,

Menutup Pintu-pintu Maksiat

Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah orang yang bertaubat. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita. Cuma yang kita perlukan adalah keinginan dan usaha ke arahnya.

Berikut saya kongsikan tips menutup pintu maksiat tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl ayat 119)

– Ikhlas dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah

Jika kita benar cinta, kita tidak akan meninggalkan mereka yang kita kasihi. Jika kita benar mencintai Allah, kita tidak akan pernah mahu menjauhi dan meninggalkan segala suruhan-Nya.  

Ikhlas ini penting, kerana hati yang bersih dan terisi dengan ibadah, akan sukar membuatkan maksiat menghampiri.

– Mujahadah (bersungguh-sungguh)

Nafsu adalah hamba Allah yang boleh ditundukkan. Mengawal nafsu bermaksud melepaskan diri daripada diperhambakan oleh hawa nafsu.

Mengawalnya adalah tugas kita setiap hari. Pasti ada keberkatan dan kebaikan jika kita bersungguh-sungguh dalam usaha ini.

– Banyak mengingati akhirat

Jangan terlalu banyak berangan. Letakkan dunia hanya di tangan, akhirat letakkan di hati. Serta bersedialah untuk menerima hakikat bahawa hidup dan nyawa kita akan ada penghujungnya.

– Sibuk dengan hal bermanfaat

Isilah dengan aktiviti berfaedah supaya tiada peluang hal-hal maksiat hadir dalam hidup kita.

– Menjauhi punca kembali semula kepada maksiat

Jauhilah selagi boleh punca maksiat, di internet misalnya. Biar dalam kawalan.

– Menundukkan pandangan

Hati-hati. Kerana sesuatu daripada mata boleh turun ke hati.

– Bergaul dengan orang baik.

Cari kawan yang membimbing.

– Banyakkan berdoa

Berdoa agar berkesempatan untuk bertaubat nasuha. Digalakkan memilih waktu mustajab doa.

Tidak terlambat lagi untuk bertaubat, sesungguhnya Allah suka akan hamba-Nya yang bertaubat.

Moga kita semua terus istiqamah dan sentiasa diberi kekuatan. Insya-Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.