,

Terbelenggu Oleh Syaitan LGBT (bahagian 2-akhir)

Dalam ilmu demonologi Islam- kajian yang melibatkan tentang syaitan dan hasutan-hasutannya, Wasim atau Dasim adalah syaitan yang termasuk dalam salah satu daripada lima anak Iblis. Adik-beradiknya yang lain bernama Awar, Zalambur, Sut dan Tir.

Melalui kupasan artikel majalah Al-Islam Bulan Mei 2012, bertajuk ‘Rahsia Merawat Golongan Songsang’: “Hadis Nabi menceritakan, syaitan yang bertugas menyemarakkan nafsu lelaki dan perempuan sehingga melakukan zina (termasuk LGBT) bernama Wasim. Tempatnya di dubur, masuk ke saluran sperma, kemaluan lelaki dan perempuan. Selain dari tempat-tempat tersebut, Wasim turut berada di bahagian-bahagian tubuh yang dianggap strategik terutamanya mata, telinga, tapak tangan, dada dan mulut.”

Membaca nota itu membuatkan aku teringat pada Anish. Mungkin ada sesuatu yang boleh aku lakukan esok.

AKU mematikan enjin perahu, mendengar dari pojok kejauhan, suara kekecohan yang datang dari khemah utama.

Kemudian aku naik ke atas jeti dan menyaksikan pertengkaran antara Anish dan seorang lelaki yang diura-uraka teman lelakinya. Sehinggalah Encik Burhan tiba meredakan suasana.

“Kamu kalau nak kerja lagi, tolong jangan bawa perangai dunia luar kamu. Nak bercinta ke, bersepak terajang semua di luar kerja faham.” Encik Burhan menengking Anish. Semua pekerja endah tak endah. Anish tertunduk malu.

Masa rehat itu, aku mengambil kesempatan untuk bertemu Anish di tepi jeti. Aku menawarkan nasi lemak yang diberikan oleh Hasyim setiap pagi.

“Tadi teman lelaki awak ya Anish? Kacak.”

“Iya, kami sudah setahun hidup sebumbung, tapi itulah kisah cinta kami yang menyeksakan.”

“Maksud awak Anish?” Aku cuba menyingkapi satu per satu kisah yang tersimpan.

“Dia sering memukul dan mendera saya. Sebelum ini awak juga ada tanya apa saya buat selain bekerja di sini, ya saya menjual dadah di kelab malam, menjadi pelacur dan yang memaksa saya melakukannya adalah dia, teman lelaki yang saya percaya selama ini. Entah siapa yang sudi mendengar.” Anish meluahkan ceritanya.

“Bagaimana dengan keluarga awak?”

“Keluarga?” Anish tersengih. “Keluarga saya sudah tak terima maknyah seperti saya. Kami golongan yang tersisih dan terbelenggu. Bukan golongan malaikat seperti awak Mikael.”

“Sebenarnya Anish, tak salah awak tinggalkan teman lelaki itu. Awak tahu itulah syaitan yang selama ini menghasut awak untuk menjadi seperti sekarang. Saya yakin awak boleh lakukannya,” nasihatku.

“Awak doakan saya pun sudah cukup. Saya masih perlukan masa untuk mencari jalan.”
Anish menghabiskan makanannya dan bangkit menyapu-nyapu tubuhnya.

Tiada jawapan solid yang diberikan. Terus dia kembali ke kaunter khemah dan menghulurkan tiket perahu kepada pelanggan dengan ramah tamah.

Dalam runtun hatiku tidak berhenti berdoa agar Anish diberikan hidayah untuk keluar dari dunia songsangnya dan dijauhkan bala.

Besok adalah hari ketujuh merangkap hari terakhir aku berkerja sebagai penerang pelancong. Bahasa Arabku masih belum fasih ketika melayani pelancong dari negara Arab tetapi aku tidak gentar untuk mencuba.

Anish tidak kelihatan lagi di kaunter sejak pagi tadi. Aku terdengar gosip pekerja katanya Anish ditangkap oleh polis atas pengaruh dadah di sebuah kelab malam.

Mendengarkan itu, jantungku menjadi luruh tetapi imanku berfikir kemungkinan itu adalah tanda doaku dimakbulkan oleh-Nya.

Mungkin itulah jalan terbaik untuk Anish berubah menjadi lelaki yang normal seperti biasa, menjalani hidup seperti manusia lain dan yang paling penting semakin bertakwa kepada Allah SWT walaupun berpewatakan lembut. Pedulikanlah apa yang orang ingin kata.

Firman-Nya yang bermaksud, “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az Zumar: 53)

Tujuh tahun sudah berlalu. Embun sayu sepi-sepi menyerap naik kekeringan di balik rumput-rumput sekitar Rumah Perlindungan Baitul Rahman, sebuah rumah yang diselia oleh NGO kebajikan yang berperanan memulihkan golongan LBGT bertaubat. Anish atau nama sebenarnya Muhammad Anas juga adalah salah seorang pendiri rumah kebajikan ini.

Setelah menjalani pemulihan, Anish mula melazimi al-Quran, solat dan mengamalkan zikrullah. Segala kosmetik, beg, dan pakaian wanita yang dibeli sebelum ini dibakar hangus. Dengan harapan taubat nasuhanya di terima oleh Allah SWT.

Anish mulai mempelajari modul istitabah iaitu modul untuk memulihkan golongan LGBT dibawah majlis agama Islam. Modul ini yang digunakan di Baitul Rahman merangkumi aspek teori, praktikal, psikologi dan spiritual.

Kelihatan beberapa maknyah yang ingin bertaubat mengenakan busana songket tetapi ada juga yang cuba berlatih mengenakan pakaian baju Melayu. Katanya sudah bertahun-tahun tidak memakai baju Melayu. Suasana hari itu begitu meriah dengan kunjungan beberapa NGO kebajikan yang lain.

Hari itu dibuat rumah terbuka dan beberapa delegasi dari pegawai zakat turut dijemput hadir. Zakat yang diberikan kepada golongan Ar-Riqab atau golongan yang terbelenggu oleh nafsu dan syaitan diuruskan secara telus oleh NGO terbabit.

Antaranya digunakan untuk membeli perabot seperti katil, rak baju, televesion serta naik taraf surau kecil dan beberapa alatan pembesar suara.

“Selamat datang Ustaz Hasyim dan Dr. Mikael. Jemputlah makan.” Anish mempelawa tetamu jemputannya. Mikael menyalami tangan Anish yang mengenakan baju Melayu hijau daun pisang.

Wajah Anish kelihatan mendung tapi tetap disuluhi cahaya. Ustaz Hasyim di situ turut membalas salam Anish dan menyuruh isterinya dan anak bongsu lelakinya yang berusia lima tahun masuk ke dalam.

Ustaz Hasyim juga bertugas di sini sebagai penceramah agama dan membimbing program-program motivasi serta kerohanian di rumah perlindungan Baitul Rahman.

Tapi aku tidak begitu dan lebih senang menjadi seorang pengkaji dalam mendepani cabaran idealisme Liberalisme di Malaysia. Doakan aku berjaya melepasi halangan seterusnya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini