Selama ini, boleh jadi kita merasakan bahawa akidah itu hanya terkait tentang rukun Iman.
Seolah-olah ia terpisah dengan fiqah dan akhlak.
Hakikatnya, ia saling berkait rapat malah melalui akidah yang benar, seseorang itu tidak akan mempunyai masalah keruntuhan moral.
Jom kita lihat satu persatu peranan akidah sebagai solusi kepada masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat kini.
(a) Akidah lahirkan masyarakat yang mencintai ilmu dan menjauhkan diri daripada budaya hedonisme
Melalui ilmu, masyarakat dapat berfikir secara waras dari segi rohani dan jasmani.
Apa yang lebih penting, diharapkan masyarakat yang berilmu dapat berfikir kesan baik atau buruk sebelum melakukan sesuatu.
(b) Akidah melahirkan masyarakat yang baik dan hidup dalam keadaan aman
Akidah mendorong seseorang untuk menunaikan hak orang lain kerana kehidupan manusia di bumi bukannya seorang diri tetapi hidup bermasyarakat.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah memuliakan tetamunya.
Sesiapa yang beriman denngan Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah memuliakan jirannya.
Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah berkata-kata dengan sesuatu perkataan yang baik atau berdiam diri.
(Hadis riwayat Muslim)
(c) Akidah melahirkan masyarakat yang berpandangan jauh dan optimis dalam kehidupan
Akidah yang menekankan kewujudan Allah dan alam lain seperti alam akhirat sepatutnya menjadikan manusia tidak mensia-siakan kehidupan di dunia.
Kerana sedar bahawa kehidupan dunia hanya sebagai tempat persinggahan sebelum beralih kepada kehidupan sebenar.