‘Kenapa Allah suka uji dan duga macam-macam?
Nak buat baik pun diuji. Nak laksana ketaatan pun banyak halangan.
Bukankah Allah janji akan beri bantuan bila hamba-Nya memerlukan?
Bukankah bersama kebenaran adanya rahmat Tuhan?
Jadi, mengapa ujian-Nya bagaikan tak pejam!
Allah ya Allah. Kenapa ya Allah?’
Rintih sekeping hati. Yang sakit. Yang pedih. Ujian Allah terhadapnya dirasakan perit. Dia begitu berhajat kepada kebaikan. Dia begitu bersemangat mahu memulakan perubahan.
Di saat hati mulai positif mencipta senyuman keyakinan, Allah pula mengujinya dengan cara sedemikian. Cara – yang sukarnya untuk dia sebagai hamba, fahamkan.
Mengapa wahai Allah?
Sabarlah wahai hati. Selagi kita ini hidup, memang tidak akan terlepas daripada ujian. Manusia yang mengerjakan kemungkaran pun diuji, inikan pula kita yang mahu mengerjakan ketaatan. Senang kata, duduk goyang kaki saja pun akan ada ujian yang datang menyapa. Tanpa diundang, ia bertandang. Tanpa dicita, ia menerpa.
Hidup, bagaikan perjalanan. Ada masa… jalan yang kita lalui itu landai. Mendatar saja. Tak perlu guna banyak tenaga. Kita akan tenang melaluinya. Namun, yang namanya kehidupan tidak selalu senang.
Ada fasa turun dan naiknya. Ada masa-masanya, kita akan jadi ‘terpaksa’ dan bagaikan ‘dipaksa’. Diujinya kita untuk ‘rela’ dalam melakukan sesuatu yang tidak kita sukai. Dikerahnya kita, mengharungi belantara. Dipaksanya kita, meredah gunung-ganang yang tinggi dan curam!
Bayangkanlah. Tanpa motivasi untuk ‘bertemu’ apa di puncak sana, mana mungkin kudrat kita ini mampu untuk bertahan. Kita akan cepat penat dan terpanggil untuk ‘berlama-lama’ berehat.
Kesabaran pula kian tercabar bila tempoh yang diambil untuk tiba di puncak memakan masa terlalu lama. Padahal, kita rasa sudah jauh benar diri melangkah.
‘Duhai Allah…aku sudah jauh berjalan. Tapi, mana dia ‘puncak’ yang Kau janjikan?
Apa masih tidak cukup usaha yang aku perjuangkan?
Atau memang…sebenarnya aku ini tidak layak untuk memperjuangkan kebenaran?
Tidak berhakkah aku berhijrah kepada kebaikan?’
Hati berterusan merintih.
Adakah Allah sebenarnya sengaja menyeksa kita?
Allah tak tahukah betapa kita sebenarnya sudah keletihan yang amat?
Bukankah Allah itu Maha Pengasih dan jauh lebih memahami apa yang hamba-Nya ini alami?
Lalu, mengapa Dia menguji begini?
Kita dihurung pertanyaan demi pertanyaan.
Cara Allah memberi sayang
Jarang manusia mampu melihat kasih-sayang Allah. Kalau kita kata kita sayang diri kita, fokus kita cuma mahu segera sampai ke puncak sana. Kita begitu kasihankan diri yang sudah kepenatan mendaki. Lalu, prioriti kita cuma mahu segera sampai dan berehat.
Namun, tidak pada Allah. Allah sengaja mahu kita berpenat-penat kerana dengan kudrat usaha, tenaga, pengorbanan, kesabaran dan ketabahan kita itulah yang akan membantu mengangkat darjat kita di dunia dan akhirat kelak.
Percayalah, Allah tahu kemampuan setiap hamba-Nya. Besar keprihatinan kita terhadap diri kita, besar lagi kasih-sayang Allah kepada kita. Kita diuji bukan saja-saja. Allah mahu kita mempersiapkan diri untuk ujian yang lebih besar di kemudian hari.
Allah mahu kita matang dan jadi seorang yang berpengalaman. Maka yang demikian, bersyukurlah ketika menghadapi ujian yang terasa berat, membebankan, menyerabutkan dan menyeksakan itu. Allah tahu kamu mampu. Allah tahu kita mampu!
Memang mengerjakan ketaatan pada-Nya adalah satu cabaran! Jadi, bila kita diuji dengan sedikit kesusahan… sedarlah,
Allah sebenarnya menyediakan lebih banyak hikmah di balik kesulitan yang kita hadapi. Kuncinya cuma satu – Sabar!
Ubah cara fikir; teliti untuk tafsir
Dalam mengerjakan ketaatan, Allah tidak pernah menjanjikan bahawa kita ini akan terlepas daripada ujian dan cubaan. Malah, bila difikirkan… di pentas kebenaranlah paling lebat ujiannya! Bukankah jelas Allah sebut dalam al-Quran, ‘tidak Aku biarkan manusia mengatakan dirinya beriman selagi tidak diuji?’
Rasulullah sendiri menerima terlalu banyak ujian dan dugaan seumur hidupnya walhal baginda mengerjakan suruhan-Nya!
Nah. Mengapa tidak kita jadikan pesan peringatan dan ibrah sirah nabi tersebut sebagai motivasi untuk memperkukuh kesabaran? Bukankah Allah menawarkan pahala? Syurga?
Dan yang paling bernilai… Allah sebenarnya sedang ‘mempromosikan’ redha dan rahmat-Nya kepada kita! Tinggal kita saja harus berbuat keputusan sama ada mahu atau tidak.
Duhai diri pencinta kebaikan, ubahlah cara fikir dan belajarlah meneliti bila mentafsir. Usahalah untuk menyelami perasaan ‘semakin diuji, semakin mendekat pada Ilahi’.
Teruskan bersangka baik dan berlapang dada saat teruji. Cukup kita tahu, Allah itu tidak pernah ‘berehat’ daripada menguji kita. Ujian-Nya bahkan tanda cinta untuk kita bersegera selalu meluah syukur dan adu istighfar hanya ke hadrat-Nya.
Yakini selalu. Andai niat kita betul, lillahitaala – Allah akan permudahkan segalanya, insya-Allah. Adapun, kemudahan yang Allah beri itu tidak semestinya seperti apa yang kita bayang dan harapkan.
Jangan risau. Allah Ar-Rahman. Allah Ar-Rahim. Takkanlah Allah nak hampakan niat baik hamba-Nya yang dalam proses mahu memperkukuh hubungan terhadap-Nya kan?
Allah sedang ‘membina’ tempat kita di syurga.
Allah sedang ‘membawa’ kita dekat pada-Nya.
Jadi…bersabarlah ya. Minta yang terbaik daripada Allah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Ana Rohani. Berasal dari Keningau, Sabah dan kini berkhidmat sebagai jururawat di bumi Semenanjung. Tulisan beliau berjaya dimuatkan ke dalam beberapa buku antalogi iaitu Wake up, Misi Impossible dan yang akan datang – Blur terbitan buku Puris di bawah Galeri Ilmu. Beliau menulis secara aktif dalam facebook Anarohani.