Aku sempat melawat hampir kesemua tempat peninggalan Tsunami di bumi Acheh sepanjang 4 hari aku di sini.
Malah, sebanyak itu jugalah aku temukan cinta dan pengharapan. Memberi sedar kepadaku bahawa tempat pergantungan manusia itu hanyalah kepada Tuhannya.
Ibu Aisyah (*bukan nama sebenar) antara insan yang sempat aku temukan di salah satu tempat Wisata Tsunami.
Kagumku melihat seorang wanita tua yang tidak pernah sekalipun berenggang dengan utas tasbihnya. Bahkan bibirnya sentiasa dibasahi dengan ucapan yang membesarkan yang Maha Esa.
“Subhanallah, Alhamdulilah, Allahuakbar.”
Aku jadi hairan, saat manusia yang lainnya sering mengeluh saat ditimpa musibah, bahkan sampai ada yang menyalahkan ketentuan yang Maha Esa. Namun, Ibu Aisyah tetap memilih untuk bersyukur.
Dalam setiap bicaranya, tiada satu pun kata yang menunjuk kesal mahupun kecewa. Bahkan, dia tidak habis mengucap syukur atas apa yang telah menimpanya.
“Kekuatan ibu adalah pada keyakinan ibu kepada Allah. Tuhan tidak akan pernah sesekali membebani hambanya dengan sesuatu yang tidak tertanggung oleh kudratnya.”
Ibu Aisyah antara mereka yang terselamat dari tragedi rakus air laut yang membaham manusia.
Tragisnya, tiada satu orang pun ahli keluarga Ibu Aisyah yang terselamat. Sehingga kini, mayat-mayat mereka masih belum ditemui.
“Meski tsunami telah memisahkan ibu dengan suami serta anak-anak ibu, ibu masih bersyukur kerana Allah masih berkenan meminjamkan nyawa kepada ibu. Yang hingga suatu saat, ibu sedar yang peluang kehidupan yang Allah titipkan buat ibu hanyalah untuk ibu gunakan untuk terus memperhambakan diri kepadaNya.”
Begitulah tabahnya hati seorang Ibu tua yang sebatang kara. Kagumku pada tingginya redha yang dia sandarkan pada yang Maha Esa.
Meski Ibu Aisyah sudah tidak punya suami mahupun anak-anak, namun dia masih punya kekuatan yang bahkan menutup segenap kekecewaan dan kesedihan yang pernah menimpanya. Kekuatan yang tak akan pernah hilang.
“Telah ibu sandarkan segalanya kepada yang Maha Esa. Kesedihan dan kekecewan yang dulunya pernah ditanggung ibu bahkan telah hilang. Perit kehidupan juga terasa mudah. Semuanya berkat dan izin daripada Tuhan.”
Begitulah kekuatan yang sering dipinjam daripada Allah. Dalam segala hal yang kita lakukan, kebergantungan hidup kepada Tuhan adalah yang paling utama.
Bahkan kita tidak boleh lupa, bahawa segala yang terpinjam daripadaNya, harus kita zahirkan melalui rasa syukur dan tahmid dalam setiap perkara yang kita lakukan.
Benarlah kata Ibu Aisyah.
Ternyata kehidupan itu menuntut manusia untuk terus bersyukur. Berhenti daripada mencari kekurangan yang tidak pernah wujud.
Allah bahkan tidak pernah memberi kekurangan buat hambanya, yang dikasi cumalah kecukupan di dunia ini.
Kehidupan itu juga tentang hubungan cinta manusia dengan Tuhannya. Tentang cinta yang tak akan pernah pudar.
Pada setiap pengharapan yang kita sandarkan, akan memberi kekuatan dalam segenap hal. Yakinlah yang Tuhan tidak akan pernah mempersiakan hambanya.
Kesan peninggalan tsunami di Acheh memberi bekas yang cukup mendalam pada hati.
Mungkin sengaja Tuhan sisakan untuk memberi sedar kepada manusia, bahawa tiada satu pun yang mampu menandingi kekuatan dan kekuasaannya.
Maka, dengan itu akan memberi sedar betapa kecilnya manusia jika dibandingkan dengan kebesarannya.
Ternyata tsunami di Acheh tidak berhasil meranapkan harapan dan kekuatan penduduknya untuk kekal bangkit.
Peristiwa hitam yang melanda belasan tahun yang lalu bahkan menjadi pengajaran penting buat mereka, betapa musibah yang melanda bahkan mendekatkan lagi diri mereka kepada Penciptanya.
Sebelum aku beransur pulang, sempat Ibu Aisyah titipkan pesanan buatku. Pesanan yang cukup bermakna. Sehingga cukup untuk membuat aku terpaku seketika,
“Dan sepertimana air laut itu kelihatan cantik pada awalnya, yang menjadi sumber rezeki kami di sini, yang menjadi dambaan manusia dek kejernihan airnya, akhirnya bertukar bertukar menjadi mimpi ngeri dalam sekelip mata. Begitulah miripnya dunia. Kecantikan yang tak akan kekal.”
Coretan di Bumi Acheh
“Tempat Wisata Tsunami”- Gampong Lampulo- Jalan Tanjong
13 Januari 2017
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Merupakan mahasiswa bidang bioperubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.