,

Indahnya Saat Menerima Tarbiyyah Dari Tuhan (bahagian 2)

Ujian 2 (Julai)

Beberapa bulan selepas itu, kakak tercinta terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya. Sekali lagi hati diragut hiba. Aku cuba gagahkan diri.

Sungguh sedih saat ini, bila diri tak mampu hadir di sisinya dan membantunya menghadapi saat-saat sukarnya.

Saat inilah, aku rasa peritnya dalam hati yang tak pernah aku rasa sebelum ni tapi aku harus tetap kuat demi keluarga, setia mendengar dan memberi kata-kata semangat, meski jauh dalam hati ini, aku sungguh tak berdaya sendiri di bumi London ini menghadapi kejadian ini.

Aku rindukan keluarga, aku ingin bersama-sama mereka di saat-saat seperti ini. Aku menangis dalam hati, merintih dan merayu padaNya.

Betullah pepatah, kita akan lihat sifat sebenar orang di sekeliling kita saat kita diuji. Siapa yang datang dekat dengan kita dan sebaliknya.

Lihat bagaimana respon insan-insan di sekiling kita, akan engkau pelajari sesuatu saat itu. Meskipun hati sedih, namun ia juga ujian buatku, bagaimana aku harus respon dalam situasi ini?

Daripada menilai respon insan lain, aku memilih untuk fokus pada memperbaiki responku saat diuji. Kerana respon kita saat diuji adalah cerminan iman dan akhlak kita.

Alhamdulillah, Allah SWT hadirkan rakan-rakan yang banyak membantu aku di sisi. Aku kembali fokus dengan pelajaran, penghujung tahun hampir menjelma, aku harus siapkan kerja-kerja pengumpulan data, tahun depan aku kena fokus pada penulisan.

Namun, ujian lain datang menyapa. Benarlah FirmanNya:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Surah Al-Ankabut:Ayat 2).

Ujian 3 (September)

Aku harus kembali ke Malaysia untuk bantu abangku. Dia hampir kehilangan anaknya di saat-saat hari raya menjelang.

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usianya. Mereka sekeluarga menyambut pagi raya di hospital. Sayunya hati ini. Mulanya aku tak berhajat untuk pulang melihatkan komitmen kerja, tapi hati ini terpanggil-panggil untuk balik, semoga serba sedikit dapat membantu mereka sekeluarga.

Sekali lagi terpaksa buat keputusan mengejut, check tiket, ‘click’ tiket London-Kul selamat aku beli. Emel ‘short notice’ kepada supervisor tentang perancanganku, alhamdulillah dia sangat memahami. Di hari merdeka, aku tiba di Kuala Lumpur.

Jika di timbang kudrat dan masa, jujur ku katakan aku tak mampu dan dari segi fizikal dan komitmen kerja menjadikan masa ini agak kritikal untuk aku bercuti.

Aku berdoa semoga Allah SWT kurniakan aku keberkatan masa dan rezeki. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui. Dan yakinlah:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah:Ayat 286)

Pasti ada sesuatu yang menanti di penghujung sana. Aku tanamkan fikrah itu dalam diri.

Aku yakin, aku sedang dalam tarbiyyahNYa, melalui ujian ini Allah SWT sedang mempersiapkan aku untuk sesuatu yang lebih besar dan InshaAllah lebih baik di hadapan.

Aku bermalam beberapa hari di wad kanak-kanak menjaga anak sedara berumur 4 tahun. Mula-mula memang aku tak yakin, tapi entah dari mana datang kekuatan tu.

Seronok juga bila fikir semula, dapat lalui pengalaman yang berharga tu meskipun bukan mudah. Mencabar juga jaga kanak-kanak. Alhamdulillah, banyak sangat belajar semasa menjaga dan merawat anak kecil (InshaaAllah aku akan ceritakan dalam entri – Fitrah anak kecil tarbiyyah buat kita).

Kagum dengan kaum ibu di luar sana. Anda sungguh hebat. Meskipun ada masa-masa yang sukar, namun aku hadapinya dengan bersangka baik dan yakin pada Allah SWT.

Walau sesukar mana pun situasi yang dihadapi, Allah pasti akan ilhamkan jalan keluar dan kita akan tenang hadapi bila kita sentiasa bersangka baik dan bergantung padaNya.

Alhamdulillah sangat-sangat membantu.

 

> Indahnya Saat Menerima Tarbiyyah Dari Tuhan (bahagian 3-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Hayati Jasmin. Ikuti perkembangan beliau melalui blog https://disy90.blogspot.com/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 50.000000%