“Kesian mak. Awalnya datang nak tengok dan jaga baby. Sekarang ini kena jaga abang pula. Uncle gout tiba-tiba datang,” ujar saya pada mak tempoh hari.
Allah itu Maha Penyembuh. KepadaNYA jua kita memohon kesembuhan. Ramai orang di luar sana terkena pelbagai jenis penyakit.
Ada yang sakitnya itu terus berpanjangan. Ada pula yang sakitnya cepat disembuhkan oleh Allah S.W.T. Ianya bergantung kepada sekuat mana kepercayaan kita kepadaNYA.
Anda pernah mendengar perkataan GOUT?
Mendengar perkataan gout sahaja sudah menjadikan diri anda berada di dalam keadaan tidak selesa, kan?
Bagaimana pula orang yang terkena dengan penyakit gout? Rasa kesakitannya amatlah dahsyat.
Inilah yang saya rasai baru-baru ini. Rasa kesakitan tiba-tiba dirasai oleh kaki sebelah kiri saya.
Waktu itu saya sedang ambil ibu saya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dalam misi beliau untuk melawat cucu barunya.
Saya memandu sendiri kenderaan dengan penuh kesakitan. Waktu itu saya terfikir, macam ini rupanya apabila orang terkena penyakit gout.
Rasa tak selesa menyelinap masuk ke seluruh tubuh badan saya. Tidur malam sering terjaga dan kurang lena. Sakitnya bila tergesel kain cadar.
Kaki saya semakin membengkak bahkan hari kedua dan ketiga tidak boleh berjalan. Letak kaki di bawah lantai pun terasa sakit.
Apabila mahu menunaikan solat, saya terpaksa berdiri dengan bertongkatkan kerusi. Malah, adakala melompat dengan menggunakan sebelah kaki (kaki kanan) seperti main ting-ting.
Waktu itu, saya belajar beberapa perkara daripada sebelah kaki yang masih elok lagi.
Falsafah menggunakan sebelah kaki yang masih elok lagi dalam kes kesakitan saya ini adalah:
- Adakala hidup kita ini boleh dijalankan dengan lebih bersyukur walaupun hanya dengan sebelah kaki.
- Dengan hanya sebelah kaki yang masih diberi kekuatan oleh Ilahi, kita boleh menggunakan masa dengan lebih baik seperti membaca buku, mengingati kebesaran Allah di sebalik kesakitan yang dihadapi.
- Allah berikan kepada kita peringatan dalam pelbagai bentuk. Ianya perlu dinikmati kerana sedikit kesakitan dunia adalah penghapus dosa-dosa kita. Saat ini adalah peluang terbaik buat diri untuk menghargai orang sekeliling yang membantu kita kepada proses penyembuhan. Terima kasih pada sahabatku Mr K yang membawaku berbekam di Behrang tempoh hari. Hanya Allah yang dapat membalas jasamu.
Inilah tiga perkara utama yang saya pelajari daripada kesakitan menghadapi gout. Gout ini anugerah Ilahi.
Sekarang, saya ingin kongsikan cara merawat gout, dengan keizinan Allah melalui teraputik diri yang boleh digunakan apabila terkena penyakit ini…
TERAPUTIK MEMBUANG KESAKITAN GOUT
Langkah 1 : Duduk dalam keadaan selesa. Letakkan kaki yang terkena gout itu di tempat yang tinggi sedikit seperti diletak di atas kerusi. Keadaan kaki dalam posisi melunjur. Pastikan diri anda berada di dalam keadaan selesa.
Langkah 2 : Tarik nafas dalam-dalam. Hembus nafas kesakitan itu keluar daripada mulut anda. Lakukannya secara perlahan-lahan agar kesakitan kaki itu semakin berkurangan dan kaki rasa ok (ulang sebanyak 3 hingga 5 kali).
Langkah 3 : Kemudian, pejamkan mata anda. Rasakan relaks dan tenang. Mulakan dengan mendengar ayat-ayat ruqyah di telinga anda. Bayangkan perkataan ‘YA-QAWWI’ dan ‘YA- BARI’ masuk ke dalam tubuh badan anda melalui umbun-umbun kepala anda hingga kebahagian kaki yang terkena gout.
Rasakan kedua-dua perkataan itu masuk ke seluruh urat-urat saraf kaki anda dan menyingkirkan segala keberatan yang ada di bahagian kaki anda. Ketika ini, badan anda merasa terlalu lemah dan anda berada di dalam keadaan minda yang alpha (tenang).
Bayang dan rasakan secara menyeluruh, bahawa ayat-ayat ruqyah (energi positif ruqyah) masuk dan menembak kepada bahagian kaki anda yang terkena gout. Saat ini, seluruh badan anda merasa panas dan bahang.
Angin sendawa keluar daripada mulut anda dan mungkin juga anda merasa ingin terbatuk. Bila ingin terbatuk, biarkan sahaja. Bahagian badan anda merasa sengal-sengal. Dan, ketika ini segala asid urik yang ada di bahagian kaki anda mulai lepas keluar melalui celah-celah jari jemari kaki anda (energy asid urik) dan kesakitan yang anda rasai itu masuk ke lubang hitam di dasar bumi.
Rasakan bahawa kaki anda sudah mulai ok dan semakin ringan….ringan untuk bergerak. Gerakkan kaki anda dengan lebih bertenaga.
Langkah 4 : Rasakan tubuh badan anda kembali sihat dan bertenaga mulai sekarang. Ucapkan terima kasih pada Allah S.W.T. kerana mengutus sedikit kesakitan untuk anda nikmatinya dengan lebih baik selepas ini. Buka mata anda secara perlahan-lahan dengan kesembuhan daripada Ilahi.
******
Syukur pada Allah yang memberikan kesembuhan ke atas diri saya selepas melakukan teraputik ini. Teraputik ini dilakukan selama 1 jam. Dan, mak saya menyaksikan sendiri bahawa saya sudah boleh berjalan tanpa menggunakan bantuan kerusi sebagai tongkat.
*Tips tambahan bagi individu yang menghidap gout:
(1) Apabila terkena gout, ucapkan Alhamdulillah. Dan menerima penyakit ini sebagai satu nikmat daripada Ilahi.
(2) Banyakkan minum air mineral. Tidak mengapa jika sampai kerap buang air kecil. Ini tanda terbaik untuk menyingkirkan asid urik.
(3) Bertemu dengan perawat bekam. Berbekam dapat membantu mengeluarkan darah-darah kotor yang ada di bahagian yang terkena gout. Kan bekam itu sunnah nabi?
(4) Sebelum tidur malam, amalkan rendaman kaki dengan air suam dicampur garam bukit. Letakkan kaki di dalam air rendaman itu hingga kaki rasa ok. InsyaAllah, tidur anda menjadi lena selepas anda melakukan rendaman kaki ini. Teraputik rendaman kaki ini telah saya buktikan pada diri saya saat terkena gout kali pertama pada hujung 2016.
(5) Amalkan pemakanan sunnah seperti meminum air mineral yang dicampur dengan habbatus sauda’ atau makan tablet habbatus sauda. Ada khasiatnya tersendiri bagi orang yang terkena gout.
*Tips ini saya amalkan sendiri dan kesembuhannya daripada Allah S.W.T. Ianya mengambil masa 1 minggu untuk radang gout itu menyurut. Selamat beramal.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Mohd Mustaqiim Asmuji. Beliau merupakan seorang pakar klinikal psikoterapis dan pengasas NLP & Hypnotherapy Center. Berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan minda dan emosi melalui terapi psikologi NLP & Hipnoterapi.
Berdaftar secara sah di bawah Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Traditional & Complementery Medicine). Beliau boleh dihubungi melalui talian +6019-2044036.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.