,

Kenapa Selalu Hidup Penuh Prasangka

“Macam mana dia boleh jadi ketua kita? Ni mesti pakai kabel.” Wardah panas hati.

“Astaghfirullahal’azim wa atu bu ilaih.” Haifa menafikan.

“Tak pelik ke? Dia tu baru konvo. Tiba-tiba jadi ketua kita. Stres tau!” Makin panas hati melayan emosinya.

“Laa ila ha illallah, Muhammad Rasulullah. Cuba bawa bertenang.” Haifa sabar memujuk.

“Tenang? Jap. Apsal sokong dia? Ada apa-apa ke?” Wardah berang.

“Eh, memang ada. Dia tetap saudara seakidah kita. Betul tak?”

“Dahlah berlagak. Pengalaman pun takda, apa kes?”

“Kalau kita terus protes, selesai masalah? Jadi, anggap saja ini kehendak Allah.” Haifa cuba stabilkan situasi.

“Senanglah cakap. Tapi kita kena mengadap kerenah dia. Malaslah!”

“Insya-Allah. Hah, pernah tak beliau suruh kita buat perkara yang bertentangan agama?”

Wardah terdiam. Dia cuba berdalih, “Dengar citer, dia tak suka pekerja datang lambat. Apa ni?”

“Boleh tak kita tabayyun. Nanti malu sendiri.” Haifa masih berlembut.

“Kalau betul pun, Haifa bukan nak percaya.” Wardah tetap berkeras.

“Jom kita siapkan laporan ni! Kejap lagi ada mesyuarat.”

“Alamak, nantilah. Nak layan facebook. Siapkan tau!”

“Syaitan suka perangai macam ni. Apa beza kita dengan syaitan, eh?”

“Tanyalah ketua kesayangan Haifa tu. Kita cakap pasal lain, melalut entah apa-apa.”

“Baik kita jadi mata lebah. Bukan mata lalat.”

“Cakap pandai. Buatlah sendiri. Wardah tak nak campur.”

“Kalau kita bekerja kerana Allah, moga Allah sebaik-baik tempat bergantung. Tapi kalau sebaliknya, moga Allah ampunkan kita semua.”

“Wardah nak tengok sejauh mana Haifa mampu bertahan.”

Israk Iman, Mikraj Syurga

Apakah yang membuatkan kita berperangai seperti Wardah? Maha Suci Allah. Setiap sesuatu yang berlaku semuanya dalam ilmu Allah. Sebagai orang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, kita wajib terima dengan hati yang jernih.

Mari kita muhasabah. Daripada kita hidup bersangka-sangka, terpengaruh tanpa usul periksa dan memprotes sini sana, alangkah baiknya kita berperanan. Walau siapapun kita, bekerjalah demi agama, bangsa dan negara.

Realitinya, keadaan ini berlaku di mana-mana. Hanya orang yang ada pegangan hidup, tidak mudah menyalahkan sesiapa. Lebih aman jika kita berlapang dada. Kemudian, berfikir bagaimana kita mampu berkhidmat untuk memacu kecemerlangan bersama.

Boleh jadi, berlonggok penyakit hati seperti hasad dengki, ego, sombong dan lupa tujuan kita bekerja. Mungkin niat bekerja untuk kepentingan dunia, ikut-ikutan tanpa tujuan hidup, atau terpengaruh membuta tuli.

Sedangkan kita ada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Apapun, masih belum terlambat untuk kita dekatkan diri kepada Allah Yang Esa.

Hidup pasti mati. Setelah kita mati, apakah kerja kita bernilai di sisi Allah? Mampukah kerja kita itu membawa ke syurga atau berakhir ke neraka? Pernahkah kita terfikir, apakah persediaan kita selepas mati?

Kerana hidup hanya sekali, jadikan Rasulullah sebagai tarbiah rohani, minda, jasmani dan emosi. Mari selamatkan hati sebelum bertemu Ilahi!

“Katakanlah (wahai Muhammad), wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat,) janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah Az-Zumar ayat 53-54)

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Qalam Ardini.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%