,

Apakah Hikmah Setelah Diuji?

Apabila membaca artikel “Musibah Itu Nasrullah” daripada majalah Solusi, saya begitu tertarik untuk mengulasnya di sini.

Seawal hidup kita perlu tahu, hidup akan sentiasa diuji melainkan ketika kita sudah mati. Mungkin sejauh mana pun kita bersedia, kadangkala kita jatuh juga.

Kita tidak tahu bagaimana tindak balas kita ketika diuji, semakin dekat atau semakin jauh daripada Allah pun kita tidak pasti.

Adakah kita akan menyalahkan takdir?

Moga kita dijuahkan dengan syirik. Allah uji kita bukan untuk kita menanggung dosa. Yang Allah pinta adalah untuk kita beristighfar dan bertaubat.

Ulama selalu berpesan yang senada. “Janganlah kamu membenci bala yang sedang melanda dan kesusahan yang sedang berlaku. Kerana boleh jadi perkara yang kamu benci, padanya terletak kejayaanmu. Dan boleh jadi perkara yang kamu utamakan, padanya kehancuranmu.” – Al-Hasan.

Jenis-jenis musibah & apa yang perlu dilakukan ketika diuji?

Ada dua: musibah disebabkan ujian atau musibah disebabkan dosa.

Apa yang perlu dilakukan, jangan menambah dosa atau berputus asa. Teruskan berdoa, sabar dan reda. Elakkan melakukan perkara khurafat, syirik dan jangan sesekali meninggalkan solat.

Perbaiki kesilapan diri dan perbaiki hubungan kita dengan Allah dan manusia lain.

Apabila dikatakan bahawa musibah itu adalah nasrullah (pertolongan Allah), sebahagian kita pasti merasa keliru.

Setelah diuji dan diduga, merasa hilang dan sunyi, itu dikatakan sebagai pertolongan? Tenang.

Nasrullah yang dimaksudkan di sini adalah bantuan awal daripada Allah untuk kita untuk lebih bersedia menghadapi dugaan yang lebih besar termasuklah musibah pada hari kiamat.

Ya, kita tidak tahu, melalui ujian itu mungkin ada hikmah dan kita akan dapat kebaikan yang banyak.

Apakah tindakan kita setelah diuji?

Kita perlu bertaubat serta meninggalkan maksiat. Perlahan-lahan berubah menjadi manusia yang lebih baik. Berfikiran positif dan atasi musibah dengan semangat.

Jangan sesekali menyalahkan takdir dan semakin melakukan dosa. Jangan!

Apakah hikmah musibah?

Ya. Kadangkala kita tidak sabar. Memang manusia dijadikan dengan sifat berkeluh-kesah. Di hati kita penuh tanda tanya.

Antara cara sabar dan tabah ketika menghadapi musibah adalah membetulkan cara pandang kita.

Ujian tetap berlaku sejauh mana pun kita kuat menjerit. Maka kita tumpukan pada kebaikannya:

  • Musibah akan menghapuskan dosa-dosa kita
  • Musibah meringankan hukuman di akhirat
  • Merasa insaf diri
  • Membuka pintu taubat
  • Memangkin diri menjadi lebih baik
  • Mendekatkan diri semula dengan Allah
  • Melembutkan jiwa, kembali menjiwai keperitan orang lain
  • Menyedarkan hidup di dunia ini sementara
  • Menguatkan iman, Allah benar berkuasa
  • Meninggikan darjat
  • Menambah pahala
  • Allah sukai kita
  • Mungkin ada kejutan baik yang disediakan Allah
  • Praktikal bermain dengan qada dan qadar Allah. Sudah ditetapkan sejak azali lagi. Allah berkuasa mutlak ke atas kita

Bagaimana menemui hikmah itu?

  • Usah bimbang, teruskan buat kerja kita. Jangan terlalu persoalkan orang lain, yang penting kita bangkit dan memperbaiki keperibadian kita.
  • Ubah cara faham agama. Kejayaan itu daripada Allah dan musibah ialah isyarat Allah bahawa kita perlu berubah. Bersungguh-sungguhlah dalam mendalami dan mengamalkan ilmu yang kita ada.
  • Tingkatkan keazaman dan keyakinan kepada ketentuan Allah. Kebaikan perlu diusahakan berkali-kali.
  • Kurangkan perbalahan, perbanyakkan kebaikan. Kita tidak tahu mana yang terbaik pada pandangan Allah. Yang perlu kita tahu, adakah kita sudah buat yang terbaik dalam perkara yang kita ceburi.
  • Jangan gopoh. Jangan terlalu cepat mahu doa dimakbulkan. Sabarlah dalam meminta selain tetap taat menunaikan suruhan-Nya. Yakinlah, kesabaran, usaha dan doa kita tidak akan sia-sia di sisi-Nya.

Allah berfirman: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Moga kita semua kuat dan dapat merasakan nikmat hikmah di sebalik setiap ujian yang menimpa.

Jangan sesekali kita berputus asa kerana ada ganjaran besar untuk mereka yang sabar dan tetap menunaikan solat serta mengingati-Nya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%