,

Barah Pornografi Membawa Padah

Pornografi boleh didefinisikan sebagai gambar, tulisan atau material lain yang memiliki tujuan utama memenuhi hasrat seksual.

Bagi dunia hari ini pornografi sudah menjadi satu kebiasaan dan sangat mudah untuk didapati terutama di laman sesawang. Hal ini menyebabkan pornografi ini mampu menembusi seluruh lapisan masyarakat sama ada yang kanak-kanak, anak muda mahupun yang telah lanjut.

Lebih malang lagi apabila ia menjadi satu kemestian bagi sesiapa yang telah terjebak dengan perkara ini untuk melihat bahan-bahan ini sama ada lelaki mahupun wanita.

Apa yang lebih membimbangkan apabila kehadiran seorang bintang pornografi di Malaysia menjadi isu hangat oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda terutamanya lelaki.

Walhal telah jelas jenayah moral yang dilakukan bintang tersebut tetapi dia masih disambut dan ada juga anak muda yang turut ‘selfie‘ bersamanya dan berkongsi di laman twitter sehingga menjadi tular.

Pornografi Dan Ketagihan

Ramai yang tidak cakna akan penyakit ketagihan terhadap pornografi ini sebenarnya amat merbahaya terhadap otak dan psikologi individu.

Dalam seminar mengenai kesan pornografi terhadap kerosakan otak di Jakarta suatu ketika dulu, ahli bedah saraf dari Hospital San Antonio, Amerika Syarikat, Donald L. Hilton Jr MD mengatakan bahawa ketagihan mengakibatkan otak bahagian tengah depan yang disebut Ventral Tegmental Area (VTA) secara fiziknya mengecil.

“Pornografi menimbulkan perubahan tetap pada neorotransmiter dan melemahkan fungsi kawalan. Ini yang membuat orang-orang yang sudah kecanduan tidak dapat lagi mengawal perilakunya,” kata Hilton serta menambah bahawa ketagihan pornografi juga menimbulkan gangguan memori.

Keadaan itu, tidak terjadi secara cepat dalam waktu singkat namun melalui beberapa tahap yakni kecanduan yang ditandai dengan tindakan impulsif, ekskalasi kecanduan, desensitisasi dan akhirnya penurunan perilaku.

Kerosakan otak akibat kecanduan pornografi adalah yang paling berat, lebih berat daripada kecanduan kokain (dadah).

Apabila seseorang yang melihat bahan-bahan pornografi secara tidak langsung keinginan dalam dirinya akan bertambah. Dia akan mahukan lagi dan lagi.

Jika dia memulakan melihat hanya dengan gambar, langkah seterusnya dia akan melihat kepada video.

Kemudian apabila dia mula melihat kepada video lucah yang biasa, maka keinginan yang seterusnya melihat video yang lebih ganas (hardcore).

Sedar atau tidak, semua perkara ini menjadikan pemikiran penagih porno semakin rosak dari hari ke hari sehingga boleh membawa kepada kerosakan moral, malah lebih teruk lagi apabila keinginan mencuba itu semakin membuak-buak lalu berlakulah pelbagai kes seperti kes rogol, zina.

Bahkan kes-kes ini ada yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur.

Dalam masa yang sama, pornografi menjadikan seseorang itu lebih suka melayani dirinya sendiri berbanding dengan orang lain.

Hal ini kerana seseorang itu sering bersendirian ketika melayani pornografi untuk mencapai masturbasi / onani. Kebiasaannya mereka yang ketagih pornografi akan seiring ketagih kepada masturbasi / onani.

Selain itu pornografi juga menjadikan seseorang itu hilang fokus sama ada dalam urusan kerja atau dirinya sendiri.

Apabila seseorang itu sudah mula terjebak dengan ketagihan pornografi, fikirannya akan selalu berkhayal dan menjadikan kerja-kerja dibuat dengan sambal lewa yang hasilnya pasti tidak memuaskan.

Islam Melarang Pornografi

Agama Islam telah membuat larangan keras melihat aurat dan kemaluan orang lain.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidak boleh seseorang lelaki melihat aurat lelaki lainnya, dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita lainnya.” (Hadith riwayat Muslim)

Dan Islam bukan sahaja melarang daripada berzina, tetapi menghampiri zina pun sudah dilarang.

Hal ini kerana perbuatan menghampiri zina (contohnya menonton pornografi) pun banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Bukti-bukti saintifik pun sudah dijelaskan seperti di atas.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” (Surah Al-Israa’ : Ayat 32)

“Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela.” (Surah Al-Ma’arij :  Ayat 29-30)

Cara-Cara Menghindari Pornografi

Keinginan seksual bagi seseorang adalah normal namun ianya perlu disalurkan dengan jalan yang betul melalui perkahwinan dan syarat-syarat yang telah digaris agama. Jadi, antara beberapa langkah untuk menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala ini:

  1. Libatkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat.
  2. Elakkan daripada mempunyai masa kosong dan berseorangan.
  3. Dapatkan kawan yang boleh memberi kebaikan dan nasihat kepada kita.
  4. Banyakkan pembacaan berkenaan bahaya pornografi terhadap diri.
  5. Membuat lapisan dalam pencarian (search engine) supaya tiada sebarang laman web lucah yang dapat diakses .
  6. Menyedari bahawa sudah banyak membuat kesilapan dengan melihat kepada pornografi sehingga membawa kepada ketagihan.
  7. Kenal pasti punca-punca keinginan untuk melihat pornografi dan berusaha untuk mengelakkannya.
  8. Membuat catatan pada hari-hari yang anda tidak melihat pornografi yang akan memberikan anda lebih motivasi untuk menghindarinya.
  9. Pupuk minat membaca pada waktu lapang kerana ia akan membantu anda untuk melupakan pornografi pada waktu lapang.
  10. Mendapatkan bantuan psikologi jika ketagihan anda di tahap yang sangat kritikal.

Kesimpulan

Perlu kita sedari bahawa darsawarsa pornografi menjadikan masyarakat rosak moral dan nilai manusiawi hanya kerana ingin memuaskan nafsu seksual tanpa berfikir panjang.

Oleh yang demikian, seluruh lapisan masyarakat perlu memainkan peranan mereka dalam membanteras gejala sosial yang semakin membimbangkan ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Ahmad Ammar Muzakir bin Ahmad Hadiri. Merupakan pelajar tahun 3 jurusan Al-Quran dan Al-Hadith di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

12 points
Upvote Downvote

Total votes: 14

Upvotes: 13

Upvotes percentage: 92.857143%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 7.142857%