Ketika Allah rindukan hambaNya, maka Dia hadirkan hadiah berupa ujian. Saat itu, bersabarlah dan bersyukurlah. Ujian itu hadir tidak semestinya dalam bentuk musibah. Kita sering lupa bahawa nikmat juga satu ujian.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Al-Ankabut:2-3)
Kadangkala kita diuji dengan sesuatu yang tak pernah kita duga. Kita memberontak, kita persoalkan kenapa kita diuji. Tanpa kita sedar, di sebalik ujian Allah itu terselit seribu satu hikmah yang sarat dengan kasih sayangNya.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Ujian itu akan selalu menimpa seorang hamba sampai Allâh membiarkannya berjalan di atas bumi dengan tidak memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Teringat satu pertemuan dengan seorang pak cik sewaktu di hospital. Waktu itu aku ke hospital sebagai pelawat sahaja; mengikut umi dan abah melawat sahabat mereka yang baru sahaja ditimpa kemalangan.
Kerana bosan terlalu lama menunggu umi dan abah berbual-bual, aku berjalan ke luar wad. Kuperhatikan di sekeliling. Ada pelawat dengan anak kecil, ada pesakit yang sedang dipimpin oleh ahli keluarga – mungkin ingin exercise meregangkan urat-urat badan setelah terlalu lama terbaring.
Mataku tertarik pada satu sosok pak cik tua yang sedang bersendirian di atas kerusi roda di satu sudut taman. Kakinya berbalut separas lutut.
Dia merenung ke hadapan, seperti ada sesuatu yang sedang difikirkan. Aku memberanikan diri menghampiri.
“Assalamualaikum pak cik,” aku menyapa.
“Waalaikumussalam.”
“Pak cik tengok apa tu?” Tanyaku untuk memecahkan kebuntuan.
“Pak cik tengok budak-budak tu bermain. Seronok. Bila mereka gelak pak cik pun rasa terhibur. Teringat masa anak-anak pak cik kecil dulu,” ada senyum dalam kata-katanya.
“Pak cik ada anak? Berapa orang?” Aku berbahasa.
“Ada. Enam orang. Semua dah bekerja. Sebelum ni jarang pak cik jumpa anak-anak pak cik. Masing-masing sibuk. Mereka sibuk dengan kerja mereka, pak cik sibuk dengan kerja pak cik. Isteri pak cik dah lama takde. Lepas isteri pak cik meninggal jugalah anak-anak jarang jenguk pak cik. Mereka salahkan pak cik untuk jadi penyebab isteri pak cik meninggal. Isteri pak cik meninggal dalam kemalangan masa kami nak ke kedai. Kami berlanggar dengan lori, tapi hanya pak cik yang selamat. Sebab tu lah anak-anak salahkan pak cik kerana cuai,” cerita pak cik sebak.
“Astaghfirullahalazim,” ujarku. Tidak tercapai dek akal pemikiran anak-anak pak cik itu. Mengapa disalahkan si ayah? Sedangkan itu semua takdir yang sudah tertulis. Rasa simpatiku semakin bercambah.
“Sebab tu pak cik sibukkan diri, nak elakkan rasa sunyi. Sampailah satu hari pak cik terjatuh lepas tersadung batu. Kaki pak cik luka, dua minggu juga pak cik tak dapat berjalan,” pak cik itu mula berkongsi ceritanya dengan aku.
“Dalam tempoh dua minggu tu anak-anak balik dan bergilir jaga pak cik. Mereka ambil cuti paling kurang sehari setiap minggu untuk jaga pak cik. Makan, pakai semua mereka yang uruskan sebab kaki pak cik bengkak dan luka. Pak cik suka sangat masa tu walaupun tengah sakit.”
“Wahh, bagusnya anak-anak pakcik,” balasku.
“Tapi lepas dua minggu kaki pak cik tak sembuh juga, kaki pak cik makin teruk. Puas pak cik sapu minyak gamat, makan ubat, semua tak menjadi. Pak cik rasa putus asa. Tapi anak-anak pak cik tak. Mereka sabar layan kerenah pak cik. Dalam tempoh sakit tu macam-macam pak cik buat. Pak cik marah, pak cik baling bekas air. Pak cik lupa untuk bersabar,” seketika, pak cik menghela nafas.
“Sampailah satu hari, pak cik dah tak tahan. Ibu jari kaki dah semakin merah. Anak-anak pak cik bawa pak cik ke hospital ni. Doktor kata kaki pak cik lambat sembuh sebab pak cik ada kencing manis. Mereka kata ibu jari pak cik terpaksa dipotong untuk elakkan keadaan jadi makin teruk.”
“Lepas ibu jari tu dipotong, kaki pak cik tak jugak sembuh. Jangkitan tu dah merebak ke bahagian lain. Doktor sarankan pak cik potong sampai lutut. Anak- anak pak cik semua mula-mula terkejut juga. Anak bongsu pak cik tak benarkan. Tapi yang sulung cakap ini untuk kebaikan pak cik juga. Mereka semua setuju. Jadi, macam nilah keadaan pak cik. Pak cik kena duduk kat hospital sebab doktor nak tengok dulu. Nak bergerak susah sekarang, tapi ada nurse yang baik hati jadi senang la sikit. Anak-anak datang seminggu sekali.”
“Berat juga ujian pak cik. Tabah betul pak cik,” ujarku.
Sememangnya ujian yang Allah berikan kepada pak cik ini bukanlah kecil, diuji dengan kehilangan isteri tercinta, anak-anak yang jarang bertemu untuk mengisi kekosongannya, terlantar sakit secara tiba-tiba, dan sekarang kehilangan kaki sekaligus membataskan pergerakannya.
“Tak apa, pak cik tak pernah salahkan Dia untuk ujian yang pak cik terima. Apalah sangat nak dibandingkan dengan nikmat yang Dia bagi. Kalau nak dikira, tak terkira banyaknya nikmat Allah berbanding ujiannya. Ujian tu kan tanda Dia sayang. Dulu mungkin pak cik ada terleka. Allah uji pak cik dengan kehilangan isteri pak cik untuk ajar pak cik jadi sabar, untuk buatkan hati pak cik jadi kental dengan dunia ni.”
“Dalam masa yang sama mungkin Dia nak suruh pak cik muhasabah diri. Tapi lepas pak cik diberi ujian jatuh dan luka, Allah bagi lagi banyak nikmat. Allah hadirkan balik anak-anak pak cik yang dah lama pak cik rindu. Pak cik ego nak mengaku sebelum ni. Jadi, Allah tolong hadirkan mereka tanpa perlu pak cik merayu mereka balik,” pak cik berhenti menarik nafas untuk sesaat.
“Allah uji lagi dengan kaki dipotong. Mungkin nampak macam Allah tarik nikmat berjalan. Tapi dalam masa yang sama Dia hadiahkan nikmat yang lain. Waktu tu pak cik dapat rasa nikmat berehat. Selama ni pak cik hanya tahu bekerja sahaja. Pak cik tak tahu erti rehat sebab otak pak cik kusut. Bila pak cik hanya mampu berbaring, pak cik dapat nikmat dekat dengan Dia. Sebab pak cik tak perlu fikirkan hal kerja lagi.”
“Pak cik dapat solat dengan tenang dan khusyuk walaupun tak mampu berdiri sama macam orang lain. Pak cik dapat isi masa lapang dengan ilmu-ilmu agama. Di sebalik ujian yang Allah bagi juga, pak cik jumpa ramai orang-orang baik sekeliling pak cik. Pak cik tenang walaupun kaki pak cik dah tak ada. Pak cik belajar untuk lebih menghargai orang-orang sekeliling pak cik.” Aku hanya mampu tersenyum. Mengagumi pak cik ini.
Masya-Allah. Husnudzon itu indah. Di sebalik titis hujan yang disangkakan sarat dengan musibah dan kedukaan, tanpa sedar di situlah terselit kasih dan rahmat Tuhan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih melanjutkan pelajaran dan sedang menjalani latihan industri.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.