Bayangan masa silam menyingkap kejahilan diri
Namun usia mematangkan bagi mereka yang mahu berfikir
Malam semakin larut, namun aku tidak dapat melelapkan mata. Malam ini terutamanya fikiranku bak rebut kencang sehingga mampu mengejutkan aku dari tidur yang lena.
Fikiranku seperti biasa menerewang mengenangkan masa silam. Rasa takut semakin mencengkam jiwa.
Bukannya kelam malam yang menakutkanku tetapi bayangan dosa masa silam yang menggangguku, menerjah masuk ke fikiranku bak ombak yang menghempas batu di pantai. Aku mahu bayangan itu hilang tetapi ia terus menghantuiku tanpa diundang.
Aku mengenangkan akan nasibku di akhirat nanti yang akan dihambat oleh dosa-dosa zaman silam.
Apa yang nak aku persembahkan pada Allah, Ya Rahim, sebagai bukti cintaku padaNya.
Bermain-main di fikiran, kisah-kisah para anbiya dan syuhadah yang berkorban harta, tenaga malah nyawa, sebagai bukti cinta mereka pada Allah dan RasulNya.
Tercetus rasa cemburu di hatiku atas kekuatan iman yang mereka miliki yang nak dibandingkan dengan aku ini, jauhnya seperti langit dan bumi.
Bagaimana mungkin aku mengimpikan syurgaMu, Allah Ya Jalil, sedangkan di hatiku masih bersarang cinta pada dunia —– masih memikirkan bagaimana untuk membesarkan lagi rumah dan keretaku dan menambahkan lagi hartaku.
Cukupkah simpanan KWSP untuk hari tuaku? Beribu macam perancangan bermain di kepala untuk memastikan kesenangan hidupku di dunia. Walhal semuanya bakal aku tinggalkan bila ajal menjemputku.
Entah esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau mungkin dalam tidurku malam ini?
Apakah perancanganku untuk akhirat sedangkan mati itu pasti! Apa yang nak kubawa sebagai penemanku di alam barzakh.
Aku mahukan istana di syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Aku mahu bertemu denganMu Ya Allah, Tuhan yang amat kurindu. Aku mahu berjiran dengan Rasulullah S.A.W di syurgaMu.
Malunya aku padaMu, Ya Allah Ya‘Azhim untuk mengimpikan syurga sedangkan usahaku tak setimpal untuk dianugerahkan hadiah yang tidak ternilai itu.
Amalanku yang tidak seberapa, entah diterima Allah, entah tidak.
Jika bolehku ulangi semula hidupku, akan aku perbetulkan semua kesilapan lalu. Dalam usia yang menginjak ke 40-an ini lalu ditimbang dengan amalan yang telah aku lakukan bagaikan igauan ngeri.
Seolah-olah seseorang yang akan menghadapi peperiksaan yang paling penting dalam hidupnya tapi belum bersedia untuk menghadapinya.
Tetapi ini lebih penting lagi iaitu memilih antara syurga dan neraka, tempat kembaliku yang abadi.
Namun, aku mesti bersangka baik. Allah sesungguhnya Ya Rahman, Ya Rahim. Mungkin ini caranya, Allah Ya Rab mengejutkan aku untuk bertahajud malam, untuk aku bersujud memohon keampuan atas dosa-dosaku yang lalu.
Ya, Allah Ya Gaffur mahu mengampunkan dosa-dosaku sebelum aku mengadapNya.
Engkau Maha Pengampun, ampuni dosa-dosaku yang telah lalu, kini and masa depan, yang aku ketahui dan tidak ku ketahui.
Aku tahu bayangan silamku tidak akan lenyap sehingga aku dipanggil oleh Penciptaku.
“Ya Allah, Ya Gaffur ampuni dosa-dosa kami. Sekiranya Enkau tidak mengampun kami, alangkah ruginya kami. Ya Allah Ya Mujiib, matikan aku dalan husnul khotimah, di saat Engkau paling redha padaku dan disaat Engkau telah mengampunkan semua dosa-dosaku.”
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Maizura binti Muhamad.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.