Kenapa kita perlu menyayangi masjid?
Kerana selain mendapat naungan Allah pada hari kiamat, Rasulullah SAW juga memerintahkan kita supaya mendatangi masjid.
Menyayangi masjid bermaksud menyayangi Allah dan Rasulnya. Kita juga, jika boleh, persiapkanlah anak kecil ke masjid, supaya sejak awal tertanam rasa cinta terhadap masjid dan mengagungkan Allah.
Di sini saya kongsikan melalui majalah Gen-Q, al-Ustaz dan Solusi tentang kelebihan menyayangi masjid.
Persiapkan diri ke masjid:
– Ikhlas kerana Allah
– Berjalan dengan tenang
– Memakai pakaian terbaik
– Mulut bersih
“Kalau aku tidak bimbang akan menyusahkan umatku,nerscaya aku arahkan mereka menggosok gigi setiap kali hendak solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
– Mengenakan wangian
– Badan bersih dan segar
(Tambahan untuk lelaki):
– Rambut tersikat kemas
– Janggut dan misai dirapi
Adab bertamu di rumah Allah
– Bersegerakan persiapkan diri
– Berdoa keluar rumah. Bacalah doa keluar rumah.
Sabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang hendak keluar rumah lalu berdoa:
بِسْمِ اللَّهِ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه
Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bergantung harapan kepada-Nya dan tidak ada daya dan kekuatan selain dengan Allah semata.”
Maka diseru kepadanya,”Cukuplah kamu,terlindunglah kamu. Dan syaitan membiarkannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
– Masuk ke masjid dengan kaki kanan dan berdoa.
“Jika sesiapa hendak masuk masjid, berdoalah:
اَللّهُمَّ افْتَحْ لِيْ اَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu”. (Hadis riwayat Muslim)
– Tidak gopoh ketika di masjid. Bersegera bukan bermaksud tergopoh-gapah. Perlu bertenang dalam menunaikan ibadah.
– Solat dua rakaat sebelum duduk. Sunnah.
– Merasakan masjid itu besar di hati. Masjid itu rumah Allah, raja segala raja. Mengagungkan syiar Islam adalah tanda ketakwaan. Jaga juga kebersihan.
– Tidak bercakap hal tiada kaitan. Jangan buat perkara sia-sia. Masjid tempat mengingati akhirat dan beribadah.
– Tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah. Fokus dan belajarlah hormat-menghormati.
– Keluar ke masjid dengan mendahului kaki kiri dan berdoa.
Rasulullah SAW bersabda: “Dan apabila keluar, berdoalah:
اَللّهُمَّ اِنِّيْ أسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ.
“Allahumma innii as-aluka min fadhlika”.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kurniaan-Mu”.
(Hadis riwayat Muslim)
Muslimah ke masjid? Ini tips untuk muslimah supaya berpahala ke masjid:
– Meminta izin daripada mahram / suami.
– Tidak menimbulkan fitnah
– Menutup aurat secara lengkap
– Tidak memakai pakaian yang menarik perhatian
– Tidak memakai wangian yang ketara baunya. Sekadar menutup bau badan tidak mengapa.
– Tidak bercampur gaul dengan lelaki
– Perjalanan ke masjid bebas daripada kemungkinan yang tidak baik
Kelebihan menyayangi masjid
– Mendapat ganjaran yang besar (pahala bertambah dan ketenangan jiwa). Namun ganjaran hanya akan diperolehi oleh mereka yang ikhlas.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi pada waktu pagi atau petang ke masjid, Allah akan sediakan untuknya tempat di syurga setiap kali dia pergi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
– Tempat zikrullah, solat dan membaca al-Quran. Inilah tujuan utama pembinaan masjid. Masjid adalah sebaik-baik tempat untuk dikunjungi.
– Kelebihan solat fardu berjemaah di masjid
Rasulullah SAW memberitahu: “Sesiapa yang berwuduk untuk melaksanakan solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya. Kemudian dia berjalan untuk menunaikan solat fardu, lalu dia solat bersama orang lain iaitu bersama jemaah di masjid, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Solat berjemaah itu 27 kali ganda lebih baik berbanding solat bersendirian.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
– Kelebihan membaca dan mempelajari al-Quran
Rasulullah SAW menyatakan: “Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca kitabullah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun ketenteraman kepada mereka. Rahmat akan menyelimuti mereka, para malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)
Akhirnya, jadikanlah masjidku, rumahku dan jika tidak ke masjid sekalipun, jangan jadikan rumah seperti kubur! Jagalah solat dan sentiasalah membaca al-Quran.
Nabi SAW mengingatkan, “Jadikan rumah kamu tempat solat, jangan jadikan kubur,” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Baginda SAW juga telah mengingatkan, “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu bak perkuburan. Sesungguhnya syaitan menjauhi rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis riwayat Muslim)
Selamat menjadi pencinta masjid! Moga kita semua mendapat keredaan Allah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.