,

Islam Bukan Sekadar Keghairahan Beribadah Di Atas Tikar Sembahyang

Membangunkan kemanusiaan adalah aspek yang sangat dititikberatkan oleh Islam kerana dari situlah lahirnya masyarakat dan tamadun yang hebat dan unggul.

Juga, agama Islam itu membawa nilai-nilai kemasyarakatan yang cukup bererti untuk memberi harapan terciptanya masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera.

Sayangnya, di sebalik kemurnian ajaran Islam itu, tingkat kesedaran masyarakat umat Islam itu sendiri masih rendah.

Rata-rata umat Islam kini kurang peka dengan perkembangan nilai-nilai yang seharusnya dimiliki dalam membina kemanusiaan seperti persaudaraan, keadilan, keprihatinan dan kasih sayang sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

Sedangkan pembuka kata daripada kitab al-Quran itu sendiri berupa penampilan sifat Tuhan ar-Rahman ar-Rahim, (Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang); iaitu sifat-sifat yang membawa makna betapa besarnya perhatian dan keprihatinan Tuhan terhadap manusia dan segala permasalahan dan keperluannya.

Maka atas sifat keTuhanan yang sedemikian itulah, lalu Allah mengutus para rasul sebagai penyelamat manusia daripada bencana kesesatan dan penderitaan.

Lanjutan daripada itu jugalah maka tujuan para rasul diutus ke dunia ini tidak cuma bersifat kerohanian semata-mata, tetapi juga bersifat kemasyarakatan.

Atas sifat Keadilan dan Kasih SayangNya, maka Allah mengutus Nabi Muhammad yang membawa ajaran tauhid dan sekaligus membebaskan manusia daripada cengkaman cara hidup dan budaya jahiliah yang zalim dan tidak berakhlak.

Begitu juga perutusan Nabi Musa a.s yang mengajak manusia menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan sekaligus membebaskan kaum Bani Israil daripada derita penindasan Firaun.

Nabi Musa a.s telah meninggalkan istana dan segala kemewahannya kerana keprihatinannya yang tinggi kepada masyarakat dan jiwa kemanusiaannya yang peka dan rasa terpanggil untuk membela kaumnya yang tertindas.

Tidak terkecuali kita di Malaysia yang saban minggu mimbar-mimbar Jumaat tidak pernah lupa mengingatkan umat dengan ayat innallaha ya’muru bil’adli wal-ihsan (sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar berlaku adil dan membuat kebaikan).

Peringatan dari mimbar ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran, keprihatinan dan kepedulian umat terhadap masalah-masalah masyarakat yang wujud hari ini seperti ketidakadilan, kemiskinan, rasuah, keruntuhan akhlak, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Sebenarnya masih banyak kelemahan lain yang terlonggok pada umat ini, tetapi antara yang ingin diketengahkan ialah gersangnya rasa peka terhadap permasalahan masyarakat.

Ini jelas memperlihatkan bahawa aspek kemasyarakatan ajaran Islam itu sendiri ternyata telah tidak dihayati sebagaimana semestinya.

Walaupun Islam pada hakikatnya adalah merupakan ad-Din, cara hidup yang serba lengkap (syumul), namun penghayatannya masih banyak menumpu pada aspek ‘ritual’ atau kerohanian sahaja.

Seolah-olahnya tanggungjawab kemasyarakatan seperti telah dipisahkan daripada agama.

Seringkali umat Islam berasa tanggungjawab keagamaannya sudah selesai dengan melaksanakan rukun Islam yang lima.

Pengabaian terhadap tanggungjawab masyarakat tidak dirasakan sebagai pengabaian terhadap tanggungjawab keagamaan.

Sedangkan al-Qur’an dengan jelas menyebut ketidak pedulian terhadap nasib golongan miskin yang terlantar dan terbiar adalah merupakan pendustaan terhadap agama.

Hakikat inilah yang ditegaskan oleh al Quran dalam surah al Ma`un, “Tidakkah kamu melihat orang yang mendustakan agama? Iaitu orang yang mengabaikan anak yatim dan tidak memberi makan kepada orang miskin.”

Inilah yang menghairankan kita bagaimana orang Islam boleh hilang kepekaannya terhadap masalah-masalah kemanusiaan sedangkan agamanya sendiri menuntut supaya berlaku adil walaupun kepada seekor binatang.

Ini memperkukuhkan lagi pandangan bahawa umat Islam kini tidak begitu pandai dalam meletakkan urutan keutamaan dalam menyusun kehidupan mereka, walaupun dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan keagamaannya.

Akibatnya banyak hal-hal yang penting dan mendesak telah diabaikan kerana mengutamakan hal-hal yang pada hakikatnya kurang penting.

Sebagai contoh, jutaan umat Islam mengerjakan ibadat umrah sunat setiap tahun, dan tidak kurang juga yang mengerjakan ibadat haji berkali-kali banyaknya.

Di mana pembiayaan dari ibadah sunat yang berulang kali ini tentu mencecah jutaan ringgit.

Memang kita digalakkan untuk mencari jalan mendekati Allah dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang tertentu, namun andai kata pembiayaan yang berjuta-juta ringgit ini disalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan seperti menyelamatkan mangsa-mangsa kebuluran atau malapetaka, atau mewujudkan pusat-pusat penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam, maka pastinya itu lebih bermakna dan menjadi kepentingan yang lebih diutamakan.

Tetapi malangnya keadaan ini tidak berlaku dalam amalan harian umat masa kini, dan inilah yang dinamakan sebagai gejala kehilangan fiqhu `l-awlawiyyat (fiqh urutan keutamaan).

Apa yang lebih memeranjatkan kita pada hari ini ialah di saat timbulnya sekelumit harapan dengan kebangkitan Islam kebelakangan ini, pada masa yang sama kita dikecewakan pula oleh gejala kelembapan umat dalam menangani masalah-masalah kemasyarakatan sehingga hal-hal seperti buta huruf, kemiskinan, kebuluran, dan pelbagai wabak penyakit terus mewarnai kehidupan sebilangan besar dari kalangan umat Islam.

Apa yang difahami sebagai kebangkitan Islam itu masih berada di takuk keghairahan untuk beribadat dalam erti kata yang sempit, dan masih belum dapat dijelmakan secara lebih nyata dalam bentuk peningkatan kesungguhan untuk memperbaiki tahap hidup masyarakat Islam.

Kebangkitan Islam yang kita inginkan bukan hanya terbatas kepada keghairahan untuk beribadah dan berada di atas tikar sembahyang semata-mata, tetapi harus juga mampu menampilkan satu dorongan yang berupaya melonjakkan kekuatan umat ini pada tahap yang sesuai dengan jolokan ummah terbaik (khairun ummah) yang telah diberikan oleh al Quran.

Jika ini mampu ditampilkan menerusi kesedaran dan kepekaan masyarakat Islam menerusi kebangkitan ini, maka tidak mustahil kuasa Islam yang terbentuk bukan hanya dapat melahirkan masyarakat Islam yang mantap tetapi juga ummah yang berupaya untuk menentukan percaturan siasah dunia, kerana Islam itu adalah risalah sejagat yang menjanjikan keadilan dan pembebasan serta kemuliaan demi kesejahteraan alam seluruhnya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.