,

Andai Esok Tiada Lagi Menjengah

MATI. Satu peralihan kehidupan yang mendebarkan bagi yang benar-benar memahami. Dalam menempuh perjalanan kehidupan yang tidak ketahui tempohnya sampai bila, pasti kita akan diuji dengan rasa dan keinginan yang pelbagai.

Normal bagi setiap insan, punya cita-cita dan minat yang tersendiri. Namun seringkali manusia itu tersungkur dan jatuh akibat terlalu mahu memenuhi kehendak yang tertanam di dalam diri.

Firman Allah dalam surah Anbiya’ ayat 35 yang bermaksud:

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati, Kami mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” 

Dalam kehidupan ini, kita bukan sahaja diuji dengan perkara-perkara yang dilarang. Bahkan juga perkara-perkara yang dibolehkan.

Sejauh mana kita menggunakan apa yang ada itu untuk kepentingan diri dan sejauh mana kita menggunakan apa yang tersedia di depan mata itu supaya tidak bercanggah dengan syariat agama.

Kadang manusia lebih mudah jatuh bila berada di dalam zon selesa. Umpama sang monyet yang berpaut pada dahan, bila datang angin kencang, maka genggamannya kuat kerana bimbang jatuh ke tanah, namun sebaliknya bila angin yang datang itu ‘sepoi-sepoi bahasa’, dia terlena di atas dahan sehingga akhirnya jatuh ke tanah.

Namun tak kurang juga manusia yang semakin susah semakin kufur, semakin diuji semakin dia lari dari landasan agama.

Ya benar, kita tidak berada di posisi mereka. Kita tidak merasakan kesusahan yang bagaimana mereka sedang tempuhi.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan, bilamana Allah mengirimkan ujian, apa yang kita harapkan, dari siapa kita lebih cenderung memohon bantuan.

Di zaman Rasulullah, para sahabat sanggup hilang nyawa demi mempertahankan agama. Sanggup hilang keluarga untuk mematuhi syariat agama. Semakin sukar perjalanan semakin tinggi tahap kebergantungan mereka kepada Allah.

Sewaktu sahabat nabi bernama Bilal diseksa kerana mengikuti apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, beliau pada ketika itu hanya mengetahui dan maklum akan salah satu sifat Allah sahaja yakni ‘AHAD (satu)’.

Betapa gembiranya hati beliau bilamana mengetahui bahawa Islam itu tidak membezakan antara hamba dan tuannya, namun kita hari ini menghafal 99 nama Allah tapi masih saja ragu-ragu dengan apa yang ditakdirkan olehNya.

Jika dinilai dari sudut kesusahan, maka orang dahulu yang banyak menanggung susah, dihalau dan dipulaukan hanya kerana beriman kepada Allah.

Hari ini tiada sekatan untuk beriman, yang ada hanya sekatan kemampuan dan kudrat dek kerana ketidakstabilan ekonomi.

Namun di sebalik hakikat ekonomi yang berubah-ubah, Allah jualah yang menentukan banyak atau sedikit rezeki yang dikurniakan kepada hambaNya. Yakin dan bersangka baik dengan Allah menjadi kunci tenangnya hidup.

Allah yang menghidupkan dan mematikan, muda bukan syarat untuk hidup lama, sihat juga bukan syarat untuk malaikat tidak mencabut nyawa.

Hidup bukan umpama produk di pasaran, tarikh luputnya terpapar dan diketahui. Hidup ini sesuatu yang sukar dibaca, kadang warnanya cerah, kadang gelap gelita sehingga buntu untuk mencari sumber cahaya.

Jika ditanyakan kepada sekalian pembaca apa yang bakal kalian lakukan andai kalian tahu esok adalah hari kematian?

Sudah pasti bagi yang ada iman dalam dirinya atau yang percaya bahawa adanya perhitungan untuk setiap langkah kehidupan ini akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki keadaan dirinya sebagai seorang muslim.

Justeru, untuk hidup yang hanya sebentar ini, hidup yang disambut dengan azan dan dihantar dengan solat jenazah ini seharusnya ada satu rasa takut atau gementar bilamana kita tiada apa-apa saham untuk bekalan selepas mati.

Dalam satu hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah r.a , Nabi bersabda, “Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakannya.”

Hal ini merupakan satu bonus untuk orang yang bergelar Muslim.

Bilamana jasad sudah tidak mampu bergerak, bibir sudah tidak mampu menuturkan kata-kata maka jika ada satu saham akhirat yang mampu membantu kita di alam yang berkekalan, maka mengapa ingin menutup mata dan telinga daripadanya?

Mati itu pasti, datangnya tanpa diduga, hari ini mungkin masih bernyawa, esok entahkan masih mampu menghirup udara lewat jendela.

Hari ini mungkin masih mampu bergurau senda, esok belum tentu bibir mampu bertutur dan berbicara.

Semoga langkah kita diredhai, supaya kelak bila sudah tiba waktu untuk pergi kita punya bekalan yang mencukupi, kita punya jawapan atas setiap tindakan kita, kita punya tempat untuk menjadi sebahagian daripada hamba Allah yang masuk syurga.

Andai esok tidak lagi menjengah,
Nafas terhenti jasad terlantar sudah,
Berseorang diri ditinggalkan di bawah tanah,
Amal baik bakal dihitung amal buruk akan terima padah.

Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.