,

Melarikan Diri Daripada Musibah

Dunia terlalu singkat untuk ditangisi. Tiada perkara mahupun urusan yang mudah apabila menjejakkan kaki di atas dunia ini.

Usahlah berangan-angan untuk hidup nan indah seperti di dalam drama dan novel yang penuh dengan romantik dan bahagia.

Jangan kita lupa, kita hanyalah pelakon dan pemain wayang di atas pentas dunia ini. Bukan tuan pengarah ataupun penerbit, tetapi pelakon!

Di akhirat kelak, barulah kita akan mengetahui adakah nama kita akan tercalon di dalam golongan ahli syurga ataupun ahli neraka.

Salah takdirkah?

Tak perlu menyalahkan takdir jikalau di atas jalan-jalan kehidupan kita dipenuhi dengan taburan paku-paku yang tajam dan runcing.

Kerna ianya sudah menjadi asam garam buat manusia yang tidak sunyi dihujani musibah dan diselubung awan kelabu seumur hidup.

Dari situlah, Allah SWT menilai kekuatan iman dan hati hamba-hamba-Nya.

Apabila diuji dengan kemiskinan, kesakitan,kesedihan dan lain-lain lagi keperitan hidup, jangan cepat menunding jari dan menyalah seratus peratus kepada Qada’ dan Qadar Illahi.

Apatah lagi ke arah orang lain.

Sempurnakah kita sehingga tidak mahu mengaku kesilapan itu datang daripada diri sendiri?

Manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Tiada manusia yang sempuna kecuali para nabi dan rasul yang terpelihara dosa dan maksiat. Dengan kata sebenar, mereka adalah maksum.

Dosa Semalam

Yakinkah kita dapat lari daripada dosa-dosa dan juga permainan Iblis dan anak-anak buahnya yang tidak pernah berputus asa menggoda dan menghasut keturunan Nabi Adam a.s.

Tidakkah kita merasa malu dengan Allah yang Maha Esa.

Sepatutnya, kita hendaklah muhasabah diri untuk mencari asbab di sebalik setiap apa yang berlaku itu.

Adakah kita sombong dengan Allah SWT?

Cuba perhatikan solat kita. Sempurna atau masih berlubang dan terbelangkalai?

Solat fadhu kita dirikan sambil lewa dan acuh tak acuh. Apatah lagi solat sunat- sunat lain seperti solat tahajjud dan solat dhuha entah di mana kita telah membuangnya.

Bagaimana pula dengan zakat dan sedekah?

Murah hati atau kedekut kita untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Aurat kita tertutup atau terdedah?

Allah SWT menyuruh kita menutup aurat demi menjaga maruah dan agama. Namun, kita telah melanggar perintah-Nya dengan membukanya sesuka hati dan mengetatkannya sesuka hati.

Tak terhitung banyaknya dosa kita terhadap Allah SWT, biarpun digabung langit dan bumi belum tentu terkira.

Tetapi, rahmat Allah SWT lebih banyak daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Allah SWT Tak Menghukum

Kehadiran musibah bukan semata-mata untuk menebus dosa-dosa silam kita. Ianya juga bukan untuk membalas di atas kekhilafan yang telah kita lakukan.

Ada juga, Allah SWT hendak menguji tahap keikhlasan hati kita sebagai hamba-Nya.

“Marah bukan bermakna benci.”

Begitu juga, Allah SWT memberi kita musibah tak bermakna Dia murka dengan kita. Sebaliknya tanda cinta dan kasih kepada hamba-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksudnya:

“Sesungguhnya Allah bila mencintai sesuatu kaum, maka kaum itu akan diuji-Nya. Maka barangsiapa yang redha ia akan memperoleh keredhaan Allah, dan barangsiapa yang murka, maka sesungguhnya ia akan memperolehi kemurkaan Allah.”

(Hadith riwayat Ahmad & Tarmizi)

Bertuah sungguh barangsiapa yang Allah SWT selalu memberi perhatian dan mengambil berat kepadanya.

Oleh itu, kita hendaklah menyedari bahawasanya setiap kesakitan dan kesudahan pasti ada ganjaran sedang menunggunya.

Sabar dengan penuh keimanan kepada Allah SWT menempuhi duri-duri ujian yang menggoyahkan jiwa. Percayalah dengan kekuasaan Allah.

Terimalah dengan penuh rasa syukur. Selalulah menadah tangan dan berdoa kepada Allah SWT. Tidak kira ketika diuji ataupun tidak.

Sebaik-baik tempat untuk kita mengadu dan meminta kekuatan dan kebahagian adalah Allah SWT.

Hanya kepada Allah SWT sahaja tempat yang terbaik untuk kita mengadu dan meluah masalah yang datang bertubi-tubi.

Manusia hanya mampu meminjamkan bahunya untuk untuk kita bersandar buat seketika. Mengusap lembut rambut kita di samping memberi kata-kata semangat dan juga menghulurkan sapu tangan untuk menyapu air mata.

Namun, mereka tidak mampu untuk meringankan beban yang terpaksa kita lalui, menenangkan kegelisahan hati dan mengeringkan air mata daripada terus menitis di pipi.

Hanya Allah SWT mampu mengubati hati lara kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Amirah Ab Ghani (nama pena: irahzulfa). Berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Seorang yang suka menulis dan membaca. Boleh berhubung dengan beliau melalui Facebook Nurul Amirah Ab Ghani.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.