,

Cerpen: Jiwa Kau Yang Dah Lama Hilang

Zaman memusatkan mata ke arah skrin komputer ribanya. Seperti yang dijangka, Zaman sekali lagi berjaya mendapat keputusan yang cemerlang untuk kertas peperiksaan pertengahan semester. Malah, Zaman juga seringkali mendapat dekan dengan pointer yang tinggi setiap semester.

Tangannya laju mencapai telefon bimbit. “Adam, malam ni keluar jom. Makan-makan, jalan-jalan. Nak celebrate result gempak.” Suara Zaman kedengaran di segenap ruang bilik hostelnya.

Malam itu hampir seluruh bandar dijelajah Zaman dan rakan-rakannya. Jam tangan dibelek. Jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Mereka memilih untuk tidur di dalam kereta malam itu sambil menunggu pagi kerana pelajar-pelajar tidak dibenarkan masuk ke kawasan universiti melebihi jam 3 pagi atau mereka akan dikenakan denda.

Sedang nyenyak tidur di tempat duduk pemandu, tiba-tiba Zaman merasakan udara dingin menyapa tubuhnya. Mata dibuka perlahan-lahan. Rakan-rakannya yang lain masih lagi tidur.

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Setelah mengejutkan rakan-rakannya yang lain, Zaman menghidupkan enjin kereta dan memacu keretanya laju. Tiba-tiba, “Bummpppppppp!…” Kakinya cepat-cepat memijak pedal brek.

“Weh Zaman, kau langgar apa tadi?” Tanya Aidil dari tempat duduk penumpang belakang.

“Aku tak tahu.”

Zaman cepat-cepat keluar dari kereta untuk melihat andai dia telah melanggar apa-apa. Sekitar kereta dilihat, namun tiada apa yang ditemui. Sekali lagi Zaman merasa angin dingin meniup ke tubuhnya. Dia sedikit menggigil kesejukan.

Tanpa berlengah dia segera kembali masuk ke dalam kereta. Sedikit rasa pelik menerjah ke sanubarinya. Brek tangan dilepaskan dan Zaman meneruskan pemanduannya kembali ke universiti.

Keesokan harinya selepas kelas berakhir jam 5 petang, Zaman keluar ke taman untuk bersenam. Dia memulakan lariannya di sepanjang trek kawasan taman. Petang itu agak lengang mungkin kerana bukan hujung minggu.

Sedang Zaman mencapai earphone yang berada di dalam poket seluarnya untuk dipasang ke telinga, tiba-tiba dia melanggar seseorang yang sedang berlari bertentangan arah darinya. “Maaf, saya tak nampak ada orang di hadapan tadi.”

Zaman mengeluarkan kata-kata apabila melihat lelaki itu memegang bahunya. Sakit mungkin kerana berlanggar dengannya tadi. “Eh tak apa, sikit je ni.” Lelaki itu tersenyum.

“Zaman…” Zaman menghulurkan tangannya ke arah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. “Jiwa…” Lelaki itu menyambut huluran tangan Zaman.

Zaman rasa selesa dengan perwatakan lelaki itu kerana dia tidak henti tersenyum sejak mereka berlanggar bahu sebentar tadi. Petang itu, Zaman berlari bersama-sama Jiwa. Banyak perkara yang dibincangkan mereka.

Oleh kerana esok kebanyakan kelas dibatalkan, Zaman dan rakan-rakannya bermain game online hingga larut malam dan tanpa sedar dia telah terlelap di hadapan komputer ribanya.

“Zaman… bangun Zaman…” Zaman membuka matanya perlahan lahan. Berdiri satu tubuh di sisinya. “Kau siapa?” Zaman menggosok-gosok matanya.

Wajah lelaki yang berdiri di sisinya tidak dapat dilihat dengan jelas. “Aku Jiwa…” Suara lelaki itu kedengaran. Zaman mengerutkan dahinya.

“Jiwa? Macam mana kau boleh ada kat sini?” Zaman bangun perlahan-lahan dari tempat duduknya. Lelaki itu beredar meninggalkan Zaman.

“Kau siapa sebenarnya?” Zaman cuba mengejar lelaki itu yang sedang keluar dari biliknya. Langkah lelaki itu terhenti. “Aku Jiwa… jiwa kau yang dah lama hilang.”

Zaman tersentak. Kakinya kaku. Bibirnya kelu. Bayangan lelaki itu sedikit demi sedikit lenyap dari pandangannya.

Tiba tiba, Zaman terdengar suara dari dalam bilik. “Zaman, bangun weh… solat Subuh.”

Zaman mengatur langkah masuk semula ke dalam bilik. Katilnya didekati. Tapi, dia terperanjat bukan kepalang apabila melihat satu tubuh sedang berbaring di atas katilnya. Tubuh itu didekati. Sekali lagi dia tergamam. Kakinya menggigil. Itu adalah dirinya.

Zaman terduduk di lantai. Dilihat tubuh itu sedang nyeyak tidur. Hinggalah langit kelihatan cerah dan cahaya matahari menyelinap masuk ke ruangan bilik melalui celah-celah tingkap, tubuh itu tetap juga tidak bingkas daripada tidurnya.

Tiba tiba telefon berdering. Zaman berlari mendapatkan telefon bimbitnya. Namun jari jemarinya tidak mampu memegang telefon itu. Berkali mencuba tetap jua gagal.

Tertera nama ‘ibu’ di skrin telefon bimbit itu. Matanya kembali dipaling ke arah tubuh yang sedang berbaring di atas katil. Dilihat telefon bimbit yang dicapai oleh tubuh itu. “Hello ibu, ada apa call Zaman pagi-pagi ni?”

Zaman ada kelas ni, nanti zaman call ibu semula ya.” Punat berwarna merah ditekan dan dia kembali menutup matanya.

“Ibu…” Zaman yang berdiri di satu sudut bilik itu terasa sebak… tiba-tiba satu flashback melintas di matanya. Suasana di rumah yang mana dia, ibu dan ayah sedang duduk di ruang tamu.

Ayah menegur Zaman kerana selalu keluar hingga lewat malam. Waktu cutinya tidak dimanfaatkan untuk duduk di rumah dan diluangkan masa bersama keluarga. Jika berkesempatan, pasti sahaja Zaman sibuk dengan telefon pintarnya.

Zaman hanya berdiam diri dan meminta izin masuk ke biliknya. Ayahnya yang duduk di situ menggelengkan kepala.

Tiba-tiba Zaman teringat akan kata-kata lelaki yang baru sahaja berlalu sebentar tadi, “Jiwa aku yang dah lama hilang?”

Zaman terjaga daripada lenanya. Komputer riba yang masih lagi terbuka berada elok di hadapan matanya. “Aku bermimpikah tadi?” Zaman menggosok-gosok matanya. Jam dikerling. Jarum jam menunjukkan jam 4 pagi.

“Jiwa aku yang dah lama hilang?” Sekali lagi Zaman teringat akan mimpinya sebentar tadi. Tiba-tiba, rasa hiba berkunjung di hatinya. Zaman bingkas bangun dari duduknya. Dia menapak ke bilik mandi untuk berwudu’.

Tikar solat dibentang. Dia mulakan solat sunat tahajjud yang sudah lama tidak diamalkan. Air matanya mengalir sepanjang solat. Terasa tenang hatinya. Kini, dia faham akan maksud mimpinya itu.

Jiwa yang dah lama hilang… jiwanya sudah lama sunyi daripada mengingati Allah. Kejayaan demi kejayaan yang diterpa semua dirasa diperoleh dengan usaha sendiri. Jarang sekali dia mendekatkan diri pada Ilahi.

Dia leka dengan kesenangan yang diperoleh. Zaman istighfar berkali-kali. Sudah jauh Allah dilupakan, namun Allah tidak sesekali melupakannya.

Teguran demi teguran bertandang, namun belum cukup besar mata dan hatinya untuk melihat. Kini Zaman menguntumkan senyuman. Dia bertekad untuk berubah. Jiwanya perlu diisi dengan mengingati Allah.

Banyak perkara perlu diselesaikan. Hidupnya di atas muka bumi bukanlah hanya untuk bersenang-lenang dan bersuka ria. Ya, aku khalifah di muka bumi ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nor Amira binti Ramlee. Berasal dari Johor. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda Sains Bioperubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 7

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%