Ternyata realiti tidak seindah mimpi.
Begitulah hakikat kehidupan yang fana ini, tidak semua yang kita dambakan, pasti diizinkan Allah SWT menjadi milik kita.
Apa yang orang lain punya, belum tentu milik kita. Apa yang kita miliki, belum tentu orang lain punya.
Namun, nafsu sering menghasut kita agar terlalu mendambakan apa yang belum kita punya.
Terkadang kita berasa cukup tertekan selagi mana tidak memilikinya.
Sedangkan rezeki setiap insan itu tidak sama dan berbeza-beza aneka rupa.
Firman-Nya telah menegaskan,
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 216)
Sekalipun Allah SWT mengurniakan kita apa sahaja yang kita dambakan, belum tentu nafsu kita akan berada di tahap kepuasan yang mutlak.
Saya sendiri yang ditakdir bergelar OKU fizikal ini, jika Allah SWT anugerahi saya dengan kesihatan yang normal boleh berjalan dan berlari, belum tentu saya akan merasai ini adalah nikmat yang paling bernilai.
Kerana nafsu pada nikmat dunia bersifat infiniti dan tiada bertepian laksana sfera bumi yang tiada berpenghujung.
Malahan, nafsu umpama anak kecil yang akan terus merengek selagi mana tidak memperoleh apa yang diidam-idamkan.
Dalam kita memahami sifat nafsu secara umum, telaah sahaja sifat lazim kita selaku insan dalam memiliki kenderaan peribadi.
Jika hanya mampu berkereta murah, pasti terliur mendamba kereta mewah. Jika hanya mampu memiliki BMW X5, pasti terliur mendamba Porsche Cayenne.
Jika bergelar jutawan yang hanya mampu memiliki sebuah kereta sport, pasti resah ingin bergelar billionaire yang mampu memiliki Porsche 918 Spyder, Maserati Gran Turismo serta pelbagai jenis kereta super dan termasuklah sebuah jet peribadi.
Nafsu Mengaburi Kewarasan
Nafsu pada harta benda dan wang ringgit menggunung sering mengaburi nurani bahawa ia adalah ibu kepada segala kebahagiaan. Sedangkan ia adalah ujian dalam kesenangan.
Telah dinyatakan Allah SWT,
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun: 15)
Sesungguhnya, nafsu pada harta benda adalah nikmat dunia yang tidak abadi dan pasti akan ditinggalkan setelah kita ditimbus ke dalam bumi.
Walau bagaimana pun, tidak pula salah untuk bergiat aktif memburu harta benda dan wang ringgit demi bergelar usahawan mahupun hartawan yang dermawan.
Kerana nafsu jika dipupuk dan dipujuk dengan iman dan amal soleh, ia menjadi nafsu muthmainnah – yang baik yang gemar berlumba-lumba melaksanakan kebaikan dan keta’atan.
Allah SWT ada menyatakan,
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!
فَادْخُلِي فِي عِبَادِي
Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia –
وَادْخُلِي جَنَّتِي
Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”
(Surah Al-Fajr: 27-30)
Dari situ hati akan terdorong menyalurkan harta demi menghulur bantuan pada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan serta gemar beramal jariah dengan mewakafkan aset yang ada demi manfaat ummah.
Namun jika sebaliknya, kita akan terus-terusan menjadi hamba nafsu yang membinasakan serta berisiko menghidapi penyakit yang kian menimpa umat akhir zaman.
Ianya telah dimaklumkan oleh Nabi SAW semenjak 1400 tahun yang lampau bersandarkan sabda Baginda SAW,
“Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi SAW bersabda: “Cinta dunia dan takut akan kematian.”” (Hadith riwayat Abu Daud)
Maka, letakkan nikmat dunia hanya di tangan, bukan di hati yang obses dengan nikmat dunia yang sementara cuma.
Malahan, harus bijak mendidik, menangani dan mencorak nafsu kita ke arah yang positif agar istiqamah melabur di bursa saham amal sebagai bekalan di akhirat kelak.
Hakikatnya kita selaku hamba Allah SWT, harus sedar dan insaf, apa yang kita punya bukanlah milik kita.
Segalanya hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa. Kerana kita hanyalah fakir yang bermusafir di bumi Tuhan.
Sekian.
Wallahua’lam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/
Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliPenulis, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.