,

Penting Sangat Ke Akhlak? Kenapa Tak Jadi Diri Sendiri Saja?

Akhlak bukan hanya sekadar melibatkan diri sendiri, tetapi ia turut melibatkan orang lain.

Apabila kita mempunyai akhlak yang baik, sudah pasti orang di sekeliling kita akan selesa dengan kehadiran kita.

Sikap itu akan memberikan kesan positif kepada masyarakat, malah seseorang akan mudah dihormati dan diterima dengan senang hati.

Sebaliknya, jika kita berakhlak buruk apatah lagi suka menyakitkan hati orang lain, mereka akan lebih suka sekiranya kita tiada di samping mereka.

Orang yang berakhlak mulia sudah semestinya akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya,

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam telah ditanya tentang ciri-ciri manusia yang paling banyak masuk syurga. Baginda bersabda, “Bertakwa kepada Allah dan berakhlak mulia. 

(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah menjadi qudwah hasanah iaitu sebaik-baik teladan untuk diikuti setiap manusia di atas muka bumi.

Baginda mempraktikkan akhlak Islam dalam setiap aspek, meliputi ibadat dan muamalat, hubungan dengan Allah dan manusia.

Apabila kita mengamalkan seperti apa yang diajar Rasulullah, ia memberi gambaran baik terhadap agama Islam.

Jika kita berakhlak buruk, siapa lagi yang akan mendapat tempiasnya?

Musuh Islam tidak mengatakan,

Akhlak dia tak elok.

Tetapi mereka akan fokuskan kepada agama iaitu,

Islam tak bagus, tengok akhlak dia.

Orang yang berakhlak mulia akan sentiasa merasa diri diawasi Allah, malah dia sedar bahawa setiap perlakuannya itu tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

لِلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأٓخِرَةِ مَثَلُ ٱلسَّوۡءِۖ وَلِلَّهِ ٱلۡمَثَلُ ٱلۡأَعۡلَىٰۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah an-Nahl 16:60)

Maka, akhlak mulia hakikatnya adalah bukti kepada keimanan yang subur dalam hati seseorang.