Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan,
tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.
Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”,
mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).
(Surah At-Taubah 9:91-92)
Ayat-ayat di atas menjelaskan tentang kaum Muslimin yang tidak ikut berjihad kerana uzur syar’ie. Jadi, mereka tidak berdosa kerana mereka bukannya sengaja memberikan alasan.
Maksud ‘orang-orang lemah’ adalah orang yang mempunyai sakit kronik dan orang-orang tua.
Ada pendapat lain yang menyebut anak-anak kecil, ada juga yang mengatakan orang-orang gila kerana akal mereka lemah.
Maksud ‘orang-orang sakit’ adalah mereka yang terhalang untuk berjihad kerana penyakit yang dialami.
Maksud ‘orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan’ ialah orang yang tidak memiliki dana untuk berperang, jadi mereka tidak berdosa.
Maksud ‘orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka’ adalah terkait dengan ayat sebelumnya, sebagai wujud perhatian untuk mereka dan termasuk dalam golongan orang-orang disebut Allah sebelumnya.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)