Setelah beberapa hari Rasulullah dan kaum Muslimin bergerak dari Madinah ke perang Tabuk, Abu Khaitsamah kembali pulang pada hari yang sangat panas itu.
Dia melihat dua isterinya sedang berada di dua khemah miliknya di kebun kurma, masing-masing membuat khemah sendiri, menyediakan air dan menyiapkan makanan untuk Abu Khaitsamah.
Ketika ingin memasuki pintu khemah, apabila melihat kedua isterinya dan makanan yang telah dipersiapkan, Abu Khaitsamah berkata: “Rasulullah berada di bawah terik matahari dan udara yang sangat panas, sementara Abu Khaitsamah berada dalam naungan sejuk, makanan yang telah dipersiapkan, dan wanita cantik, dia (Abu Khaitsamah) menikmati hartanya.”
Lalu, dia berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memasuki khemah kamu berdua (isteri) hingga aku menyusul Rasulullah, siapkan bekalanku.” Kemudian, kedua isterinya menyiapkan bekalan dan unta tunggangannya, lalu Abu Khaitsamah pergi mencari jejak Rasulullah.
Dalam perjalanan, Abu Khaitsamah bertemu Umair bin Wahab Al-Jumahi yang turut sama mencari jejak Rasulullah.
Abu Khaitsamah berkata kepada Umair: “Aku punya dosa, kerana itu kamu jangan sampai tertinggal dariku hingga aku menemui Rasulullah.”
Setelah beberapa lama, dari kejauhan, kaum Muslimin nampak kelibat mereka dan memberitahu Rasulullah.
Mereka berkata: “Ada penunggang yang datang.” Rasulullah berkata: “Mudah-mudahan Abu Khaitsamah.” Lalu, kaum Muslimin mengatakan: “Wahai Rasulullah, demi Allah dia Abu Khaitsamah.”
Kemudian, Abu Khaitsamah menghampiri Rasulullah dan mengucapkan salam. Setelah Abu Khaitsamah menceritakan apa yang dia alami, Rasulullah mengucapkan kebaikan dan mendoakan kebaikan untuknya.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)