,

Keperluan Memahami Fiqh Tarbiah

Fiqh Tarbiah atau Fiqh Pendidikan atau Fiqh of Education adalah suatu ilmu fekah yang mengkaji suatu kefahaman atau hukum hakam yang terperinci berkaitan pendidikan dalam sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Istilah fiqh ini merupakan cabang baharu dalam perbendaharaan ilmu fiqh. Tidak dinafikan fiqh ini khusus bagi menangani isu pendidikan umat Islam yang hidup dalam konteks negara tunggal dari negara-negara di dunia yang mempunyai rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Sudah semestinya terlalu banyak cabaran yang pelik dan unik yang hanya sesuai di negara ini seperti Malaysia memerlukan suatu kerangka penyelesaian yang relevan berlandaskan kepada perbahasan kefahaman yang lebih segar dan lebih kontemporari mengikut Falsafah Pendidikan Negara (FPK) serta Falsafah Pendidikan Islam (FPI) demi kemaslahatan bersama.

Hakikatnya, fiqh tarbiah juga bukan sahaja berkaitan perundangan atau peraturan atau penelitian pendidikan semata-mata bahkan ianya adalah suatu kajian yang memerlukan muzakarah secara perbicangan atau bertukar-tukar pendapat bagi memenuhi semua aspek pendidikan termasuk dalam skop dakwah yang luas dan terbuka di samping segar kepada seluruh kaum di Malaysia khususnya umat Islam di sini.

Sesetengah perkara berkaitan pendidikan mungkin lekas sensitif jika dipandang dari kaca mata yang jumud atau kefahaman yang kolot tanpa mengambil kira sudut maqasid syariah (hala tuju) dan manhaj (cara) dakwah yang luas.

Walaubagaimanapun, dalam menghadapi segala isu mendatang, kita memerlukan kebijaksanaan para sarjana muslim kontemporari atau moden yang bertauliah, berkredibiliti dan berkebolehan untuk meneliti dan memberi pandangan yang logik, tuntas serta holistik bukannya kompleks atau menyusahkan bagi memberikan suatu pendedahan pengetahuan terhadap matlamat negara yang bersifat berkepelbagaian kaum seperti Malaysia ini.

Kelebihan dan keindahan Islam yang ada di Malaysia juga boleh diperkenalkan di mata dunia agar Islam yang dikenali sebagai agama rahmatanlil’alamin (rahmat sekalian alam) yang diamalkan oleh penduduk Islam di negara ini mampu menjadi contoh atau role model bersesuaian dengan ciri-ciri Islam seperti wasatiyyah (seimbang), salam (aman) dan ta’ayush (mengiktiraf kepelbagaian dalam kehidupan) selain dapat memaparkan ciri-ciri maqasid fiqh tarbiyah Islamiah (objektif kefahaman pendidikan Islam) sebenar yang ada dalam Islam seperti rabbaniyyah (ketuhanan), Al-takamul wa al-syumul (kesempurnaan dan lengkap), mu’tadil (sederhana), ukhwah wa jamaah (persaudaraan dan berkumpulan, ‘alamiyah (sejagat), waqi’eyah (realistik), thibath wa murunah (anjal dan fleksibel), insaniah (kemanusiaan) dan inqilabiyyah (keseluruhan) dan ijabiyah wa banaat (positif dan membangun).

Hal ini sudah tentu dapat menghapuskan segala tanggapan dangkal segelintir individu yang dibelenggu salah faham tentang Islam dan fiqh tarbiah dengan rupa yang rigid, sempit, ekstrem dan terkurung.

Namun, banyak-banyak perkara yang disebutkan di atas, perkara yang paling utama dalam Islam adalah dengan cuba menerapkan suatu bentuk fiqh tarbiyah yang khusus kepada umat manusia iaitu keimanan kepada Allah SWT.

Sebagaimana dalam Surah Fussilat, ayat 33, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

تَدَّعُونَ نُزُلٗا قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Maksudnya: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa mengajak manusia menuju agama Allah merupakan salah satu bentuk fiqh tarbiyah yang agung, manfaatnya menyangkut orang lain.

Bahkan salah satu konsep fiqh tarbiyah menuju agama Allah merupakan perkataan yang paling baik.

Manakala tugas membawa atau memberi fiqh tarbiyah tentang Islam iaitu mengajak kepada agama Allah merupakan tugas para nabi, maka cukuplah sebagai kemuliaan bahawa para murabbi atau para da’i mengembangkan tugas para nabi.

Allah SWT memerintahkan para rasul-Nya untuk mengatakan, tarbiyah merupakan jalan-Nya melalui firmanNya di dalam surah Yusof, ayat 108:

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ

Maksudnya: Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Zulazizi Bin Mohd Nawi. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)