,

Ikhlas Mendekati Al-Quran

Al-Quran ialah buku panduan untuk kita manusia yang masih hidup. Rugi jika kita baca hanya untuk yang telah meninggal dunia.

Selagi hidup, sibuk manapun kita, ambillah masa untuk membaca al-Quran.

Tidak susah, asal sahaja kita berusaha, kerana membaca al-Quran, banyak manfaatnya.

Berikut, saya kongsikan antara bacaan saya melalui Majalah Jom dan Solusi tentang cara ikhlas dan manfaat membaca al-Quran.

7 cara hidup dengan al-Quran

– Cinta. Jika kita cinta, kita akan menurut perintah-Nya. Bacalah berulang kali, supaya kita tidak lupa.

– Baca. Sekiranya belum berkemampuan baca al-Quran, berusahalah untuk mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.

– Belajar Tajwid. Perlu baca dulu supaya ada rasa cinta, kemudian belajarlah hukum tajwid.

– Faham makna. Hadirkan rasa ayat al-Quran ditujukan pada diri kita, bukan orang lain.

– Praktik. Perlu berjihad lawan hawa nafsu untuk berjaya mempraktikkan kandungan al-Quran secara beransur-ansur. Fahami isi al-Quran.

– Sampaikan. Langkah seterusnya sampaikan kepada keluarga dan ahli masyarakat.

Nabi bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

– Pertahankan. Antara yang kita boleh buat adalah memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap salah faham dan tuduhan palsu terhadap al-Quran di media sosial.

Kelebihan membaca al-Quran:

– 1 Huruf 1 Pahala

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah, maka dia mendapat satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali ganda. Aku tidak maksudkan bahawa ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ juga satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

– Al-Quran pemberi syafaat di akhirat

“Bacalah al-Quran, kerana al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis riwayat Muslim)

– Baca tergagap pun dapat dua kali ganda pahala (lihat, betapa pemurahnya Allah)

“Orang yang membaca al-Quran dan mahir dengan bacaannya, maka dia akan bersama para malaikat. Dan orang yang membaca al-Quran dengan tersangkut-sangkut, dia berasa susah sekali untuk membacanya, maka dia dapat memperoleh dua pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

8 cara ikhlas mendekati al-Quran

– Betulkan niat. Niatkan kerana mahu mendapat petunjuk Allah.

– Jangan membaca sebab rasa seronok sahaja, perlu memahami makna dan mesejnya juga.

– Jangan rapat dengan al-Quran hanya untuk mendapat sokongan atau memenangkan pandangan sendiri.

– Jangan gunakan untuk kepentingan diri dan populariti.

– Tidak dihalang untuk gunakan sebagai ubat fizikal atau emosi, namun jangan hanya itu niat kita. Nanti hanya itu kita akan dapat, rugi!

– Membesarkan jiwa dengan benar-benar mahu mendapat ganjaran dan kefahaman jika mengamalkan al-Quran.

– Memanfaatkan masa dengan ayat al-Quran, letakkan kehendak yang kuat untuk mendekatkan diri dengan Allah, jadikan motivasi.

– Akhir sekali, fokus dan niat kita biarlah kerana mahu mendapat redha Allah.

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambanya.” (Surah al-Baqarah ayat 207)

Tak susah untuk khatam al-Quran. Mulakan baca lima muka surat sehari misalnya. Tak mengapa jika baca sedikit-sedikit dahulu asalkan masih membaca al-Quran.

Sama-samalah kita berusaha untuk hidupkan al-Quran dalam diri. Al-Quran perlu diamalkan supaya kita tidak terlihat sebagai jasad yang kaku dan mati.

Moga dipermudahkan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.