,

Adakah Kita Lebih Pintar Daripada Telefon Pintar?

Slogan syarikat Apple Inc. “The only thing that’s changed is everything” semasa pelancaran telefon pintar iPhone 6S dan iPhone 6S Plus, perlu direnungi sedalam-dalamnya.

Bukan kerana teknologi dan inovasi yang dibawa oleh telefon pintar ini, tetapi fenomena kegilaan dunia terhadap peranti pintar.

Apa yang berlaku ialah pembeli sanggup beratur panjang dan ‘berkhemah’ beberapa hari di jalanan luar gedung jualan Apple sebelum hari peranti pintar tersebut tiba di gedung jualan.

Kegilaan terhadap telefon pintar bukan sahaja terhenti di situ, tetapi peranti pintar kini sukar untuk dipisahkan dari kehidupan seharian. Lebih teruk lagi, peranti pintar mampu menghilangkan kewarasan penggunanya sehingga aspek keselamatan tergadai dan nilai manusiawi menjadi pertaruhan.

Lihatlah betapa besarnya pengaruh peranti pintar. Fenomena ini bukan sekadar mengubah tabiat dan tingkahlaku malah memberi ancaman kesihatan dan keselamatan.

Beberapa jenis penyakit dilaporkan berpunca daripada perhubungan intim antara pengguna dan peranti pintarnya.

Penyakit terbaru yang diberi nama nomophobia (no-mobile-phobia: kegelisahan ketika terpisah dari peranti pintar) merupakan penyakit yang sedang menular dengan rancaknya di kalangan pengguna di pelbagai peringkat umur.

Maknanya, jika kita menoleh ke kiri atau kanan kita, kemungkinan besar, orang yang berada di sekeliling kita sama ada di rumah, pejabat atau kalangan masyarakat setempat juga mengalami simptom penyakit ini.

Rentetan sejarah hidup juga telah berubah. Kalau dulunya fenomena kecelaruan adab dan kerosakan akhlak melibatkan aktiviti melayari laman maya terlarang umpamanya, kini melangkaui ancaman fitnah media siber.

Fitnah di sini bukan hanya bermaksud menyampaikan sesuatu tidak benar tentang seseorang, tetapi melibat segala bentuk ujian dari media maya seperti pelanggaran hak dan privasi, pengabaian tanggungjawab, kecuaian, kelekaan terlampau, hilang tumpuan dan berpuluh jenis lagi yang kita sendiri pintar menyebutkannya.

Sekali lagi, jika diamati, kita dapat lihat pengguna yang fana dengan peranti pintarnya mengabaikan kerja tugas dan tanggungjawab di rumah, pejabat dan masyarakat.

Nilai-nilai akhlaki seperti amanah, menjaga maruah, hormat-menghormati, bertanggungjawab, menyeru kepada makruf dan mencegah munkar makin kikis kontang daripada manusiawi.

Kebanyakan aplikasi media sosial dan permainan mempunyai ciri khusus. Ada sesetengah permainan mempertaruhkan habuan melihat gambar/video lucah apabila mencapai tahap-tahap tertentu.

Anasir ini sangat berbahaya terutama terhadap pelajar sekolah dan remaja yang mendapat kemudahan peranti pintar daripada ibubapa yang kurang memantau.

Inilah ciri-ciri perisian dan pengaturcaraan yang hebat sehingga mampu mencorakkan bukan sekadar aplikasi tersebut tetapi pengguna yang berinteraksi dengannya.

Perisian dan bahasa pengaturcaraan Al-Quran terus terbiar tidak diletakkan di platform operasi yang sebenar.

Sekali lagi pandangan hidup yang betul dan prinsip manusiawi tidak boleh diabaikan walaupun pintar mana peranti yang kita gunakan. Punca kegilaan ini adalah kerana pandangan hidup kita telah tercemar.

Dengan semangat mengajak pengguna sekurang-kurangnya balik kepada naluri fikir yang asas iaitu ‘common sense’ (yakni berhenti memperbodohkan akal yang Allah berikan dengan tidak menggunakannya langsung) sehinggalah kepada menerapkan nilai-nilai Islami yang luhur seperti menggunakan peranti pintar untuk tujuan asal manusia iaitu ta’abbud, jihad diri, istiqamah di jalan Allah dan memanfaatkan peranti pintar untuk ummah.

Peranan kita sebagai manusia tetap sama seperti sebelum peranti pintar lahir ke dunia ini.

Saat peranti pintar mencapai mumayyiz dan baligh sehingga perkembangan peranti pintar kini menjadi matang, peranan kita tetap sama.

Bagi mengukuhkan peranan sebagai khalifah, manusia perlukan kewarasan yang tinggi selari dengan tuntutan wahyu. Imam Ghazali pernah menukilkan bahawa akal adalah wahyu dari dalam, manakala wahyu adalah akal dari luar.

Jangan putuskan hubungan kita dengan wahyu dengan menghilangkan kewarasan akal. Jangan biarkan slogan “The only thing that’s changed is everything” mengubah sistem aqidah, prinsip muamalah dan nilai akhlak manusia.

InsyaAllah, belum ada qariah masjid mana-manapun di Malaysia atau di seluruh dunia mengebumikan mayat orang Islam dengan peranti pintarnya.

Oleh itu, selain daripada menggunakan peranti pintar dengan waras dan pintar, bersedialah berpisah dengan peranti pintar kita sebelum peranti pintar kita dipisahkan daripada kita. Berbekallah, sebaik-baik bekalan adalah taqwa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini