, ,

Allah Perintahkan Manusia Berlaku Adil Walaupun Keadilan Manusia Terbatas

Maha Adil adalah antara sifat Allah Subhanahu Wa Taala. Keadilan Allah melangkaui batas pemikiran manusia, kerana jika hanya bersandarkan pada keadilan manusia, sudah pasti ada juga yang tidak diadili dengan sebaiknya, ada sahaja pesalah atau penjahat yang terlepas asbab keadilan manusia yang terbatas.

Namun, melalui keadilan Allah, tiada siapa yang akan terlepas di akhirat kelak.

Tanpa membezakan pangkat, pendidikan, warna kulit, kaum dan agama, semua manusia secara asasnya harus tetap diadili dengan sebaik mungkin.

Jangan hanya disebabkan orang itu kaya atau berpengaruh, dia diadili dengan baik, namun jika orang itu miskin atau tiada pengaruh, dia hanya diadili secara sambil lewa sahaja.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah An-Nisa’ 2:135)

Jadi, bagi memastikan manusia diadili dengan sebaiknya, maka Islam mengutamakan sistem kehakiman yang berlandaskan syariat Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan hakim?

Hakim berasal daripada perkataan al-qada’ yang bermaksud menyelesaikan persengketaan atau pertikaian, menghukum yang bersalah, memberikan hak kepada yang berhak atau mencegah kezaliman daripada terus dilakukan.

Golongan yang melaksanakan hukum itu dipanggil sebagai hakim atau qadi.

Para ulama’ dalam mazhab Syafii menekankan bahawa tidak wajar disebut al-qada’ jika undang-undang keadilan yang dilaksanakan tidak berdasarkan undang-undang Allah.

Secara tidak langsung, ia  menunjukkan betapa pentingnya untuk melaksanakan sesuatu mengikut syariat Islam.

Wallahu’alam.