“Dunia. Tempat ini telah dijadikan untuk mematahkan hati kita. Ia telah dijadikan sebegini. Kalau pada hari ini kita mencari kebahagiaan di dunia, kita berada pada tempat yang salah.”
Kalau kita lihat pada hari ini, masyarakat yang wujud sama sekali tidak seperti masyarakat dulu. Masyarakat yang ada pada hari ini terlalu mencintai dunia sehingga terlupa akan tujuan kita dilahirkan di muka bumi ini.
Mengimbas kembali sejarah kekasih Allah, iaitu Nabi Muhammad SAW, betapa kasih dan cintanya Baginda terhadap umatnya.
Sampaikan bila sampai suatu saat, ketika Baginda dijemput menghadap Sang Pencipta, Baginda melafazkan kata-kata terakhir iaitu “Ummatii, ummatii, ummatii” yang bermaksud umatku, umatku, umatku.
Ya Allah, betapa sayangnya Baginda terhadap umatnya sampaikan di saat menahan kesakitan sakaratul maut pun Baginda masih memikirkan umatnya.
Namun, apakah yang terjadi pada umat hari ini? Umat pada hari ini berada dalam keadaan yang koma. Mereka hidup namun tidak mampu berbuat apa-apa untuk diri sendiri.
Dunia yang sebenar adalah akhirat, bukannya dunia yang kita sibuk pada hari ini. Dunia ini boleh diibaratkan seperti penjara kecuali kepada orang mukmin yang mengejar Allah dan syurga.
Kalau pada hari ini anak-anak muda menginginkan syurga, maka berusahalah bagi mendapatkannya.
Adakah kamu semua gembira dengan kehidupan di dunia? Percayalah, orang yang mengejar dan berusaha untuk akhirat, sebenarnya mereka juga akan dapat dunia.
Namun, belum lagi wujud orang yang mengejar dunia dan pada masa yang sama mendapat akhirat. Tempat yang dianggap sebagai sementara inilah dianggap sebagai dunia.
Realiti kehidupan kita yang sebenar adalah perjalanan daripada Allah kepada Allah.
Wahai umat Muhammad, apakah yang engkau inginkan? Apakah yang engkau harapkan? Apakah yang ingin kau kecapi?
Tepuk dada tanya iman, tanyalah diri masing-masing tentang persoalan ini. Adakah anda inginkan seorang isteri yang cantik? Ataupun adakah anda inginkan seorang suami yang hensem? Adakah anda inginkan sebuah rumah yang besar dan juga duit yang banyak? Adakah ini yang engkau inginkan?
Kalau inilah yang engkau inginkan dan hasrati, maka umat Muhammad yang disayangi anda telah ditipu oleh dunia ini. Tertipu dengan kemewahan dan kecantikan dunia ini. Sedangkan Allah telah menggambarkan segala kecantikan ini melalui ayat-ayat Quran-Nya.
Hal ini boleh diibaratkan sebagai sekuntum bunga yang telah membesar dari tanah, telah mendapat air daripada rahmat Allah iaitu hujan, dan kemudian mekarlah bunga itu menjadi sekuntum bunga yang cantik dan berbau harum.
Namun, bunga ini hanyalah bertahan untuk sebulan ataupun kurang daripadanya. Dan di situlah kita lihat, apabila bunga itu sudah layu dan tiada nilai lagi, kita mula mengubah pandangan kepada bunga-bunga yang lain dan menganggap bunga yang mekar tadi seperti tidak pernah wujud.
Situasi inilah yang menggambarkan dunia ini hanya tempat persinggahan yang sementara dan tidak kekal. Kecintaan terhadap dunia inilah yang telah menghancurkan kita pada hari ini.
Sudah tiba masanya sekarang untuk kita mengambil tanggungjawab dalam tangan kita sendiri. Sudah tiba masanya kita mengingati ayat Allah seperti di dalam (Surah At Taubah, ayat 38),
“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.”
Kalau pada hari ini kita masih tidak buka mata dan masih ingin meneruskan hidup dengan mencintai dunia, maka hinalah kita di dunia ini dalam pandangan Allah sehinggalah Allah sendiri yang menghilangkan kehinaan itu.
Wahai saudaraku yang disayangi, lihatlah contoh yang ada di depan mata. Hasan Al-Basri, beliau meriwayatkan, “Wahai manusia, bekerjalah kamu untuk akhirat, kerana sesungguhnya telah aku melihat dalam kehidupan aku ini, barangsiapa yang menghidupkan akhirat maka dunia pasti dalam tangannya. Dunia ini sendiri akan berada dalam tangannya.”
Namun, beliau tidak lagi pernah melihat seseorang yang berpenat lelah bekerja untuk dunia mendapat walaupun secebis untuk akhirat kelak.
Tanyalah pada diri kita, bagaimanakah kita mengisi masa kita? Dunia dan akhirat boleh diibaratkan seperti dacing, di mana apabila satu menjadi berat maka yang satu lagi itu akan menjadi ringan.
Jika pada hari ini, Nabi Muhammad SAW masih hidup, adakah kita mampu menjadi umatnya yang terbaik? Adakah kita masih dengan ajarannya?
Manusia kini berlumba-lumba untuk melihat siapa yang memiliki rumah yang lebih mewah, kereta yang lebih daripada satu, siapakah yang paling cantik, dan siapakah yang memiliki duit yang paling banyak.
Inilah semua tentang dunia, semua orang saling berlumba untuk mendapatkan posisi yang lebih tinggi. Ini adalah kehidupan yang mencabar iaitu mencabar orang lain.
Kalau inilah yang kita inginkan pada hari ini, maaflah untuk mengatakan bahawa anda adalah manusia yang paling rugi dan gagal.
Kerana apabila saat kamu mati kelak, kamu hanya mampu meninggalkan ini semua di belakang kamu. Tidak ada satu pun daripadanya yang kamu mampu bawa menghadap Ilahi. Semua orang akan mengalami mati. Dan apabila kita mati, maka terputuslah segala amalan kita melainkan 3 perkara.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W: Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.”
Tidak kiralah betapa sayangnya kita terhadap keluarga kita. Sayang kat mak, abah, abang, kakak. Tapi pada saat kita mati, apa yang akan terjadi?
Mereka akan datang ke kubur untuk pengebumian, sedikit air mata akan terpancar dan juga perasaan sedih. Lepas itu, apakah yang akan terjadi? Mungkin mereka akan berada di situ untuk menemani kita buat kali terakhir untuk satu atau dua jam.
Selepas itu, mereka akan pergi meninggalkan kita keseorangan. Pada masa itu, apakah yang akan ikut kita? Apakah yang masih ada pada diri kita?
Hanya deen (Islam) yang ada. Agamalah yang membantu kita dalam kubur, menjawab persoalan malaikat, dan juga melintasi titian siratulmustaqim.
Kalau kita perasan apa yang berlaku pada hari ini ialah apabila keluar berita di tv, contohnya ‘Akibat kehilangan 1 juta, seorang lelaki meninggal akibat sakit jantung’, orang yang menjadi mangsa ini boleh mati pada saat itu juga. Kenapa?
Sebab mereka bekerja keras dalam mengejar dunia untuk mengumpul duit itu. Pernahkah anda melihat, seorang hamba menangis dalam masjid dan apabila ditanya, mengapakah engkau menangis, dia menjawab, “Aku tertinggal untuk melakukan solat Subuh.”
Kalau orang hilang anak, kita faham perasaan mereka. Kalau orang hilang kereta, kita juga faham perasaan mereka.
Tapi bila kita tertinggal solat Subuh di masjid dan menangis, mereka hanya akan bertanya, “Apa yang terjadi?”
Apa yang sedihnya ialah, hakikatnya kurang daripada 1% umat Nabi Muhammad pada hari ini yang menunaikan solat Subuh di masjid.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat dilaksanakan oleh orang-orang munafik adalah solat Isya’ dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui keutamaan keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR. Al-Bukhari no. 657 dan Muslim no. 651)
Dunia ini sangat cantik dan mengagumkan. Allah telah memberikan kita tanggungjawab sebagai seorang hamba di muka bumi ini dan menganggap kehidupan ini sebagai satu ujian.
Berhati-hatilah dengan dunia ini dan janganlah sampai ia memperbodohkan kita.
Gunakanlah masa yang kita ada ini dengan sebaik mungkin kerana kita dilahirkan di muka bumi ini hanya dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk beribadat kepada Allah.
Firman Allah SWT: “Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat: ayat 56)
Jika kita telusuri, Islam itu adalah agama yang mudah dan bersifat menyeluruh. Semuanya bermula pada diri kita sendiri, pada niat kita, macam mana kita nak menjalani kehidupan di dunia ini.
Oleh itu, wahai saudara sesama Islam, marilah kita menuju ke jalan yang benar dan jalan yang diredhai Allah.
“Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali.” (Surah an-Najm: ayat 42-44)
Mungkin Allah ingin mengajar nilai syukur, lalu ditimpakan kesusahan.
Mungkin Allah ingin mendidik hati dengan sabar, lalu diberikan ujian.
Mungkin Allah ingin melatih rasa rendah diri, lalu diberikan kegagalan.
Mungkin Allah ingin menguji nilai cinta pada-Nya, lantas diberikan cinta kepada duniawi.
Tidak diberikan sesuatu itu sia-sia.
Tidak dijadikan apa-apa pun tanpa sebab dan ibrah.
Bangkitlah wahai ummah kerana sesungguhnya solat serta ibadat kita hanyalah untuk Allah. Yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang kurang baik itu datangya daripada saya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nornazirah binti Nazir Ali. Sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Minat dalam bidang penulisan.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.