,

Menangislah kerana DIA…

Saat ujian datang menghimpit diri kita, pasti ada rasa gundah gulana di hati. Pasti ada rasa gelisah di hati.

Kadang-kadang air mata tumpah jua di pipi. Air mata ini tidak mampu lagi bertahan daripada jatuh.

Akhirnya, air mata ini jatuh jua. Pada saat ini, barulah kita terasa perlunya Allah dalam hidup kita. Pada detik ini jugalah kita ingat DIA. Kita sebenarnya lupa bahawa DIA selalu ada dengan kita.

Ujian-ujian ini kadangkala membuatkan diri kita lemah. Lemah hingga kadangkala kita jatuh tersungkur.

Kita merasakan tiada harapan lagi dan kita memerlukan kekuatan. Akhirnya, kita menangis memohon pertolongan kepada Allah jua.

Menangis…

Pernahkah terfikir, adakah kita pernah menangis? Kita menangis kerana apa?

Adakah kita menangis apabila terkenangkan dosa-dosa kita?

Adakah kita menangis apabila kehilangan orang-orang tersayang?

Adakah kita menangis di saat kematian menghampiri, kita tidak sempat bertaubat?

Adakah  air mata yang menitis itu kerana-Nya?

Apabila ujian datang, kita perlu muhasabah diri kita.

Mungkin masih ada sisa-sisa mazmumah dalam diri. Mungkin masih ada dosa dalam diri tanpa kita sedar. Ujian ini datang untuk kita mensucikan hati kita daripada anasir jahat.

Sabar.

Istighfar.

Ujian yang datang ini akan membuatkan kita lebih baik daripada sebelumnya. Jangan memberontak kerana perasaan kecewa.

Sabar.

Istighfar.

Segeralah kita pujuk hati agar tidak larut dengan kecewa. Kita bukan Tuhan untuk menghukum manusia. Menangislah andai itu yang membuatkan dirimu tenang.

Jangan putus asa daripada rahmat-Nya dan sentiasalah mengingati-Nya.

Ingatlah Allah berpesan dalam ayat-Nya:

“Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d: 28 )

Semoga kita sentiasa dalam jagaan DIA.

Menangislah memohon taubat kerana DIA.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.