wanita tua yang sedang ditolak kerusi rodanya oleh si anak sedang diberi laluan oleh orang-orang di R&R. Aku lihat dia sudah seperti seorang menteri.
Siapa dia?
Sehingga semua orang memuliakan dia? Hati dicuit-cuit dengan persoalan. Apakah amalannya, sehinggakan di dunia lagi Allah sudah memuliakan dia, apatah lagi di akhirat kelak. Bagaimana dengan hari-hari tuaku?
Adakah begitu atau sebaliknya?
Hati dipalu sayu.
Ya Allah, kurniakan aku keupayaan akal dan kesihatan tubuh badan untuk melakukan amalan yang membolehkan aku mendapat perhatian-Mu, kasih sayang-Mu seperti mana yang KAU berikan pada orang-orang yang kau pelihara hidupnya di dunia dan akhirat.
Ini hanyalah secebis kisah yang kukutip dari sebuah R&R. Kisah yang membuatkan hati aku rapuh sehingga tidak boleh kabur dari ingatan. Jadi, aku ambil keputusan untuk menjadikan ia satu coretan.
Bila Allah memilih kita untuk melihat dengan mata hati, coretlah. Moga ada manfaat bila ada yang membaca dan mengambil iktibar darinya.
Jangan disimpan ‘permata’ yang Allah hadiahkan. Pertontonkan buat yang lain agar dunia ini dipancari dengan keindahan.
Wallahualam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Norsamila binti Samsudin. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Norsamila Samsudin.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)