Cinta. Apa itu cinta? Cintakan bunga, bunga kan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati.
Tetapi cinta akan Allah, Allah sentiasa ada dengan kita. Ada juga pepatah orang melayu, “Cinta itu boleh diumpamakan bagai makan sambal belacan, kalau pedas hingga mengalir air mata, tapi tetap dimakan jua”.
Itulah fahaman cinta daripada orang yang berpengalaman atau contoh drama melayu yang ending drama semestinya bahagia, gembira. Itu drama lah kawan, macam mana pula dengan kenyataan?
Hiduplah kita di alam realiti, bukannya alam fantasi.
Definisi cinta mempunyai pelbagai versi. Bagi Fatayatus Sa’idah, menyentuh bab cinta ini sangat berkaitan dengan kes-kes yang dirujuk di bawah Unit Hal Ehwal Islam. Istilah cinta zaman sekarang lebih kepada sentuhan bukannya tanggunggjawab.
Ada kes, baru kenal 2 hari di WeChat, terus berjanji keluar berdua-duaan tanpa kawalan daripada ahli keluarga. Selesai berjalan, penat agaknya, si lelaki mengajak bermalam di sebuah hotel bajet sekitar tempat mereka berjimba bersama dari pagi sehingga ke lewat malam.
Sehinggalah terjadinya sebuah pertalian cinta yang akhirnya membuahkan hasil selepas 9 bulan 10 hari tanpa ada ungkapan bahawa si lelaki itu akan bertanggungjawab dan dalam masa yang sama, si lelaki itu menerima cadangan ibunya untuk dikahwinkan dengan pilihan orang tuanya tanpa sebarang penolakan dari si lelaki.
Adilkah buat si perempuan yang perit menanggung segalanya tanpa orang yang dia cintai selama ini? Cinta apa yang diperjuangkan mereka? Di mana sifat perikemanusiaan lelaki itu?
Apabila Fatayatus Sa’idah duduk bersendirian, kenangan lama sering menyapa. Seingatnya tentang pertanyaan sahabat sebilik di universiti, semasa tahun pertama pengajian.
“Hampa (dia orang Penang) rasa cinta tu macam mana? Kami tak pandai la bab-bab cinta ini.” Soal Nur tak ubah seperti anak kecil bertanya kepada si ibunya.
“Haa, apa? Cinta? Amboi awat hampa dok tanya pasai cinta ni, ada apa-apa ka? (ni pun orang utagha).” Fatayatus Sa’idah sengaja mengusik manja Nur sambil ketawa kecil.
“Dak aih, kami tak pernah bercinta. Haritu ada la seorang kawan lelaki kami masa kat matrik dulu chat kat facebook nak berkawan dengan kami. Kami suka gak dekat dia masa belajaq dulu. Tapi dulu la. Hampa rasa macam mana? Nak berkawan dengan dia ka? Sebab dia kata nak kawan lebih daripada seorang kawan. Kami tak faham la.” Terang Nur kepada Fatayatus Sa’idah.
“Oooo.. besalah lelaki, Nur. Kadang saja ja nak uji kita ni. Dia tau hampa jenis baik, jenis tak bercinta. Dia saja la tu nak uji. Kalau betoila dia nak kawan dengan hampa atau nak jadikan hampa istimewa, mesti dia ada usaha dari dulu lagi, ni tiba-tiba ja. Kami rasa, abaikan dulu. Tak payah layan sangat. Kawan macam besa ja. La ni hampa fokus betoi-betoi study ni. Kita kan baru ja daftar masuk, tahun pertama, sem pertama pulak tu. Panjang lagi masa.”
“Tula kan. Kami ni tak pandai bab-bab ni, tu tanya hampa. Hampa kan pandai pasai cinta-cinta ni. Haha. Terima kasih na hampa dok dengaq pasai masalah kami.”
“Amboi, kata kat oqang no. Kami pun banyak benda lagi kena perbaiki. Yang mana rasa tak berfaedah, atau nampak macam meragukan, cepat-cepat kita cari jalan keluaq na Nur. Apa-apa masalah, habaq tau.” Pesanan ringkas kepada sahabatnya.
Perbualan antara Fatayatus Sa’idah bersama sahabat sebiliknya dahulu, sentiasa terpahat menjadi kenangan manis.
Tersenyum dia sendirian. Barangkali rindu akan suasana belajar. Hanya Allah yang mengetahui sedalam mana rindu dia akan sahabat-sahabat seperjuangan dahulu.
Cepat sungguh masa berlalu. Fatayatus Sa’idah sudah tamat menjalani latihan industri di hospital tersebut. Berbekalkan pengalaman serta nasihat orang lama di hospital, dia melangkah keluar dengan harapan dan doa agar kes ‘ibu tanpa nikah’ tenggelam ditelan bumi.
Biarlah kalimah itu tidak akan wujud lagi di borang-borang temu bual, tidak ada lagi perbualan tentang ini di wad-wad bersalin. Doa itu senjata orang Muslim.
Sampai bila kita nak melihat sahabat-sahabat seagama kita terbiar tanpa ajaran dan bimbingan. Pernahkah kita terfikir, bagaimana jika kes ini berlarutan hingga kiamat?
Berapa ramai lagi menjadi mangsa pemuas nafsu durjana si lelaki yang tiada perikemanusiaan, membiarkan orang yang mencintainya separuh mati, menanggung segalanya tanpa sebarang berita darinya.
Sanggupkah kita melihat berapa ramai lagi anak-anak akan terbiar dan nasib mereka tidak sebaik anak yang lain. Berkemungkinan besar, keluarganya lari meninggalkan si kecil itu terkebil-kebil seorang diri di hadapan pintu masjid, di rumah orang, pusat kebajikan dan sebagainya. Doaku, moga Syurga buatmu ‘anak-anak tak sah taraf’.
Adik, hiduplah seperti kebiasaan anak yang lain, meskipun kau dipandang hina, diungkit kisah silam ibumu dan dibenci masyarakat setempat. Akan tiba suatu hari, di mana mereka semua akan lelah dan letih membencimu wahai anak Syurga.
Buatmu ‘ibu tanpa nikah’, hadirkanlah rasa kekesalan di hati meskipun status ini kau peroleh bukan dari kemahuanmu. Siapa sangka ini akan terjadi? Kuatnya magnet positif antara lelaki dan perempuan, di antara yang dua pasti akan ada yang ketiga.
Fahamilah secara mendalam, carilah hikmah sebaik mungkin. Jangan kau rasa Allah tidak akan menerima dirimu lagi. Allah Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat.
Carilah, galilah peluang dan masa yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah, menyembah diri pada Yang Maha Esa, bertaubat atas segala dosa dan noda yang dilakukan secara sedar atau tidak. Ketahuilah, bahawa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hambaNya.
Allah Maha Pengampun. Merintihlah pada Allah agar Allah menerima kita sebagai hambaNya yang sentiasa mengganggap bahawa Allah itu sentiasa ada, di mana sahaja.
Sudahlah kita menjadi penghukum bagi kesalahan orang lain. Satu jari kau tunjukkan pada orang lain, 4 jari lain menunjukkan kembali kepada dirimu diibaratkan, cerminlah diri sendiri dahulu sebelum menghukum orang lain.
Siapa sangka ‘abid (hamba) yang selama ini terusan membuat kebaikan, mati dalam keadaan kemaksiatan. Dan siapalah kita menentukan si ‘asi (pendosa), saat hidupnya dipenuhkan dengan segala kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah, akhir hidupnya bersujud memohon ampun dan taubat kepadaNya.
Jangan sombong dan takabbur mengangkat diri bahawa kita tiada dosa sehingga asyik menuding jari kepada orang lain tanpa rasa bersalah. Selalu meninggi diri seakan fir’aun yang asyik menganggap dirinya Tuhan, akhirnya terjelopok kaku menghadap Ilahi tanpa sempat bertaubat kepada Allah.
Hebatnya Allah menjadikan segala apa yang terjadi dengan sinaran hikmah yang baik dan memberi kesan kepada kehidupan yang lain. Ya, semua perkara terjadi terselit hikmahnya.
Ingatlah, hikmah itu indah. Hikmah itu hanya datang daripada Allah melalui perantaraan orang sekeliling kita. “Jom, dekatkan diri kepada Allah”.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.