,

Pengurusan Musibah Formula Ilahi

Langit tidak selalu cerah. Adakalanya hitam kelam, membawa bersamanya hujan dan angin kuat yang membadai.

Itu adalah sunnah aturan perjalanan alam ini.

Begitu jugalah aturan kehidupan kita di atas dunia ini, warnanya tidak sama, ada ketika merah ceria, kemudian kelabu membungkam silih berganti.

Warna kelabu itulah pada ketikanya ujian di dalam bentuk musibah hadir dalam pelbagai sisi.

Sebagaimana Allah SWT telah menyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan suatu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)

Di dalam ayat di atas Allah SWT telah menjelaskan bahawa manusia akan diuji dengan lima bentuk musibah, iaitu:-

  • Ketakutan

Perasaan takut adalah antara sifat fitrah semulajadi yang ada pada diri manusia. Ia wujud bila munculnya ancaman, umpamanya mendapat khabar musuh yang akan datang menyerang atau ada tanda-tanda penyakit merbahaya yang sedang merebak.

  • Kelaparan

Manusia memerlukan makanan sebagai sumber kelangsungan kehidupannya. Kekurangan makanan adalah satu musibah yang besar, malah boleh diangkat sehingga menjadi masalah negara. Lihatlah ancaman kelaparan yang melanda beberapa buah negara Afrika.

  • Kekurangan Harta Benda

Ujian kemiskinan. Sama ada diuji dengan keadaan hidup yang sudah sedia miskin atau lebih hebat lagi ujian kemiskinan itu muncul setelah status kehidupan sudah pun diselimuti dengan nikmat kekayaan.

  • Kehilangan Jiwa

Kematian orang yang dikasihi. Ada manusia yang masih bergantung kehidupannya dengan ibu dan ayah, kemudian diuji dengan kematian insan berkenaan. Sayang dan kasihnya pada pasangan dan anak-anak, sama-sama merangka membina kehidupan, tiba-tiba salah seorangnya dipanggil kembali oleh Ilahi.

  • Kekurangan Buah-buahan

Tanam-tanaman tidak lagi mengeluarkan hasil seperti yang sepatutnya. Selalunya muncul beriringan dengan musibah musim kemarau. Daripada musibah ini, boleh menjadi asbab berantaian munculnya musibah-musibah yang telah disebutkan di atas.

Setelah membicarakan kepahitan musibah yang perlu dihadapi, pada penghujung ayat 155, surah al-Baqarah, Allah SWT datangkan kaedah bagi menghadapi segala musibah ini iaitu,”…dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Malah terlebih awal sebelum itu, Allah SWT sudah pun menyebut pada ayat 153, surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Carilah pertolongan dengan kesabaran dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Kata kuncinya ialah sabar dan solat. Formula Ilahi bagi manusia mendepani segala musibah yang melanda di dalam kehidupan.

Solat sebagai isyarat kembali kepada Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT mengajar kita untuk mengucapkan kalimah istirja’ sebagai manifestasi kesabaran berdepan dengan musibah di dalam ayat 156, surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu bala, mereka mengucapkan: ‘Sesungguhnya kita ini daripada Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah kita akan kembali’.”

Oleh yang demikian, apabila manusia yang berdepan dengan ujian musibah dan kemudian menguruskannya dengan formula yang dikemukakan oleh Allah SWT, maka ada ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kelompok manusia sebegini seperti yang diungkapkan di dalam ayat 157, surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Mereka akan dilimpahkan dengan berbagai-bagai rahmat dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Namun, di celah formula kesabaran dan solat itu, di dalam konteks sunnatullah, masih tetap menjadi keperluan kepada manusia untuk mengerahkan seluruh keupayaannya bagi memenuhi ikhtiar di dalam menangani musibah yang berlaku dan selebihnya diserahkan kepada Allah SWT.

Semoga warna-warni yang pelbagai di dalam kehidupan kita ini, dapat ditelusuri dengan tenang khususnya musibah yang menjengah hadir dapat diuruskan menurut formula Ilahi, setenang Nabi Yaakub a.s, semasa diuji dengan kehilangan anak kesayangannya, Nabi Yusuf a.s, dengan ungkapan yang hebat, ”Sabar itu indah dan Allah-lah tempat memohon pertolongan.” (Surah Yusuf: 18)

Jelas dan nyata di sini bahawa kesempurnaan dan keindahan Islam di dalam mengurus tadbirkan kehidupan manusia.

Islam bukan sifatnya hanya teori untuk ucapan atau tulisan yang indah semata-mata, akan tetapi telah terbukti hebat menjejak di alam realiti dengan formula-formula ciptaan Ilahi buat hamba-hamba-Nya yang dikasihi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zamir Hj. Omar. Seorang Ghost Writer. Latarbelakang pendidikan di dalam bidang Pengurusan Teknologi (UUM Sintok) dan Kejuruteraan Mekanikal (UiTM Shah Alam).

Pernah berkerjaya di sektor kerajaan dan swasta. Memerlukan perkhidmatan berkaitan penulisan? Boleh ditemui di alam maya melalui laman Facebook: Zamir Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.