,

Hidup Ini Umpama Roda

“Abang, betul ke abang nak berhenti kerja. Macamana kehidupan kita nanti,” tanya isteri kepada saya. 

“Sayang, abang ambil keputusan ini adalah untuk masa depan kita juga. Lagipun ‘syarikat’ yang abang akan ‘uruskan’ ini adalah ‘syarikat’ yang telah diamanahkan oleh ‘partner’ abang kepada abang. Abang akan ‘bangunkannya’ hingga berjaya. Apabila dah ‘berjaya’, satu hari nanti abang serah balik pada ‘partner’ tersebut. InsyaAllah, pasti ada rezeki di sebalik keputusan abang ni.” Kata saya dengan penuh bersemangat.

Bila sebut sahaja ‘berniaga’, apakah yang terbayang di dalam fikiran anda?

Berniaga nak untung? Berniaga nak kaya? Berniaga nak senang? Atau apa?

Pernahkah anda terbayang bagaimana anda memulakan perniagaan dari ‘zero’ hingga membawa kepada kejayaan?

Dan, pernahkah anda terbayang bahawa suatu hari nanti ‘rakan kongsi’ anda mengkhianati hubungan persahabatan yang telah lama terjalin hanya kerana ‘kerasukan wang’?

Pastinya ada yang pernah melalui saat-saat getir ketika melakukan perniagaan secara rakan kongsi.

Selama 8 tahun persahabatan kami di dalam dunia perniagaan, pelbagai ranjau ditempuhi. Dapat pelbagai ‘job’, namun diuji dengan ‘kurangnya kemampuan kewangan’.

Bila ‘job’ dah selesai, ujian seterusnya pula adalah ‘pengurusan kewangan syarikat’. Apabila dua kepala mengemudi pengurusan kewangan syarikat, maka terhasillah dua keputusan yang mungkin sedikit berbeza.

Seorang mengatakan “kita dah dapat RM 10,000 ni, maka kita terus bahagi gaji kita berdua.” 

Seorang lagi pula mengatakan, “Kita buat kiraan dahulu. Kos operasi, kos-kos lain, pembayaran zakat, pembayaran petugas (jika ada) kemudian baharulah gaji kita.”

Begitulah gelagat mereka berdua bila ada rezeki telah masuk ke dalam akaun syarikat.

Lama kelamaan, prestasi kewangan syarikat pun jadi tak sihat. ‘Job’ yang selama ini dijalankan secara bersama akhirnya dijalankan sendiri oleh rakan kongsi tersebut.

Rakan kongsi yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal pentadbiran syarikat (kewangan) akhirnya malas nak ‘berperang whatsap’ dengan rakan kongsinya.

Dan, akhirnya rakan kongsi yang membantu menguruskan syarikat tersebut ‘melepaskan jawatannya’ dan keluar daripada syarikat itu.  Gara-gara ‘perangai rakan kongsi yang rakus dengan wang’.   

“Aaah, kami disihir orang!” “Dia sibuk dengan hal dia”. “Anaknya kurang sihat”.” Dia tak buat apa-apa pun untuk syarikat. Jadi, buat apa nak bayar dia. Dia dah tak ada dalam syarikat ini,” jawab rakan kongsi tersebut bila ditanya kemana rakan kongsinya yang lagi seorang terus menyepi dan menyepi.

Maka, apa yang berlaku pada rakan kongsi yang keluar dari syarikat tersebut? Bagaimana nasibnya yang satu ketika dahulu amat rapat dengan ‘partnernya’? Nasibnya bagaimana?

Nasibnya boleh diumpamakan sebagai roda. 8 tahun dahulu dia berada di putaran roda atas. Mengecapi pelbagai nikmat daripada hasil projek yang diusahakan secara bersama.

Namun, tatkala itu hatinya merasa gundah-gulana. Projek banyak masuk. Duit cepat habis. Boleh dibilang dengan jari jemari berapa kerap membayar zakat. Banyak hasil masuk untuk mengisi ‘tembolok sendiri’. Allahu akhbar.

Allah sentap jiwa bekas rakan kongsinya itu dengan sentapan yang amat dahsyat. Menyedarkan bahawa setiap sen daripada hasil perniagaan yang diperoleh itu ada haknya pada orang lain.

Kadang-kadang hak orang lain ditunaikan secara culas. Saat dan ketika ini bekas rakan kongsinya itu sedang menjalani dua hari yang amat besar buat dirinya.

Hari itu dipanggil sebagai ‘YAUMUL MIHNAH (Musibah)’ dan ‘YAUMUL MINHAH (Anugerah).

Musibah di sebalik ‘terlalu percaya pada rakan kongsi’ perniagaan. Musibah kerana tersangat percaya dengan apa sahaja yang dikatakan oleh rakan kongsinya. Musibah kerana meminggirkan rakan-rakan lain daripada kehidupannya. Musibah ini sedang dilalui oleh diri beliau.

Benar dan amat benar apa yang Allah ungkapkan di dalam ayat 5, surah Ibrahim. Bagi orang yang sedang melalui ‘yaumul mihnah’, maka formula untuk menghadapinya adalah dengan kesabaran.

Di sebalik kesabaran itulah, maka dengan kekuasaan dan keagungan Ilahi, ianya diganti dengan ‘yaumul minhah (anugerah).

Allah sedang memberikan anugerahnya kepada bekas rakan kongsi tersebut dengan anugerah ilmu yang tidak ternilai. Anugerah ilmu yang semakin ditelan zaman.

Anugerah ketenangan yang sudah tidak dirasai 8 tahun lepas bila bersama dengan rakan kongsi tersebut. Kesyukuran dan terima kasih Allah atas anugerah ini.

Kepada bekas rakan kongsi tersebut, aku maafkan kamu kerana kamu adalah orang yang paling tua dan aku harus hormatimu.

Coretan ini bukan untuk mengaibkan dirimu. Malah menyedarkan kamu bahawa ‘erti persahabatan itu lebih tinggi berbanding wang ringgit’.  

Ingatlah, bahawa hidup ini umpama roda. Jika dirimu sekarang merasa senang dengan hasil yang diterima, maka ingatlah!

Tunaikan segala hak-hak orang disekelilingmu sebelum masa musibah sampai kepadamu. Terima kasih kerana pernah menjadi sahabatku.

FORMULA PENTING UNTUK MENJADI RAKAN KONGSI SEBUAH PERNIAGAAN :-

(1) Apabila anda mula jujur kepada diri anda, maka pastinya hubungan perniagaan anda dengan rakan kongsi anda berjalan dengan penuh kejujuran.

(2) Jangan percaya 200% apa yang diperkatakan oleh rakan kongsi anda.

(3) Pastikan zakat perniagaan dibayar. Jika tak bayar, apa jadi? Syarikat nampak gah secara fizikalnya sahaja. Dalamannya bagaimana?

*Artikel ini ditulis atas kesedaran penulis bahawa di dalam dunia perniagaan ianya tidak mengenal siapa walaupun ianya adalah sahabat baik. Namun, perhubungan silaturrahim boleh terputus kerana ‘kerakusan diri terhadap hasil yang diperoleh’. Wang tidak mengenal sahabat atau sahabat. Wang hanya kenal erti melunaskan keperluan & hajat diri sahaja tanpa memikirkan soal ‘silaturrahim’. Wallahu’alam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd Mustaqiim Asmuji. Beliau merupakan seorang pakar klinikal psikoterapis dan pengasas NLP & Hypnotherapy Center. Berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan minda dan emosi melalui terapi psikologi NLP & Hipnoterapi.

Berdaftar secara sah di bawah Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Traditional & Complementery Medicine). Beliau boleh dihubungi melalui talian +6019-2044036.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 60.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 40.000000%