,

Maafkan Diriku, Ya Allah

Ada masa bila hati sesak dengan kerenah dan tekanan, emosi dan perasaan mudah terganggu. Perkara-perkara negatif mudah memenuhi dada dan kepala.

Ada masanya mudah pula teringat kepada orang-orang yang membuat salah pada diri kita. Satu demi satu terpampang. Flashback seolah macam dalam wayang.

Dihasut lagi dengan rasa pelik dan geram dengan si pembuat salah yang tak pernah rasa dirinya bersalah. Geram rasanya sebab tidak pernah mengeluarkan perkataan maaf.

Rasa sakit hati makin bertimpa-timpa kerana terlalu memikirkan sebab dikhianati, ditikam dari belakang dan diburuk-burukkan.

Rasa menyesal kerana kenal dan berkawan dengan orang seperti ini. Lebih teruk lagi rasa menyesal kerana terlalu baik dengan orang.

Dalam pada berfikir, tiba-tiba terlintas perihal urusan kita dengan Allah. Bagaimana pula kita yang kerap membuat salah padaNya.

Macam mana pula kalau kita yang berkira meminta maaf dengan Allah dan Allah itu pula berkira memaafkan hambaNya.

Otak saya berhenti berfikir, seketika saya terdiam dan beristighfar beberapa kali. Urusan memohon ampun atas kesalahan saya terhadap Allah yang lebih baik saya fikirkan, bukannya lebih memikirkan kesalahan dan permohonan ampun daripada orang kepada saya.

Sememangnya sifat Allah itu memaafkan hamba-hambaNya, namun adakah kita seorang yang mampu membuang ego dalam diri, menundukkan kepala kita secara zahirnya dan menundukkan hati secara batinnya kepada Pencipta kita.

Mampukah kita meluangkan masa seketika membuang rasa ego dengan mengakui pada Allah satu demi satu kesalahan kita padaNya.

Mampukah kita dengan hanya bersenyap-senyap dan berseorangan bersamaNya, berbisik-bisik mengakui, menceritakan perilaku kita secara senyap kepada Allah.

Meskipun hanya berdua denganNya, mampukah kita membuang ego walaupun seketika?

Soalan demi soalan timbul di fikiran. Kebanyakan ditujukan pada diri sendiri. Kembali saya merujuk kepada Al-Quran.

Di dalamnya Allah menyebut beberapa kali mengenai urusan taubat yang dapat diambil iktibar di samping kita mendalami dan memperbaiki urusannya.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Aku-lah yang Maha Penerima Taubat, Lagi Maha Mengasihani.”  (Surah 2: Ayat 160)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah 49: Ayat 12)

“Kemudian, nabi Adam menerima daripada TuhanNya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia-lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah 2: Ayat 37)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Amalia@Amelia Binti Mukhlas. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Kini, berkhidmat sebagai tenaga pengajar di universiti.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%