Sekujur jasad lelaki itu kupandang lama.Tanpa sedar air mata mengalir laju.
Sejak tengah malam tadi air mataku masih belum berhenti sepenuhnya. Aku memeluk erat adik bongsuku. Kasihan si kecil. Aku sayang sangat pada arwah.
Para petugas hospital sedang memandikan jasad lelaki itu. Ya. Jasad lelaki yang terbaring kaku itu adalah lelaki yang aku sayang sejak beberapa tahun lalu.
Selesai ahli keluarga memandikan arwah untuk kali terakhir, aku dipanggil. Diizinkan untuk menjirus air kepada jasad arwah dalam keadaan bertutup.
Awak… terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya. Tanganku ketar. Sempat jua kutitipkan kata-kata pada pendengaran arwah. Aku tahu arwah dengar. Rohnya dengar. Air mata tak usah cakap. Asyik mengalir.
Selesai memandikan, beberapa orang lelaki termasuk adik lelakiku menguruskan jenazah arwah. Mengkafankan arwah.
Awak hensem sangat masa tu. Comel saja saya tengok. Wangi. Macam bayi yang dibedung setelah lahir. Tapi, sekarang awak nak balik ke tempat asal awak.
Ramai sangat yang datang jenguk awak. Lawat awak buat kali yang terakhir. MasyaAllah… terlalu ramai sahabat terdekat awak yang sanggup datang dari jauh untuk terakhir kali.
Mereka punyai air muka yang bersih. Berwajah tenang. Seperti mana diri awak. Baik. Orang yang sentiasa terlihat tenang. Akan saya jumpa lagikah lelaki sebaik awak?
Saya dan beberapa orang ahli keluarga menaiki van jenazah. Mengiringi awak ke tanah perkuburan usai solat jenazah.
Ramai yang solat jenazah untuk awak. Tak sangka sangat. Ramai kenalan dan sahabat awak terkejut dengan berita kematian awak. Meninggal kerana kemalangan.
Saya lagi terkejut awak tahu tak… sebab saya adalah orang terakhir yang telefon awak malam itu dan saya jualah menjadi orang pertama yang mendapat khabar duka mengenai awak.
Saya hanya mampu doa sahaja awak. Doa moga dikuatkan hati. Sungguh-sungguh saya doa minta Allah redhakan hati saya.
Terima semua ini dengan berlapang dada. Doa moga Allah relakan jiwa saya dengan pemergian awak.
Talkin dibacakan. Setiap orang mendengar termasuk diri saya. Kerdilnya diri saya masa tu. Juga pertama kali dalam hidup saya secara langsung dengar akan talkin yang dibacakan di tanah perkuburan berhampiran rumah awak.
Alhamdulillah. Segalanya mudah. Allah lancarkan sungguh perjalanan awak pulang ke tempat asal awak. Awak jangan takut ye. Saya dan semua orang di dunia ini pun akan menyusul kembali ke tempat asal kami. Rumah asal kediaman kami. Hanya saja waktu yang menentukan segalanya.
Kini sudah hampir setahun awak meninggalkan dunia ini. Awak membawa semua kenangan bersama teman-teman awak. Bersama saya dan juga keluarga.
Saya jadi insaf seketika dan berita mengejutkan mengenai awak itu seolah masih terbayang di tubir mata. Selama perkenalan kita… banyak perkara saya belajar daripada awak. Seorang yang cool dan relaks, itulah diri awak.
Nasihat, kata-kata positif, segala teguran daripada awak selama ini saya pegang dan ingatkan pada diri saya sendiri.
Bahkan perbuatan baik awak juga saya contohi dan saya amal untuk menempuh hari-hari mendatang.
Perkenalan kita tidak sia sia. Hanya sekejap sahaja Allah izinkan pertemuan antara kita dan ada sebab mengapa kita dipertemukan.
Lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama itu memang meruntun qalbu saya hingga kini. Ya. Tak sangka sungguh, bukan? Konon-konon lagu tema antara kita menjadi asbab saya kena relakan jiwa saya untuk lepaskan awak pergi pada akhirnya.
Dan hingga kini… saya tak pernah lupakan awak. Doa sentiasa saya panjatkan untuk diri awak di alam barzakh sana.
Semoga tenang dan damai di alam sana, wahai awak. Insan yang pernah hadir dalam hidup saya dan pernah mewarnai kehidupan saya serta banyak membantu saya untuk menjadi tabah dan kuat dalam kehidupan setelah ibu bapa, keluarga serta sahabat.
Kadangkala awak muncul dalam mimpi… seolah tahu saya rindukan awak.
Semoga roh awak ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Terima kasih atas segalanya awak.
******
Kepada kalian yang membaca kisah ini, hargailah orang yang anda sayang atau orang yang sayangkan anda.
Waktu tidak akan mampu berputar kembali. Apabila kehilangan mereka, baru kita sedar. Hanya tinggal kenangan untuk kita kenang selagi hayat dikandung badan.
Jagalah hati, kerana dalam kehidupan ini, tanpa kekuatan yang datang daripada hati, anda tidak akan mampu melalui onak dan duri dalam hidup sepanjang kehidupan anda.
Bahkan saya juga sentiasa mengingatkan diri saya bahawa dalam hidup ini, kita perlu cintakan Allah melebihi segala apa yang ada di dunia ini.
Kadang-kadang, Allah uji hati kita dengan orang atau benda yang kita sayang. Mungkin selama ini kekhilafan diri saya jualah yang terlalu mencintai manusia hingga Allah ambil lelaki yang saya sayang.
Manusia akan sentiasa diuji hatinya untuk melihat sejauh mana hati dan dirinya cintakan Allah. Awak doakan saya dari jauh ye. Moga saya kuat, hati lebih cinta akan Allah dan Rasulullah sampai bila-bila.
Wallahua’lam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Athirah dan sudah bekerja. Seorang yang berhasrat untuk berbakti pada agama bangsa dan negara.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.