,

Bisnes Yang Untung Belum Tentu Berkat?

“Ayah, Raissa ingat nak buat bisnes. Bagaimana nak mula?” Idea yang sekian lama dipendamnya. Terkongsi juga dengan ayah tercinta untuk mohon restu.

“Masya-Allah. Anak ayah minat bisnes rupanya. Tahniah! Raissa dah buat kajian, pelan strategik atau seumpamanya?”

“Alhamdulillah. Adalah kumpul maklumat sikit-sikit. Asyik atas kertas saja, ingat nak mulakan sekarang.”

“Mari kita bedah siasat. Nak pastikan Raissa benar-benar fit.”

“Maksud ayah? Raissa tak layak sebab masih belum konvo?”

“Bukan begitu, sayang. Ok, kenapa Raissa nak berbisnes?”

“Raissa kagum dengan Abdul Rahman Bin A’uf rhm. Walaupun hartawan, sangat menjaga ibadah khusus. Ibadah umum pun, dahsyat dan luar biasa.”

“Raissa jadilah pelajar sehebat Abdullah Ibnu Abbas…”

“Insya-Allah. Waktu sama, nak jadi bintang bisnes yang dijamin syurga.”

“Subhanallah! Raissa serius ke ni?”

“Bisnes cara Nabi, personaliti cara Khadijah, Aisyah dan Fatimah. Ayah tetap mentor Raissa. Jujurnya, modal bukanlah yang Raissa perlukan.”

“Jadi, apa yang ayah patut sumbangkan?” Duga ayah.

“Ingatkan Raissa bila bisnes ini nanti tergelincir dari landasan asal. Raissa nak kaya gaya syariat, bukan maksiat.”

“Na’uzubillah. Selagi kerana redha Allah, perangai persis Nabi, adab jadi solekan setiap hari, zakat, sedekah dan infaq, pakaian utama, insya-Allah.”

“Ayah tengoklah dulu. Ni failnya. Kalau ayah tak faham, tanya saja.”

“Raissa dah ada pasukan?”

“Ayah, doakan Raissa dapat pasukan punyai ciri-ciri Abu Bakar, Anas Bin Malik, Asiah, Bilal dan Abdullah Ibnu Mas’ud.”

Superstar Syurga

Secara umum, berikut adalah mukadimah bisnes:

1 – Pakej 3B

Baca, belajar dan beramal. Ini adalah pemula segala aktiviti. Ada juga yang mulakan bisnes kerana faktor ikut-ikutan. Bukan salah. Cuma, bila ditimpa tribulasi, makan masa untuk bangkit kembali.

Kebanyakan daripada kita menjadikan pengalaman sebagai kekuatan. Jika tidak diselia oleh iman dan taqwa, masih terasa kosong.

Kita akui manusia dan kesilapan adalah kembar. Bila teruji, dibimbangi iman dan Islam terkorban.

Berapa ramai yang terlibat dengan bisnes menjauh dari taat dan mendekat dengan maksiat bila tidak disertai dengan pegangan?

2-Zakat, Sedekah & Infaq

Zakat adalah rukun Islam yang ke-4. Orang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat sahaja mampu laksanakan. Solat dan zakat, regu yang Allah perintahkan.

Insya-Allah, bila solat kita jaga, biasanya zakat pelengkap tiang agama.

Jaminan zakat, sedekah dan infaq menjadikan hati kita lapang. Hati yang dahulunya dibelit sifat sombong, angkuh, ego dan sifat mazmumah lain dibasmi dengan menjaga hak Allah.

Maka, kita sedar dan insaf bahawa harta selamanya di tangan, bukan letak di hati.

Harta yang sedikit dikongsi. Harta yang banyak, mudah diagih-agihkan. Sebolehnya kita mahu setiap harta yang diperolehi, dimanfaatkan demi agama, bangsa dan negara.

Pernahkah kita dengar ada manusia ditimpa fakir miskin, hina dina dan muflis gara-gara menjaga zakat, sedekah dan infaq?

3-Luruskan Niat

Ikhlas adalah urusan hati. Hati ini adakala sihat dan sakit. Menyedari ikhlas bukan urusan mudah, mengadulah semahu-mahunya kepada pemilik langit, bumi dan seisinya.

Akui kelemahan hamba Allah, pujuk hati dengan projek iman.

Bisnes yang berkat biasanya untung. Namun, bisnes yang untung belum tentu berkat. Jom jadikan para sahabat Rasulullah sebagai ikutan sepenuh masa!

Kalau bukan kita yang mulakannya, siapa lagi?

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Qalam Ardini.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)