,

Istiqamahkah Kita Dalam Kehidupan Seharian?

Apa itu istiqamah?

Istiqamah bermaksud berdiri teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada aqidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah-ubah dan berpaling walau dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “ Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):

“Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.”

(Surah al Fushilat: 30)

Istiqamahkah kita dalam kehidupan kita seharian? Istiqamahkah kita dalam menjalankan ibadah kepada-Nya? Istiqamahkah kita dalam melakukan kebaikan?

Ibn Qayyim berkata, terdapat lima perkara bagi mencapai istiqamah dalam amalan;

    1. Perbuatan tersebut mestilah dilakukan hanya kerana Allah.
    2. Ia dilakukan dengan mempunyai ilmu pengetahuan dan bukan ikut-ikutan dan jahil.
    3. Ibadah dilakukan sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam.
    4. Perbuatan tersebut dilakukan sebaik mungkin (sempurna).
    5. Memastikan segala yang dilakukan patuh syariat.

Bagaimana istiqamah hati kita?

Istiqamahlah hati kita dengan menjaga hati daripada sifat syirik dan mazmumah. Penuhilah hati dengan sifat mahmudah.

Bagaimana Istiqamah lisan kita?

Istiqamahlah lisan kita dengan menjaga lisan supaya sentiasa berkata benar dan berani menyatakan yang benar, baik dan betul sahaja.

Bagaimana pula Istiqamah perbuatan kita?

Istiqamahlah perbuatan kita dengan tekun dalam pekerjaan dan melakukan yang terbaik dan sempurna.

Bagaimana mahu membentuk nilai istiqamah pula? Bentuklah nilai istiqamah dalam diri kita dengan:

  1. Baiki kelemahan diri
  2. Jangan buang masa
  3. Selalu bertanya dengan orang yang lebih tahu dan berilmu
  4. Sentiasa mengawal diri dengan tekad, “Saya mahu berjaya”
  5. Sentiasa melakukan yang terbaik dalam sesuatu pekerjaan
  6. Yakin dengan diri sendiri dan pertolongan Allah
  7. Jangan berhenti selagi belum berjaya
  8. Tinggalkan sifat mazmumah dalam diri
  9. Berani melaksanakan keputusan dan laksana dengan bijak

Jom didik diri kita I.S.T.I.Q.A.M.A.H!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.